Uncategorized

‘Jangan panggil saya YB. Panggil saya Chin Tong’

Oleh Nor Miswary bin Ramli
(Setiausaha Politik kepada Hannah Yeoh)

Sukar membayangkan pilihan raya negeri (PRN) demi pilihan raya negeri terpaksa diadakan selepas tamatnya PRN di Johor nanti. Buat para sukarelawan kempen, penatnya bukan kepalang. Tetapi yang lebih ‘penat’ sebenarnya adalah rakyat. Rakyat tidak boleh dilayan sebegitu rupa lagi.

Menjelang minggu akhir dan hari-hari yang berbaki sebelum hari pengundian pada 12 Mac nanti, saya merasakan rakyat Johor telah pun bersedia. Mood rakyat Johor untuk menghentikan kerakusan mereka yang mahu menggunakan politik sebagai alat untuk terus berkuasa, merampok harta, mempersendakan mandat dan sewenang-wenangnya menyalahgunakan peraturan yang mereka sendiri gubal. Di mana-mana sahaja di Johor ini, terutama sekali di DUN N46 Perling, bahangnya boleh dirasai dengan begitu dekat sekali.

Saya tidaklah mahu mengukur kemenangan Chin Tong hanya berdasarkan permintaan untuk bergambar, memakai baju dan topi di mana-mana saja kami pergi, atau di penerimaan kami di kawasan-kawasan hitam yang telah kami sampai, tetapi minat mereka untuk mengenali Chin Tong secara peribadi dan lebih dekat dilihat begitu real. Mereka begitu berminat untuk mendengar idea-idea Chin Tong mengenai ekonomi dan masa depan negeri Johor dan DUN Perling.

Dalam mana-mana pertemuan Chin Tong bersama penduduk, minat dan keterujaan pengundi untuk mengenali dengan lebih dekat mantan Timbalan Menteri Pertahanan ini tidaklah dibuat-buat. Jujur mereka mahu tahu siapa Liew Chin Tong. Jelajah dari kampung ke kampung, bertemu hampir setiap wakil kampung dan para penduduk, secara berkumpulan mahupun secara individu, baik tua atau muda, lelaki atau wanita, peniaga kecil sehinggalah golongan profesional – semuanya boleh mengesahkan perkara ini.

Chin Tong sentiasa tekun mengambil nota, mendengar, menerima dan bertukar pandangannya serta menyimpul hasrat besar mereka dengan kesungguhannya seperti biasa. Keterbukaan Chin Tong menerima pandangan yang berbeza menjadi pesona beliau di hadapan pengundi. Tidak keterlaluan untuk disebutkan di sini bahawa pengundi Perling telah bersedia untuk menjadi teladan kepada negeri lain bagaimanakah BN dan PN akan ditundukkan.

Selalu dibisikan kepada saya setiap kali di hujung pertemuan kami dengan penduduk, ialah bagaimana sikap rendah diri dan kesederhanaan Chin Tong menambat hati nurani mereka. Mereka hairan mendengar Chin Tong berulang kali mengingatkan agar jangan memanggil beliau dengan gelaran Yang Berhormat namun kerap berpesan: “Panggil saya Chin Tong”.

Sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, saya mahu nyatakan sekali yang Bangsa Johor adalah bangsa bermaruah. Memberikan kemenangan mudah kepada BN mahupun PN yang sama-sama menjadi Kerajaan di peringkat Persekutuan hanyalah membuka laluan kepada PRN di negeri-negeri lain. Orang Johor tahu, kali ini mereka akan jadi penentu. Andai kemenangan menjadi milik Barisan Nasional, desakan untuk mengadakan PRN di negeri-negeri lain tidak lagi dapat dielakkan. Negeri Kedah dan Perak akan berdepan risiko seperti Melaka dan Johor.

Bangsa Johor tahu mereka wajib menghentikan segala karut-marut ini. Menewaskan Barisan Nasional dan sekutu mereka – Perikatan Nasional – sudah menjadi kerja terbesar orang Johor dalam PRN ini. Ianya akan jadi penentu hidup mati sebuah parti yang korup dan yang masih meraikan mereka yang telahpun dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah. Rakyat Johor percaya semua ini perlu dihentikan. – Roketkini.com