Sastera

Cerita Tentang Lembaga Yang Keluar Dari Lubang Gelap

“Menjadi bangsa apa pun bukanlah satu kesilapan. Kerana sesuatu bangsa tertegak daripada umatnya, hasil cerminan individualitas yang murni atau yang tohor, luhur atau jelek”

Di hadapan rumah saya ada beberapa buah bongkahan batu besar yang di badannya ada lubang-lubang gelap. Ada kecil dan ada yang besar. Semasa kecil saya fikir itu adalah kesan tembakan soldadu yang sering berkawad di hadapan rumah saya pada setiap pagi. Tapi ayah kata itu bukan kesan tembakan dan ayah kata di antara lubang-lubang besar tersebut adalah kesan semulajadi. Ia terjadi dengan sendirinya. Entah, saya tidak faham maksud ayah dan tidak faham apa itu semula jadi. Ayah juga tidak menceritakan bagaimana kesan semulajadi itu terjadi dan saya tidak berani bertanya lebih kerana dibimbangi akan mendatangkan kemarahannya.

Tapi menurut kata Po A pula, lubang-lubang gelap itu tidak terjadi dengan sendiri, lubang-lubang gelap itu telah dibikin oleh sebilangan lembaga kerana ada musim-musimnya yang tertentu, dari dalam gua itu akan berbondong-bondong keluar lembaga yang pelbagai rupa. Endak-endak lagi bila hampir genap lima tahun sekali.

Seingat saya, seperti lima-lima tahun yang lepas, beberapa minggu sebelum satu pesta yang saya sendiri tidak tahu apakah pesta tersebut, beberapa sosok lembaga itu berpeleseran di kampung saya. Yang saya hairan mereka datang secara berkumpulan. Ada seorang ketua dan beberapa orang anak buahnya. Mereka akan singgah dari satu rumah ke satu rumah dengan sebuah senyuman manis yang penuh tanda tanya serta sedikit barangan. Tapi kata ayah itu bukan barangan, itu sogokkan. Entah, saya tidak tahu apa itu sogokkan. Tapi Po A pernah bilang, sogokkan itu seperti satu rayuan. Saya bertambah bingung.

Pada mulanya saya hampir percaya apa yang dikatakan ayah, tetapi setelah Po A cuba meyakinkan tentang lembaga yang berbondong-bondong keluar saat tiba musim-musim yang tertentu itu. Kepercayaan saya seakan menyebelahi Po A dan beberapa kenyataan ayah tentang perilaku lembaga-lembaga tersebut semakin meyakinkan saya bahawa ayah cuba meyembunyi sesuatu tentang perihal lubang gelap tersebut.

Saya pernah lihat, dalam tempoh beberapa minggu itu, yang peliknya mereka silih berganti datang melawat kami. Berpenampilan yang berbeda dan retorika yang berbeda. Tapi yang saya suka lihat dan berasa sedikit lucu, mereka sudah ditandai dengan satu tanda yang ke semuanya tidak sama. Ada tanda seperti dacing, ada keris, ada bulan terpecah dua, ada bulan penuh, ada seperti sebuah kapal yang muncung di hadapan dan warna-warnanya pastilah juga berbeda.

Pernah ketika mereka datang dan hampir tidak tahan melihat kelucuan mereka, saya berlari ke belakang pintu dan ketawa dengan kuat kerana ada beberapa kelucuan yang membuatkan saya bertindak sedemikian. Antaranya ketika mula-mula mereka tiba di muka pintu rumah saya, saya menjangkakan mereka tersebut adalah para penyokong bola sepak liga Inggeris. Sebab saya teringat kata-kata Po A “itu yang kalah, biasanya semua akan masuk ke lubang gelap di depan rumah kaulah!” kata-kata itu keluar daripada mulutnya selepas tamat permainan yang mana kelab Brendan Rodgers itu tewas empat satu lama dahulu.

