Uncategorized

Mengapa kerajaan tak boleh tolong rakyat?

Oleh Ghafar NS

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menggesa kerajaan mewujudkan Dana Penstabilan Harga bagi mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat.

“Adakah kerajaan telah kehabisan wang sehingga mereka tidak dapat mencari wang benih sebanyak RM 3 bilion untuk mewujudkan dana penstabilan harga ini?” soal Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Katanya, tanggapan bahawa kerajaan kehabisan wang adalah disebabkan tindak balas lemah kerajaan yang masih mengkaji cadangan Dana Penstabilan Harga, sedangkan harga telah meningkat untuk sekian lama.

Kerajaan juga secara terbuka mengeluh hal kenaikan harga minyak akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang hanya akan menyebabkan harga makanan dan komoditi lain naik lebih tinggi, katanya.

“Melainkan dana penstabilan harga diwujudkan, rakyat tidak akan mendapat perlindungan dan berdepan dengan bebanan penuh kenaikan harga tersebut.

“Kerajaan juga masih belum mengeluarkan maklumat terperinci kesan manfaat kos kepada negara berikutan kenaikan harga minyak seperti yang telah dijanjikan.” tambahnya lagi.

Jelas Guan Eng, kerajaan sekurang-kurangnya boleh mengurangkan beban kewangan rakyat dengan:
1. Menghapuskan cukai yang dikenakan ke atas syarikat yang membawa balik pendapatan mereka dari luar negara,
2. Menangguhkan kenaikan tarif elektrik yang dikenakan ke atas pengguna komersial,
3. Menarik balik cadangan menaikkan kompaun denda bagi pelanggaran SOP COVID-19 bagi individu daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan syarikat kepada RM1 juta, atau
4. Membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sehingga RM5,000 daripada simpanan mereka.

– Roketkini.com