Berita

Demo MIC di pejabat DAP sia-sia, rupanya kenyataan pun tak habis baca

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC nampaknya tidak membaca sehabis baik kenyataan berhubung kanak-kanak tidak bernegara yang dikeluarkan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching sebelum ini.

MIC mendakwa kononnya Nie Ching mengeluarkan kenyataan tidak benar apabila mengatakan bahawa terdapat hampir 300,000 kanak-kanak kaum India di negara ini tidak mempunyai kerakyatan Malaysia.

Bagaimanapun, hasil semakan kenyataan Nie Ching pada 8 Jun 2017 mendapati beliau hanya menjelaskan bahawa terdapat 290,437 kanak-kanak tidak bernegara berumur bawah 18 tahun menetap di negara ini dan tidak menyentuh secara khusus kaum India.

Angka itu pula adalah berdasarkan pendedahan yang dilakukan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri pada November tahun lepas di Parlimen.

Justeru, demonstrasi penyokong MIC yang dipimpin setiausaha sayap pemudanya, K. Arvind di Ibu Pejabat DAP dekat sini hari ini dilihat sebagai usaha yang sia-sia.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP ketika dihubungi Roketkini berkata, jumlah kanak-kanak tidak bernegara yang didedahkan Zahid Hamidi itu tidak menyatakan secara spesifik mengikut pecahan kaum.

“Zahid tidak pernah mengatakan bahawa semua daripada mereka adalah kaum India. Saya juga tidak pernah kata mereka itu adalah daripada kaum india.

“Malah, Zahid dalam jawapan balas (di Parlimen) enggan mendedahkan kaum kanak-kanak tidak bernegara ini. Jika MIC berminat hendak tahu mungkin mereka patut pergi ke pejabat Zahid, bukannya Ibu Pejabat DAP,” katanya.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, MIC telah menjalankan pelbagai kempen untuk menyelesaikan masalah berkenaan, namun sehingga kini ia tidak membuah hasil yang diingini.

“Justeru, cadangan saya asasnya adalah ini: Jika salah seorang ibu bapa (secara biologi atau secara angkat) adalah rakyat Malaysia, anak mereka sepatutnya diberikan taraf warganegara.

“Adakah MIC bersetuju dengan saya mengenai cadangan ini? Saya bersedia untuk bekerjasama dengan MIC untuk menyelesaikan masalah ini, secara tuntas,” katanya. – Roketkini.com