Rencana

Keutuhan pembangkang mendepani PRU-15

Oleh B. Suffian

Kalau ada satu pengajaran yang boleh kita ambil daripada apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pastinya ia berkisar tentang betapa kurangnya perpaduan sesama parti-parti pembangkang.

Hanya DAP dan Amanah yang menggunakan logo HARAPAN. Manakala PKR, Warisan, MUDA dan Pejuang masing-masing menggunakan logo sendiri. Ada juga kawasan di mana parti-parti ini saling bertanding.

Perkembangan ini ternyata tidak strategik. Parti-parti pembangkang yang sama-sama memiliki aspirasi dan tekad untuk menentang Barisan Nasional (BN) seharusnya mempunyai strategi bersama dengan menyeragamkan penggunaan logo, visi dan gerak kerja semasa berkempen.

Perlu diingatkan bahawa, kesemua parti pembangkang tersebut – atau sekurang-kurangnya tokoh-tokoh yang mengemudi parti-parti berkenaan – pada suatu ketika pernah menggunakan identiti HARAPAN — baik ketika mentadbir sebagai Kerajaan Persekutuan mahupun semasa berdepan siri-siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

Menyingkap sejarah logo HARAPAN, kita tidak boleh lupa betapa sukarnya perjalanan untuk mendaftar HARAPAN sebagai sebuah gabungan. Hanya pada Mei 2018, barulah HARAPAN diluluskan sebagai satu identiti bersama bagi parti-parti di bawahnya.

Sejak 2018 hingga tahun ini, iaitu 2022 — sudah hampir empat tahun logo HARAPAN terpampang di PRK dan PRN selain di media-media sosial, sekali gus telah memateri perlambangan perjuangan parti-parti komponennya ke arah Malaysia yang lebih baik.

Pastinya, logo HARAPAN memiliki kekuatannya yang tersendiri. Ia mencerminkan kepayahan atau perit jerih HARAPAN untuk berdiri sebagai sebuah gabungan politik. Ia menterjemahkan aspirasi pemimpin dan penyokongnya.

Sehubungan itu, soal penggunaan logo HARAPAN perlu diambil serius oleh parti-parti pembangkang berkenaan. Tidak kira sebagai Pakatan Harapan (PH) atau PH Plus, parti-parti tersebut perlu mempertimbangkan manfaat penggunaan sebuah logo yang seragam dalam perjuangan bersama mereka ke arah sebuah Malaysia yang lebih baik.

Ini lebih-lebih lagi ketika aspek perpaduan pembangkang itu merupakan perkara terpenting apabila negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada masa yang terdekat ini.

Kita tidak mahu apa yang berlaku pada PRN-PRN lepas berlaku sekali lagi. Kita mahu satu pasukan pembangkang yang berupaya bergerak sederap dengan identiti, visi, semangat dan gerak kerja yang sama.

Pembangkang perlu bersatu demi matlamat yang lebih besar iaitu mengembalikan Kerajaan Persekutuan PH. Jika ini dapat direalisasikan, pelbagai reformasi institusi yang direncanakan sebelum ini dapat diteruskan sekali gus memanfaatkan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Jangan kita bazirkan seruan serta semangat ‘Khemah Besar’ parti-parti pembangkang yang telah pun digagaskan sebelum ini.

Gunakan masa yang berbaki ini untuk mengetepikan perbezaan dan sebaliknya mempertingkatkan komunikasi sesama parti pembangkang sebelum berlangsungnya ‘ibu segala pilihan raya’ iaitu PRU-15. Kalau kita boleh bersatu pada PRU-14, kenapa tidak pada PRU-15? – Roketkini.com