Sastera

Pemberontakan di sekeping kertas

“sekeping kertas itu bukan untuk membeli tetapi seringkali dianggap budi.”

Enjin kenderaan itu memberontak, kuat sekali bunyinya, hingga beburung merbuk yang sedang bertenggek di wayar letrik tersebut terbang. Terbang lalu hinggap di sebatang pohon jati yang rantingya kebanyakan sudah mereput. Saat burung yang terakhir terbang meninggalkan wayar tersebut, beberapa tetes tahinya sempat dilepaskan dan jatuh meleleh di cermin sebuah kereta yang diletakkan di bibir jalan sebelum kereta tersebut bergerak.

Barangkali sudah separuh abad usia pohon tersebut mekar. Kini dedaunnya sudah tidak selebat dahulu, kelihatan yang subur hijau adalah pokok tumpang yang sangat merimbun di beberapa dahan hingga berjuntai ke ranting paling bawah dan akar pohon jati tersebut ada yang tersembul keluar dari tanah. Ada yang besar dan ada yang kecil, tersusun dan rapi. Dan kenderaan itu terus dipacu laju, hanya yang ditinggalkan adalah kepulan asap hitam. Terbang dan perlahan kepulan asap yang hitam itu sirna.

Hatiku juga memberontak. Ada rasa yang sedang merusuh, ada perasaan yang sedang sugul dan ada jiwa yang sedang menekan. Semua tiba dalam satu detik yang sekejap tanpa sempat memutar satu putaran minit yang kedua kali. Tika itu, warasku hanya tinggal sekadar membenarkan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi tanpa memikirkan kesan. Semua gara-gara sekeping kertas yang tiba-tiba membunuh rasa belas. Ya! Hanya sekeping kertas. Lalu, manusia pun terbabas.

Alam sekelilingku juga memberontak. Satu jam yang lalu, sebelum semua pemberontakkan ini terjadi, jalan raya lengang, beburung merbuk tadi rasanya belum tiba di wayar tersebut dan sudah semestinya cermin kereta tersebut pun tidak akan tercemar. Satu jam yang lalu juga sebelum hatiku memberontak, hujan turun tapi tidak terlalu lebat. Ada sesekali angin yang kuat sedikit mengusik ilalang yang merimbun di padang berdekatan pohon jati tersebut. Melengguk ke kiri dan ke kanan taktala angin datang dan menggugahnya. Di beberapa rimbunan ilalang yang masih segar menerbangkan bunganya yang ringan pabila angina tersebut menerpa ke arahnya. Dan ada sebagian kecil ilalang itu juga sudah ada yang kekeringan dedaunnya. Jika ada orang yang tidak bertanggungjawab sengaja melemparkan puntung rokok, setidak-tidaknya marak jugalah apinya yang bakal menyambar dan membakar itu. Endak-endak lagi angin yang datang tadi sesekali datangnya bersikap tanpa belas. Seperti manusia yang sesekali hilang waras.

Satu jam yang lalu juga, alam yang memberontak selepas satu jam selepas itu telah meranapkan beberapa buah rumah dan menerbangkan beberapa keping atap zink lalu menghempap pepohon pisang yang pepohonnya baru sahaja mengeluarkan jantung. Di kampung, sudah menjadi kebiasaan warga untuk  menanam pohon pisang. Walaupun tidak sebagai sumber pendapatan tetapi cukup sekadar pelengkap landskap rumah.

Selepas satu jam selepas semua pemberontakkan ini terjadi, aku kaget. Kenapa pemberontakkan harus terjadi tika damai mencemuh resah?

***

Jam 2.00 petang, selepas keadaan kembali tenang. Kucapai helaian kertas tersebut dan mengangkat ke langit. Kudongak dan tatap ia dengan penuh tanda tanya, lalu kutunduk ke bawah semula dan amati beberapa patah kata di sekeping kertas. Dua hal yang berbeda tetapi dalam satu pertanyaan. Tidak ada jawapan untuk sebentar ini, hanya usik-usik nakal ni fikiran. “Barangkali kuasa bisa membeli kebenaran, dan kebenaran dibeli dengan sekeping kertas yang bernilai-seperti di Prang Besar ini?” Akal pendekku sedikit jahat, menghasut supaya tidak terlalu memikirkan semua itu. Benar, “untuk apa harusku berfikir tentang penganiayaan ini? Orang politik emang tidak ada yang benar tentang kebenaran.” Hatiku berbisik kecil.  Kedua-dua keping kertas tersebut kulipat, sekepingnya kumasukkan ke dalam kocek dan sekeping lagi kuselitkan di alang rumah.

