Kenyataan Akhbar

Kerajaan perlu segera selesaikan isu kewarganegaraan anak angkat – Hannah

Kenyataan media oleh Hannah Yeoh Ahli Parlimen Segambut bertarikh 14 Julai 2022

Sebelum Langkah Sheraton berlaku, Menteri KPWKM pada masa itu Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail telah berjumpa dan menulis kepada Menteri Dalam Negeri untuk memudah cara permohonan kewarganegaraan bagi anak angkat yang telah melalui proses mahkamah. Permohonan pasangan ibu bapa yang memohon kewarganegaraan untuk anak angkat mereka menjadi isu yang tidak pernah berkesudahan. Paling membingungkan ialah kes yang membabitkan anak angkat yang telah mendapat perintah pengangkatan daripada mahkamah mengikut Akta Pengangkatan 1952 tetapi permohonan kewarganegaraan untuk anak angkat ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) tanpa sebarang alasan. 

Pelbagai kesan sosial yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa dan anak angkat mereka apabila permohonan kewarganegaraan mereka ditolak. Ibu bapa ini melalui stress dan tekanan emosi yang sangat berat. Mereka tidak dapat membuat rancangan jangka pendek atau jangka panjang dalam penjagaan anak angkat mereka. Berikut merupakan sebahagian daripada masalah yang dihadapi oleh keluarga kategori ini:

• Anak angkat ini tidak mempunyai akses kepada pendidikan di sekolah Kerajaan;

• Anak angkat tidak mempunyai akses kepada Klinik Kesihatan Ibu dan Anak milik Kerajaan dan menyebabkan mereka terpaksa ke klinik swasta dengan kos perubatan yang sangat mahal;

• Anak angkat tidak dapat bercuti bersama keluarga jika destinasi di luar Malaysia;

• Anak angkat terpaksa membayar fee pelancong asing untuk memasuki zoo, akuarium atau taman burung; 

• Anak angkat tidak boleh membuka akaun bank;

• Anak angkat tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti untuk mewakili Malaysia seperti sukan, acara riadah dan kebudayaan; dan

• Anak angkat tidak boleh memiliki insuran sendiri serta pelbagai halangan lain. 

3. Kegagalan paling besar Kerajaan dalam menangani isu ini ialah untuk memahami bahawa pemberian kewarganegaraan kepada anak angkat yang telah mendapat perintah pengangkatan daripada mahkamah ini sebenarnya merupakan satu langkah yang hanya akan memanfaatkan kerajaan dan bukan merugikannya. Manfaat paling ketara adalah:

• Sekaligus mengurangkan beban kewangan Kerajaan seperti pengurusan institusi kanak-kanak milik Kerajaan;

• Membantu ibu bapa warganegara Malaysia yang mahukan anak angkat secara sah tetapi terpaksa menunggu giliran yang lama; dan

• Mengurangkan kes pembuangan bayi.

Saya menggesa Kerajaan supaya segera memberikan kewarganegaraan kepada anak angkat yang telah mendapat perintah pengangkatan daripada mahkamah. Kerajaan wajar berterima kasih kepada ibu bapa yang mengambil anak angkat untuk merealisasikan agenda Keluarga Malaysia. Sebarang keputusan Kerajaan yang membelakangkan motto sendiri hanya membuktikan bahawa Kerajaan Barisan/Perikatan Nasional ini merupakan sebuah kerajaan hipokrit, cakap tak serupa bikin! – Roketkini.com