Rencana

Pencipta Batt Pack C13 sertai DAP

Keluarga DAP terus berkembang dengan ahli masyarakat yang berbakat dan berkebolehan!

Feroz Zainal yang merupakan seorang pencipta dan pernah memenangi anugerah Malaysian Commercialisation Year pada tahun 2018 untuk hasil ciptaannya berkata beliau menyertai DAP kerana beliau percaya DAP adalah parti perpaduan selain kagum dengan sifat rendah hati yang ditunjukkan oleh parti.

Feroz yang merupakan Ketua Kampung Kg. Kalong Tengah juga sangat aktif dalam komunitinya. Beliau kini merupakan pengerusi Usahawan Inovasi Antara Gapi, Hulu Selangor dan juga merupakan Pengurusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi SMK Bandar Baru Batang Kali.

Bukan itu sahaja, Feroz juga seorang chef yang berpengalaman dan pengasas LPIZZ PIZZA, iaitu satu jenama pizza tempatan yang telah mendapat pengiktirafan dan telah mendapat liputan media arus perdana.

Bagaimanapun, ketua kampung yang berdedikasi ini memiliih untuk kekal merendah diri.

“Saya hanya orang biasa yang cuba membuat perubahan kecil untuk masa depan Malaysia,” katanya dalam wawancara dengan Roketkini baru-baru ini.

Apabila ditanya apa yang beliau ingin lihat dalam politik Malaysia, beliau percaya perlu ada lebih ramai pemimpin yang mengutamakan rakyat dan menghormati semua agama.

“Semua agama mengajar penganutnya berbuat baik kepada manusia dan alam semula jadi. Kita memerlukan lebih ramai pemimpin yang bekerja untuk berkhidmat kepada masyarakat, bukan mereka yang ingin berkhidmat untuk kepentingan jutawan dan elit.

“Satu-satunya cara bagi seorang pemimpin untuk benar-benar memahami masalah yang dihadapi oleh orang yang bekerja, adalah jika dia telah melalui jalan itu dan telah menghadapi isu yang sama,” katanya.

Beliau juga berharap akan berlaku anjakan minda dalam politik iaitu dengan mengurangkan persaingan antara parti politik dan masing-masing lebih memahami dalam bekerjasama.

“Saya pernah berkecimpung dalam parti lain sebelum ini, saya juga berkawan dengan beberapa ahli mereka. Saya percaya kita harus menggalakkan satu sama lain untuk melakukan yang terbaik untuk komuniti kita, dan meletakkan usaha terbaik kita dalam membantu rakyat Malaysia,” jelasnya lagi.

Tambahnya, ibu bapanya merupakan sumber inspirasi utama yang membentuk mindanya harini.

“Arwah bapa saya mahu saya mengalami budaya yang berbeza. Dia pastikan keluarga kami mencuba makanan yang berbeza dan mempelajari perkara baharu daripada masyarakat India dan Cina. Setiap minggu, dia akan memesan susu lembu segar daripada rakan-rakan Punjabinya.

“Apabila ada sambutan, sama ada Hari Raya, Tahun Baru Cina, atau Deepavali, ayah saya akan diminta menyembelih ayam supaya ada pilihan halal untuk dihidangkan untuk tetamu Melayu di majlis-majlis ini.

“Ibu saya juga mempunyai kawan dari pelbagai budaya dan akan membawa saya ke rumah mereka. Dia sentiasa menggalakkan saya merasai makanan yang berbeza, dan tidak pernah takut mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Feroz juga sempat meninggalkan nasihat kepada rakyat Malaysia yang lebih muda untuk belajar daripada ibu bapa dan datuk nenek mereka.

“Tanya mereka bagaimana mereka bergaul dengan semua orang pada masa itu, tanya mereka siapa kawan mereka, dan pelajari betapa mudahnya kehidupan apabila kita semua bergaul. Sebagai generasi muda, kita mesti berusaha untuk melakukan lebih baik daripada datuk nenek dan ibu bapa kita sebelum ini,” jelasnya. – Roketkini.com