Rencana, Wawancara

Tonny Ung harap Samalaju sama Maju

Kurang dari lima hari lagi rakyat Sarawak akan membuang undi demi menentukan masa hadapan politik dan ekonomi Sarawak. 

Bercakap kepada Roketkini, TONNY UNG, yang merupakan salah seorang calon muda dari DAP Sarawak berharap beliau diberikan peluang untuk melakukan perubahan dan membawa kemajuan kepada penduduk di N70 Samalaju. 

Beliau yang juga merupakan Pengerusi DAP Jepak berharap, pilihan raya kali ini merupakan sebuah pilihan raya yang adil untuk merealisasikan nilai sebenar demokrasi.

Latar belakang anda?

Nama saya Tonny Ung, berasal dari Bintulu, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Saya mula menyertai DAP Sarawak pada tahun 2008 dan pada tahun 2019, saya dilantik menjadi Pengerusi DAP Jepak. Saya juga aktif dalam memberi bantuan di kawasan Samalaju khususnya semasa ‘lockdown’ yang lalu. 

Apakah visi & misi anda untuk kawasan pilihan raya?

Visi yang sangat mudah namun mencabar; Samalaju Sama Maju.

Mengapa pengundi Samalaju mesti mengundi anda?

Sudah berapa tahun kawasan ini diperintah oleh GPS, tetapi rakyat yang tinggal di rumah panjang masih tidak menerima bekalan air bersih, bekalan elektrik yang merupakan keperluan asas. Apa guna untuk mengekalkan wakil rakyat yang sama jika dia tidak dapat menyelesaikannya masalah yang ada. Rakyat perlu berani ubah dan penduduk Samalaju dapat melihat perubahan.

Apakah cabaran yang anda jangkakan dalam PRN ini?

Sudah pasti kekurangan sumber kerana kami mempunyai lebih daripada 150 rumah panjang di kawasan Samalaju dan untuk mendekati semua rumah panjang ini kami memerlukan sumber yang banyak. Satu lagi, kita berdepan dengan pihak lawan yang kuat dan mereka penuh dengan sumber. Tetapi saya percaya sumber bukan satu-satunya faktor untuk kita memenangi pilihan raya ini. Kami akan meletakkan segala usaha dan komitmen kami dalam perkhidmatan kami seperti biasa dan mendapat kepercayaan daripada rakyat.

Apakah rancangan masa depan anda untuk Samalaju?

DAP Sarawak akan memfokuskan kepada tiga agenda utama. Pertama bagi kawasan perindustrian, kami melihat ke arah penambahbaikan pembangunan kawasan perindustrian dengan perlindungan alam sekitar. Kedua, bagi kawasan luar bandar, kami merancang untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur untuk mereka sekurang-kurangnya keperluan asas iaitu air dan elektrik. Ketiga, bagi kawasan kidurong dan Sg. Plan, kami fokus utuk meningkatkan taraf hidup penduduk di sini.

Apakah yang anda harapkan daripada pilihan raya ini?

Sudah tentu mengharapkan untuk mendapat sokongan daripada pengundi Samalaju. Saya juga mengharapkan agar pilihan raya ini merupakan sebuah pilihan raya yang adil untuk merealisasikan nilai sebenar demokrasi. – Roketkini.com