Berita

Menjelang Aidilfitri, DAP Perak baiki bumbung rumah warga emas, OKU

TAIPING, 23 JUN: Impian warga emas yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU), Mohd Yusof, 69, yang tinggal di Lorong Dua, Aulong Lama dekat sini untuk melihat bumbung rumahnya yang bocor dibaikpulih mendapat perhatian DAP Perak.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, hasil bantuan yang disalurkan menerusi program Impian Perak, kerja-kerja memasang bumbung yang baru telah dijalankan di rumah Mohd Yusof.

“Berita baik ini umpama hadiah Hari Raya Aidilfitri yang paling bermakna kepada Yusof sekeluarga kerana mereka tidak perlu lagi khuatir terhadap kebocoran bumbung khususnya pada musim hujan,” katanya.

Mohd Yusof ketika ditemui pemberita berkata beliau sekeluarga amat berterima kasih di atas keprihatian yang ditunjukkan wakil rakyat DAP terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

Dalam pada itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, mengikut laporan Jabatan Statistik di Jabatan Perdana Menteri, Perak kini merupakan negeri kedua termiskin di seluruh negara.

Mengikut data itu juga katanya lagi, 81 peratus keluarga di negeri ini memperolehi pendapatan purata bulanan kurang daripada paras kebangsaan iaitu RM6,145, manakala lebih 20 peratus memperoleh pendapatan kurang dari RM2,000.

“Laporan Jabatan Statistik juga menunjukkan negeri Perak kini mempunyai jumlah keluarga miskin atau berpendapatan rendah yang paling ramai di seluruh negara.

“Sebanyak 122,000 buah keluarga di negeri ini merupakan keluarga berpendapatan amat rendah dan memerlukan bantuan.

“Ini menunjukan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang ada pada hari ini telah gagal dalam meningkatkan pendapatan rakyat khususnya kos sara hidup kian membebankan selepas kerajaan BN melaksanakan cukai GST,” ujarnya.

Justeru, Kor Ming yang juga Penolong Bendahari DAP Kebangsaan menyeru agar kerajaan negeri Perak mencari jalan untuk mengatasi kemiskinan yang semakin menjerut kehidupan rakyat negeri ini.

“Kerajaan negeri perlu lebih pro-aktif dalam membantu rakyat mencari jalan menambah pendapatan dan bukan bergantung kepada bantuan semata-mata,” ujarnya lagi. -Roketkini.com