Uncategorized

Pasca PRN Johor: Khemah besar pembangkang perlu diusahakan 

Oleh Roketkini

Pendekatan ‘khemah besar’ parti pembangkang — dengan tekad menentang Barisan Nasional (BN), perlu diusahakan terutama susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, PRN Johor menyaksikan kekurangan perpaduan sesama pembangkang disebabkan kegagalan menggunakan logo bersama, visi bersama, atau sebarang perbincangan calon Menteri Besar. 

Ini ditambah pula dengan pecahan sokongan pembangkang dengan banyak parti pembangkang yang bertanding sesama sendiri, kata Guan Eng. 

“(Kekurangan perpaduan ini) tidak membantu. 

“Ini sangat jelas terutamanya bagi Warisan yang bertanding di semua enam kerusi di mana Pakatan Harapan (PH) adalah penyandang kerusi dan tiada di kerusi BN…

“…serta lebih banyak berkempen untuk mengalahkan PH berbanding BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pada PRN Johor, parti-parti pembangkang telah menggunakan logo berbeza dengan DAP dan Amanah memakai logo HARAPAN sementara PKR, MUDA, Warisan dan Pejuang menggunakan logo masing-masing. 

Guan Eng menambah, tidak ada gunanya menyalahkan kekalahan PH ke atas peratusan keluar mengundi yang lebih rendah sebagai penafian diri untuk menutup keengganan berterusan untuk memahami atau enggan menangani punca utama kekalahan. 

“Hanya dengan memahami dan menangani punca utama kekalahan barulah kita boleh mengelak kehilangan semua kerusi pembangkang dan menawarkan harapan kebangkitan dan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya. – Roketkini.com