Rencana

Memilih jalan sederhana dan bersikaplah sederhana

Oleh Nor Miswary Ramli

Sukar untuk saya membayangkan bagaimana Pakatan Harapan (PH) atau parti-parti blok pembangkang memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

Membina kesapakatan baharu atau sekurang-kurang mahu menyegarkan semangat lama kelihatan begitu sukar sekali akhir-akhir ini.

Bak kata ramai orang yang saya temui; “Dulu kita masuk PRU dengan menjual isu Najib dan 1MDB. Sekarang Najib sudah bersalah. Apa lagi bahan kempen kita selepas ini?

Ramai yang bersungut betapa cacamarbanya kita hari ini. Dari satu sudut ada yang mempromosi dan mempunyai cita-cita luhur untuk membuang persepsi negatif kerana perbezaan bangsa, budaya dan agama yang sering dijadikan modal memisahkan kita.

Namun di satu sudut yang lain pula ada yang masih mahu mengekalkan identiti lama yang menjadi punca mengapa kita terus-menerus ditolak jauh ke tepi oleh golongan masyarakat yang lebih sederhana, yang mengandungi pelbagai bangsa dan agama.

Tampak menyukarkan apabila wujud bibit-bibit tidak sefahaman yang mula meruncing, bersilat di medan terbuka yang langsung tidak pernah mendatangkan keuntungan dan membuat kenyataan-kenyataan yang tidak merangsang penyatuan dan kebersamaan.

Yang ada hanya mereka yang galak meracik-racik sisa-sisa payung yang telah koyak rabak. Dan yang paling mengecewakan, semua ini berlaku di blok pembangkang termasuklah mereka yang mempunyai jawatan dan kedudukan besar sehingga-lah sekecil-kecil pimpinan muda yang langsung tidak peduli kesannya akibat sering terlepas cakap.

Tetapi harus saya akui, mengurus ahli politik yang kemahiran mereka adalah berpolitik, berdebat dan mematahkan hujah memanglah agak mencabar juga.

Jika saya mengimbau akan pengalaman semasa menjadi Presiden Kelab Debat dan Pidato UiTM yang pernah saya tulis suatu waktu dulu, kepayahannya adalah sesuatu yang ‘real‘.

Tidaklah semua, tetapi harus saya akui, sukar untuk melihat mereka mahu mengalah ketika sedang berdebat mengenai sesuatu isu atau membahas sesuatu pandangan (bukan semasa pertandingan), ataupun semasa menghadiri mesyuarat, kadang-kadang ada di antara mereka sukar merendahkan ego sendiri untuk mendengar pendapat kawan yang sedang berbicara.

Yang ada hanya-lah pendapat ‘aku lebih bagus’ dan perlu dituruti sedangkan pendapat yang lain mesti dipersetankan semahunya.

Kerana itulah saya boleh memahami apa yang saya nampak melihatkan ahli-ahli politik kita hari ini. Ada yang seolah-olah sedang bergelut dengan diri sendiri untuk membungkam diam berbanding mengeluarkan kenyataan yang kadang-kadang seperti mahu merosak hubungan sesama rakan dan sekutu.

Mereka ini seakan-akan tidak langsung mencuba menahan diri daripada menyuarakan pandangan yang akhirnya mengecewakan dan melukakan hati rakan dalam parti dan sekutu dalam gabungan.

Ada yang dilihat gagal berkorban untuk mendiamkan diri. Menahan diri ‘demi rakyat’ telah hilang dalam kamus ahli-ahli politik jenis ini. Ego diri sebagai pemimpin atau ahli politik perlu dilampiaskan semahunya – ramai penyokong yang menanti untuk bersorak fikir mereka.

Saya tidaklah membayangkan mereka sepatutnya berdiam diri jika sesuatu isu menyentuh prinsip perjuangan, fitnah terhadap karakter atau membabitkan hal-hal peribadi yang bersangkutan dengan tindakan undang-undang.

Tetapi saya mungkin terlalu naif atau terlalu idealistik untuk membayangkan mereka akan mendiamkan diri untuk perkara-perkara yang melibatkan kerangka politik kepartian, masa depan parti, strategi untuk melawan musuh yang sama dan nilai-nilai kesepakatan dalam parti dan gabungan.

Saya mahu memperingatkan diri saya sendiri. Kita mesti bersungguh-sungguh membuang jauh sikap ‘keakuan’ ini. Kita mesti bentangkan semula semua nilai-nilai kebersamaan kita.

Saya pernah syorkan supaya pihak yang sedikit harus belajar mengalah dan pihak yang ramai juga harus bersedia mengubah dan diubah. Baharulah kita boleh tegakkan semula kesepakatan kita.

Kekalkan formula yang sama ketika kita menang, jangan bertelagah di medan terbuka jika bukan buah untung yang mahu kita petik. Lakukan analisis semua kesan baik buruknya sebelum mengutarakan pandangan.

Mungkin pendapat kita ada benarnya dan lebih realistik dan ya, demokrasi akan mengizinkannya – namun tidak semestinya ianya diluahkan secara terbuka jika ianya mencacatkan kesepakatan.

Kalau semua pihak tidak mahu menuruti formulanya yang seperti ini, barangkali bukan saya seorang saja yang berkeinginan memuntahkan segala-galanya, pasti ramai yang akan berbaris menunggu giliran mereka, percayalah. – Roketkini.com