Jadi taktala melihat beberapa orang yang berpakaian merah dari jauh. Segera saya teringatkan kata-kata Po A. Tapi sangkaan saya salah, taktala mereka mendekati muka pintu rumah saya. Saya terlihat ada satu lambang seperti seekor katak yang seakan sedang melopat dan sebilah keris serta sarungnya di atas kepala dan juga di baju mereka. Pada mulanya, saya agak sedikit hairan tapi lama-kelamaan kehairanan itu bertukar menjadi lelucon.

Teringat juga saya, sebelum lembaga yang berbondong-bondong itu keluar. Kampung kami pernah didatangi oleh beberapa lembaga yang berpakaian warna merah tetapi yang bedanya saya lihat di bajunya seakan ada lambang sebuah genggaman tangan. Lembaga-lembaga ini saya tidak pasti sama ada turut sama datang dari tempat yang sama atau tidak. Namun untuk seketika saya berasa takjub dan teruja melihat lambang tersebut. Dri khabar-khabar mesra orang kampung, mereka datang pada ketika itu selepas menerima makluman daripada Po A atas isu yang melibatkan beberapa bidang tanah yang bakal diambil secara paksa oleh sebuah pemaju dan disokong oleh seorang wakil rakyat kawasan saya.

Dari jarak yang tidaklah terlalu jauh, saya mendengar seorang orator berpidato. “Tanah ini punya bangsa yang berani dan kitalah bangsa pemberani itu. Dari darah yang sama dan bahasa yang satu kita genggam kobar-kobar cinta” Ucapan itu saya dengar dengan penuh ketekunan. Penuh kata-kata semangat tanpa retorika seperti beberapa perkumpulan yang datang ke kampung saya tempohari. Tapi saya hairan, walaupun beberapa perkumpulan terdahulu mewakilkan beberapa orang daripada ahlinya berucap yang entah apa-apa seperti bulan yang sedang mengambang baru saja dikaitnya. Orang ramai tetap dan sanggup berdiri bahkan khemah serta kerusi yang disediakan pun tidak cukup menampung kedatangan orang kampung yang begitu ramai.

Orator itu tidak menghiraukan jumlah kehadiran pada masa itu dia tetap dengan penuh semangat terus berpidato dengan lantangnya “Katakan kepada mereka para borjuis dan bangsawan di istana, warna kulit kita walau berbeda harmoninya bisa menggugah kekuasaan rakus.”

Itulah kali pertama saya mendengar perkataan borjuis walaupun tidak memahaminya dan orator itu tegap berdiri dan tangannya acap kali terhunus ke kanan dan ke kiri. Sesekali terpukau saya melihatnya dan ketika ada sedikit ketegangan berlaku. Saya masih lagi mendengar dia berpidato “Orang yang bermaruah dan punya jati diri tidak akan memperlecehkan bangsanya dan apa jua bangsa. Menghargai bangsanya dan apa jua bangsa. Meninggikan bangsanya dan apa jua bangsa. Tapi jika dia ingin membenci bangsanya, bencilah pada diri sendiri kerana sifat individualitasnyalah yang merendahkan maruah bangsanya, kerana sikap individualitasnyalah yang meruntuhkan bangsanya. Bukan bangsanya yang meruntuhkannya.

Tidak ada di dalam mana-mana anutan apapun yang menyuburkan kebencian melainkan kedamaian dan percintaan yang sejagat kecuali atas dasar iri hati dan buruk sangka apatah lagi yang menindas sesama kaum yang lemah serta menzalimi bangsanya. Maka atas hal-hal demikian, kami bersama anda di sini. Kami tidak ada sejumlah wang yang dibawa untuk ditabur kepada kalian!

