Berita

Letih menunggu, jemputan forum ditampal ke dinding SPRM

PUTRAJAYA, 7 JUL: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock (TBH) serta beberapa wakil TBH Trust For Democracy gagal bertemu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad di pejabatnya di sini, hari ini.

Adik TBH, Teoh Lee Lan yang ditemani Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta dua wakil TBH Trust For Democracy, Faisal Mustaffa dan Ng Yap Hwa menunggu hampir setengah jam di hadapan pintu masuk pejabat agensi itu.

Kehadiran mereka adalah untuk menyerahkan surat jemputan bagi dua acara yang bakal diadakan bersempena untuk memperingati ulang tahun kematian TBH yang kelapan pada 16 Julai hadapan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Namun, Dzulkifli enggan bertemu mereka, malah pengawal keselamatan serta pegawai yang menemui mereka menghalang mereka daripada memasuki premis berkenaan kononnya sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Kesal dengan layanan sebegitu, Yap Hwa bertindak menampal surat jemputan itu di dinding bangunan agensi berkenaan. “Kami bukan pengganas,” tegas Lee Lan kepada petugas SPRM.

Pak Samad yang juga Pengerusi TBH Trust For Democracy turut meluahkan kekecewaannya: “Barangkali yang banyak tidak membantah adalah dinding”.

Terdahulu, Faisal Mustaffa memberitahu media bahawa TBH Trust For Democracy akan mengadakan dua acara iaitu Memorial Ulang Tahun Kelapan TBH serta forum bagi membincangkan mengenai reformasi SPRM.

Surat jemputan ditampal di dinding bangunan SPRM

Beliau turut membacakan tiga soalan kepada Dzulkifli yang turut disertakan dalam surat jemputan berkenaan yang antara lain menyentuh mengenai penyiasatan terpilih yang dilakukan SPRM, tindakan disiplin terhadap pegawai yang menyebabkan kematian TBH serta langkah reformasi yang akan diambil SPRM bagi menangani isu kematian dalam tahanan dan hak asasi manusia.

“Dalam forum berkenaan kita akan menjemput Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad untuk bersama-sama sebagai panel dalam forum tersebut,” katanya yang juga aktivis dan penggiat seni.

Bila nak siasat MO1 seperti siasat Beng Hock?

Sementara itu Lee Lan mempersoalkan tindakan SPRM yang melakukan siasatan terpilih dengan menyiasat selama berjam-jam mendiang abangnya sehingga mati namun tidak pula menyiasat skandal 1MDB yang melibatkan “Malaysian Official 1” (“MO1”).

“Tindakan SPRM terhadap kes ini (skandal 1MDB) berbanding dengan kes Teoh Beng Hock amat ketara. Lapan tahun dahulu SPRM mengarahkan 33 pegawainya untuk menyiasat Teo Beng Hock sepanjang malam, dari pukul enam (petang) sehingga empat (pagi).

“Tetapi dalam kes ‘MO1’, kita lihat RM2.6 bilion (telah diselewengkan), namun adakah SPRM telah menggunakan cara yang sama seperti yang digunakan mereka untuk menyiasat Teoh Beng Hock?” katanya.

Pak Samad berkata, acara berkenaan adalah lanjutan daripada usaha keluarga mendiang bagi mendapatkan keadilan terhadap kematian ahli keluarga mereka.

“Ia juga adalah kelangsungan daripada ketidaksenangan kami terhadap peristiwa Teoh Beng Hock yang sampai sekarang tidak mendapat keadilan yang saksama.

Malah, kata beliau yang juga anggota DAP lagi, pihaknya telah mengambil pelbagai inisiatif bagi menuntut jawapan terhadap kematian TBH.

“Sejauh ini memang tidak ada apa-apa, kami tidak senang hati dan kami akan terus berjuang sehingga keadilan dicapai,” ujarnya. – Roketkini.com