Uncategorized

YAB PM, janji dengan rakyat jangan dimungkiri

oleh Ghafar NS

Adakah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) anti lompat parti pada minggu hadapan iaitu minggu terakhir bagi sesi Parlimen penggal ini?

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini bertanya kepada Perdana Menteri tentang hal tersebut disebabkan timbul khabar angin bahawa Kerajaan akan menangguhkan pembentangan RUU anti lompat parti ini.

“Jika Kerajaan tidak berhasrat membawa usul RUU anti lompat parti pada minggu hadapan, sila umumkan segera.

“Ini bagi memastikan pihak saya dapat membuat rancangan awal bagi memilih Perdana Menteri baru yang bersungguh-sungguh dan menyokong RUU anti lompat parti ini,” katanya.

Lip Eng juga mengingatkan Perdana Menteri bahawa beliau telahpun berjanji kepada rakyat semasa menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan untuk membawa RUU anti lompat parti di parlimen pada sesi penggal ini.

“Janganlah menjadi Perdana Menteri yang bermuka-muka dengan segala sandiwara di depan TV, para media dan rakyat Malaysia.” Tegasnya. – Roketkini.com