Selepas angin kuat tanpa belas itu berlalu, yang datang secara tiba-tiba adalah sedikit kenangan lalu; soal sekeping kertas dan beberapa watak yang tertiba muncul. Teringat kembali, dek kerana sekeping kertas yang bernilai buat seketika, terjual nilai sebuah harga hidup. Kata Po A, “Kita orang kampung, yang bernilai adalah sekeping kertas.”

“Sekeping kertas yang bagaimana maksudmu?”

“Kertas yang orang bisa beli secupak beras atau sekati ikan”

“Wang?”

“Ya, wang. Bukan sekeping kertas dari konvokesyen gemilang!”

“Kenapa sampai begitu sekali kau ingin menyindirku? Kerana sudah empat tahun aku bergraduansi dan tak punya kerja yang bagus?”

“Bukan begitu maksudku, aku tidak menyindirmu. Bahkan gembira dan bangga punya teman sepertimu. Bisa belajar sampai ke menara gading. Bisa belajar ke negeri orang. Tapi aku hanya kerja kampung saja.”

“Lalu apa kaitannya tentang sekeping kertas yang kau maksudnya tersebut?”

“Apa kau tidak ingat bagaimana kawan-kawan kita terbeli dengan sekeping kertas di pemilu lalu?”

“Wang?”

“Ya, wang. Wanglah yang mengaburi kewarasan mereka dan dengan wang bisa saja kita membeli segala termasuk maruah”

“Entahlah Po, endak sedihkan orang, diri sendiri pun kadang-kadang terlihat juga sedihnya. Aku ini, sudah berapa tahun habis belajar. Tak juga dapat menyenangkan orang tuaku. Ada sedikit rezeki dan simpanan, niatnya mahu membawa mereka berjalan ke negara jiran. Tapi bedebahnya, namaku disenarai hitamkan pula kerana tak menjelaskan pinjaman semasa belajar dahulu!”

“Banyakkah?”

“Boleh tahan juga banyaklah, tapi bagaimana aku bisa menjelaskannya, ada sedikit wang, cukup-cukup tampung hidup! Itu dulu, masa Pak Wan masuk kampung ceramah politik untuk partinya! Aku ingat dengan jelas lagi janji-janji mereka! Mau kasi pedidikan percuma. Mau bantu orang susah! Tapi? Orang kampung tak endahkan. Katanya gebang lebih. Apa gila nak bagi percuma-percuma. Belajar kena pakai wang banyak. Kalau beribu, ratus, juta orang belajar nak dikasi percuma. Mau gadai negara? Aku ingat lagi tu, Haji Semeon bilang. “Nak bagi percuma? Mau dijual negara! Mau dijual negara” acap kali benar diulangnya..”

“Iyalahkan. Kalau mereka korupsi tak dijual negara pulak kan? Itu sawit, getah, minyak, balak..Ahh! macam-macam lagilah! Mereka pelahap sampai habis dengan sisa-sisanya sekali. Kita dapat hampas..hutang! alih-alihnya..kita pula terpaksa menanggung bala daripada sikap buruk mereka!”

“Aku sebenarnya kecewa..kecewa dengan teman-teman kita Po , mereka cuma berpikir pendek dan senang untuk sekejap. Tapi apa kita mampu buat? Dinasihati sudah, diberi ajar pun sudah, di kasi baca pula malas. Hari itu, teman aku dari kota datang. Berdegar-degar dia ituinikan aku, bilangnya aku harus majukan kampung. Bagi edukasi kepada orang-orang kampung. Wujudkan ruang seni untuk beraktiviti supaya membuka lapangan minda mereka. Aku tanya dia semula apa dia telah berjaya bikin di kampungnya?  Dia kata, tengah cari masa yang sesuai untuk pulang dan menetap di kampung. Lucu sekali orang itu..”

