Rencana

Mantan Dekan UM sertai DAP

Ahli Parlimen Veteran, Lim Kit Siang berkata bahawa beliau telah bergelut dengan masalah mengenai masa hadapan Malaysia  sejak daripada pengumuman “persaraan” politik beliau pada 20 Mac lalu.

Namun, menurutnya majlis penyertaan beberapa ahli DAP yang dilakukan di Taman Tasik Kebun Serendah, Selangor semalam telah memberikan sedikit sinar kepada persoalannya itu.

Majlis minum petang tersebut juga turut meraikan penyertaan Dr. Zubaidah Ibrahim, mantan Dekan dan Profesor Madya Universiti Malaya bersama lima lagi ahli baru DAP.

“Majlis di Serendah ini memberikan saya harapan mengenai masa hadapan Malaysia,” kata Veteran DAP, Lim Kit Siang dalam ucapannya di sebuah majlis yang berlangsung di Serendah, Selangor semalam.

Dalam ucapan tersebut, Lim Kit Siang menyatakan bahawa lawatannya ke Serendah ini amat bermakna dan memberikannya harapan yang rakyat Malaysia masih peduli mengenai keperluan untuk menyelamatkan negara kita.

“… demi anak-anak dan cucu-cucu kita dengan memastikan yang Malaysia tidak menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara, yang akan disambut empat dekad dari sekarang.

“Kita perlu mempunyai visi untuk negara demi masa hadapan, bukan semata-mata untuk masa sekarang sahaja,” katanya.

Tambahnya, persoalan utama untuk Malaysia hari ini bukanlah mengenai siapa yang akan menang dalam ilihan raya umum yang akan datang, tetapi sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara yang akan disambut empat dekad dari sekarang.

“Apalah gunanya kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya negara kita terus ke belakang dan ditinggalkan oleh semakin banyak negara,”

“.. sehingga menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad lagi, atau menjadi sebuah kleptokrasi yang lebih buruk , atau seperti yang digambarkan oleh pemimpin Hulu Selangor, Sdr Ahmad Termizi bin Yaacob, menjadi satu lagi Yugoslavia?” soalnya lagi. – Roketkini.com