Uncategorized

4,149 perwakilan ke kongres DAP — jumlah terbesar dalam sejarah 

Sebanyak 4,149 perwakilan dijangka menghadiri Kongres Kebangsaan Ke-17 DAP di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 20 Mac. 

Jumlah itu sekali gus merupakan jumlah perwakilan terbesar dalam sejarah kongres DAP. 

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah itu kerana terdapat penambahan cawangan yang banyak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

“Dalam perlembagaan parti setiap cawangan yang layak boleh menghantar wakil. 

“Jadi kita ada penambahan cawangan yang banyak selepas PRU-14 maka kali ini perwakilan kita meningkat 4,149 orang,” katanya. 

Sementara itu, Anthony turut mengingatkan para perwakilan bahawa pada kertas undi akan disediakan 30 kotak bersamaan bilangan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). 

Jelasnya, setiap wakil mesti menulis 30 nombor calon yang dipilih mereka pada kertas tersebut. 

“Ini sistem kita. Setiap wakil pilih 30 orang. Tidak boleh lebih tidak boleh kurang,” ujarnya. – Roketkini.com