“Betul Yudha, dia itu orang kota yang asal dari kampung dan jarang tinggal di kampung. Di kota barangkali orang-orangnya sentiasa menerima walaupun tak selalu meminta. Tapi di kampung, lain penerimaan. Lain padang lain belalang dan kita tak pernah putus asa untuk berbuat sesuatu. Cuma masa belum mengizinkan kita.. Orang yang banyak bercakap, angin sahajalah yang keluar. Aku rasa jika dia tinggal di kampung kita. Tiga bulan mesti dia pening kepala. Tapi sekurang-kurangnya orang kampung ini ada satu nilai yang bagus. Kerjasama…”

“Iyalah tu kerjasama… Tapi nak jatuhkan pemimpin korup tidak mahu pula berkejasama..”

“Politik ini ada pelbagai ragamnya, politik baka, politik jamak, politik wang, politik babu dan banyak lagi Yudha..kau kena paham itu..”

“Wah, banyak juga ya?”

“Iyalah, di kampung kita, selalunya yang ada, politik baka dan politik babu.”

“Politik babu?”

“Iya, babu..balas budi. Politik balas budi”

***

Petang itu sekitar jam enam, seorang wakil kepada rakyatnya yang dipilih ketika pemilu datang ke kampungku sambil diiring ketua kampung dan dua tiga orang kananya cuba memberikan sedikit perhatian yang palsu dengan mememekkan wajah supaya kelihatan sedih dengan apa yang terjadi, walhal ketika mula-mula keluar dari pintu kereta kulihat ketawanya agak penuh personifikasi.

Ketika memekkan wajahnya semakin ketara, aku cuba bertanya di dalam hati “harus kenapa aku di sini?” Belum sempat kulanjuti persoalan itu, wakil kepada rakyatnya bersuara “Pak cik jangan terlalu khuatir, paling lama dalam seminggu siaplah bumbung ini, saya akan uruskan supaya dipercepatkan proses membaikinya.” Pak cik yang mendengar tersebut tersenyum, terharu dan beruntung mendapat wakil rakyat seperti itu dan selang tiga hari beberapa atap zink pun tiba dengan sebuah lori bersama beberapa alatan lain. Dan beberapa keping atap zink dan alatan itu terus terbiar hingga hampir sebulan tanpa disentuh. Wakil kepada rakyatnya juga sudah tidak kelihatan. Maka ketika bulan melangkah ke bulan berikutnya di minggu pertama. Orang-orang kampung mula bergotong royong memasang atap tersebut. Hanya beberapa jam di pagi hari, atap tersebut siap di pasang.

Sekali lagi tiba-tiba aku menjadi terlalu penasaran, semangat apakah yang terlalu kuat pada sekeping kertas? Kerana tempohari sebelum wakil kepada rakyatnya pulang, dia mengeluarkan kertas dan memberikan kepada pak cik tersebut ketika bersalaman dan pak cik tersebut begitu tersenyum.

Ada benar bilang Po A tempohari, sekeping kertas dari sebuah gedung ilmu yang besar tidak mampun melawan sekeping kertas yang keluar dari kantor korupsi. Politik kampung tidak perlu menghujah dengan pelbagai bahasa-bahasa intelektual kerana orang kampung mudah tertambat dengan perilaku yang bisa dekat dengan suasana mereka; menanam budi dan akan dikenang ingat hingga mati dan bagi orang-orang kampung, sekeping kertas itu bukan untuk membeli tetapi seringkali dianggap budi.

Dan Pak Wan pun selepas kalah dalam pilihanraya, batang tubuhnya juga sudah tidak kelihatan di kampung, begitu jua soal permasalahan kampung juga sudah tidak dipedulikannya lagi. Begitulah orang politik, datang dan pergi dengan bahasa basi. Mereka tidak tahu politik baka dan politik babu. Jika Pak Wan tidak mampu memberikan budinya dengan wang, dia harus pikir cara yang wajar untuk memberi budi dengan lain caranya. Itulah politik kampung. Ada anehnya yang menyenangkan, ada anehnya yang menyesakkan tapi dengan sekeping kertas bisa mengubah yang baik menjadi buruk dan jelek menjadi indah dan tentang sekeping kertas yang bernilai, takkan ada tuntasnya jika mahu dimengerti lebih. – Roketkini.com