Kami tidak ada janji-janji mega buat kalian! Yang kami ada, adalah sebuah harapan dan semangat. Maka dengan harapan dan semangat inilah yang kami bawa untuk bersama-sama kalian bagi melawan penindasan ini. Kita akan sedaya-upaya melawan dan memprotes melalui saluran-saluran yang telah tertulis dan dibenarkan. Jadi, kalau tuan-tuan dan puan-puan lihat di belakang saya, ada beberapa orang rakan-rakan saya sedia membantu tuan-tuan dan puan-puan bagi melalui proses-proses perundangan.”

Dan saya tertiba teringat, ketika di sebuah malam ketika saya dan Po A sedang duduk-duduk di pangkin hadapan rumah saya. Po A berkata, “Apa-apa pemikiran, idelogi, bangsa, mazhab, agama dan kepercayaan pun akan aku dukung selagi ianya menganjurkan kedamaian, keadilan, kemanusiaan dan kecintaan.”

Kata-kata Po A yang hebat itu masih lagi terdengar dengan sulit dan kuat di ingatakn saya. Walaupun pada ketika itu saya langsung tidak memahami apa yang cuba diperkatakan oleh Po A dan kenapa dia dengan tiba-tiba berkata sedemikan tetapi saya sangat tersentuh malah tidak membenci tetapi semakin bertambah semangat. Justeru, setiap kata-kata Po A malam itu saya catit di atas sebuah kertas tebal lalu menggantungnya di satu sudut dalam bilik. Biar terus semangat bila melihatnya.

Sambil mengulangi kata-kata agung orator itu, tertiba tangan saya menjulang ke udara bersama sebuah kepalan. “Lawan prejudis! Lawan penindasan! Manusia selayak dilayan dengan baik!” Dia tertiba menempik. Kuat dan tegas suaranya. Begitu juga saya dan orang-orang yang berada di situ. Dan suasana semakin huru-hara, pergelutan berlaku. Orator ditangkap. Orang-orang kampung ada yang menjerit marah dan ada yang menjerit takut. Sebilangannya rebah ke tanah dan sebilangannya lari. Yang rebah di tanah pula ditangkap.

Ya, setelah lima tahun lembaga itu hilang, sekarang mereka mula kelihatan lagi, melata-lata di kampung saya. Saya pernah dengar ayah berkata kepada Po A. “Politikus sudah keluar dari lubang gelap. Bermulalah retorika huha-huha” entahlah, saya tidak mengerti politikus itu apa dan retorika itu apa..
Saya berharap kata-kata para lembaga itu kepada ibu saya tempohari adalah satu kesilapan. “Mak cik, nanti lagi beberapa minggu. Mak Cik ajaklah suami mak cik ke sekolah di hadapan kampung dan semasa mak cik mahu menanda sekeping kertas ini mak cik tanda begini di ruang yang kosong ini di bahagian ini.” sambil mengeluarkan sekeping kertas contoh dan menunjukkan sesuatu,

“bukan apa makcik, kita sama-sama satu bangsa, satu agama. Kitalah yang saling menjaga antara satu sama lain. Yang buat tak betul tu, seorang sahaja tapi yang betul ramai lagi..dan ramai lagi yang sebelum ini membantu dan beri itu ini untuk kita semua Kalau mak cik tak suka dia, tak mengapa. Mak cik pejam mata sekejap ja, lepas itu mak cik tanda sahaja di ruang yang ada lambang ini. ”

Tapi yang saya tahu selepas pesta-pestaan nanti mereka akan segera berbondong-bondong masuk semula ke dalam lubang gelap itu. Saya tidak pernah memasuki lubang gelap itu, tapi Po A kata di dalamnya sejuk dan nyaman. Tidak ada gangguan dan entahlah, saya rasa para lembaga di dalam lubang gelap itu semestinya tidak pernah berifkir atau mahu berfikir. Menjadi bangsa apa pun bukanlah satu kesilapan. Kerana sesuatu bangsa tertegak daripada umatnya, hasil cerminan individualitas yang murni atau yang tohor, luhur atau jelek. – Roketkini.com