Berita

Projek terowong dasar laut: Guan Eng persoal SPRM tak nafi berita palsu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan agar tidak menjadi ‘senjata politik’ pihak tertentu yang ingin melihat kerajaan pembangkang ditumbangkan melalui taktik kotor.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sehubungan itu siasatan yang dilakukan badan itu ke atas projek terowong dasar laut harus bersifat profesional dan bukan bersandarkan sumber tidak sahih.

“Misalnya laporan (sebuah akhbar berbahasa Inggeris) yang mendakwa Kerajaan Negeri telah menjual tanah sebanyak RM3 bilion sebagai pendahuluan. Ini semua fitnah, tidak betul, tidak benar langsung.

“Kenapa SPRM tidak keluarkan kenyataan (penafian terhadap laporan akhbar tersebut) kerana ia boleh menjejaskan siasatan,” katanya lapor Buletin Mutiara.

Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian mengulas sikap berdiam diri SPRM berhubung laporan palsu beberapa akhbar pro-Barisan Nasional (BN) mengenai projek terowong dasar laut di negeri itu.

Mengakui kecewa dengan sikap dwi-standard agensi anti rasuah itu, Guan Eng menegaskan bahawa projek terowong dasar laut itu dilaksanakan melalui tender terbuka.

“Lagipun kita (Kerajaan Negeri) membuatnya secara tender terbuka melalui Lembaga Perolehan yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan ahli-ahlinya terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri.

“Tidak ada Exco dalam itu (Lembaga Perolehan), Ketua Menteri pun tidak ada kerana kita mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan. – Roketkini.com