Rencana

“Kembali kepada fitrah manusia yang saling berkasih sayang” – Perutusan Aidilftiri Ketua Parlimen DAP

Perutusan Aidilfitri Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pada hari Sabtu, 24  Jun 2017 di Gelang Patah

Kembali kepada fitrah manusia yang saling berkasih sayang, hormat menghormati, bertoleransi dan menolak politik kebencian serta mengadu domba, demi menyelamatkan Malaysia

Syeikh Abdullah Bin Bayyah, presiden Forum Memupuk Keamanan dalam Masyarakat Muslim (Forum for Promoting Peace in Muslim Societies) dilaporkan berkata dalam World Economic Forum 2017 di Davos Januari lalu, seperti berikut:

“Saya ingin menyeru semua orang yang mempunyai niat yang baik. Kita mesti menyusun gerakan untuk bekerja dan berjuang bersama. Saya tidak menyebut seperti Marx, ‘pekerja sedunia bersatulah’; tetapi saya menyeru orang baik di seluruh dunia supaya bersatu.”

Saya harus bersetuju dengan Bin Bayyah dalam hal ini. Orang baik-baik di seluruh dunia, terutamanya di Malaysia harus mencari titik-titik pertemuan pada nilai-nilai sepunya, agar dapat mendidik masyarakat supaya saling hormat menghormati dan bertoleransi serta saling memahami, dalam usaha besar untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang gagal dan saling bercakaran sesama sendiri.

Kita percaya bahawa manusia secara fitrahnya dilahirkan tanpa rasa saling membenci dan bermusuhan. Aidilfitri pula ertinya kembali kepada fitrah, yang bukan sahaja bersih dan suci dari dosa tetapi juga kembali kepada asas fitrah insani yang tidak mempunyai prejudis perkauman atau diskriminasi berasaskan keturunan, agama, daerah mahupun latar ekonomi.

Oleh yang demikian, bersempena dengan Aidilfitri kali ini, saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar kembali kepada asas-asas kemanusiaan; selain kembali kepada asas-asas yang telah dibina oleh mereka yang terdahulu dalam membangunkan negara yang berbilang kaum dan agama.

Malaysia dibina atas asas kepelbagaian dan kemajmukan budaya, bahasa dan tradisi. Inilah intipati kepada semangat Malaysia untuk rakyat Malaysia, yang merupakan solusi kepada permasalahan yang sedang kita hadapi hari ini, di tengah kemelut sentimen politik perkauman dan agama yang ditiup demi kepentingan kuasa pihak tertentu, yang pastinya merugikan dan merosakkan fabrik masyarakat.

Akhir-akhir ini kita dijamu lagi dengan permainan politik perkauman dan agama yang pastinya lebih mudah memujuk sensitiviti, berbanding isu-isu yang lebih penting seperti cukai GST terhadap senarai 60 barang kegunaan tambahan, yang tiba-tiba sahaja dibatalkan walaupun sudah diwartakan selama hampir dua minggu. Bukan itu sahaja, sentimen kaum dan agama terus digunakan untuk menutup salah laku Malaysian Official 1 dan isterinya, yang terus didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Bulan Ramadan kali ini memperlihatkan bagaimana dunia terus bergolak dengan sikap ektremisme atau disebut tatharruf dalam beragama, berbanding mengambil jalan tengah wasatiyah; yang akhirnya membawa akibat buruk kepada pertembungan antara kaum dan agama termasuk serangan-serangan di Eropah dan paling dekat di Marawi, Filipina.

Saya ingin mengajak rakyat Malaysia agar menjadikan Aidilfitri kali ini sebagai peluang untuk saling bertoleransi dan menolak fahaman melampau dan berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pergolakan antara kita sesama rakyat Malaysia.

Semalam saya melihat bagaimana masyarakat Kluang dapat sama-sama meraikan kedatangan Syawal dengan penuh harmoni dan muhibbah dalam perkongsian oleh Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang hadir ke program ‘Grab a Dodol’ anjuran Datuk Khairul Anwar, yang juga penganjur forum ‘Nothing to Hide’.

Liew Chin Tong tempoh hari dikasari oleh sekumpulan samseng ketika mengedarkan kurma di Bazar Ramadan Kluang yang cuba menghalang beliau daripada masuk ke kawasan yang khabarnya dikuasai penyokong UMNO, setelah lebih sejam berjalan dan mengedarkan kurma dalam keadaan aman harmoni. Pelbagai andaian dibuat, tidak kurang juga pemimpin UMNO tempatan yang menyokong kekasaran terbabit. Namun acara semalam, yang dianjurkan oleh seorang pemimpin UMNO, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sebenarnya mampu untuk kembali kepada asas kemajmukan yang meraikan kepelbagaian dan menolak politik keganasan, samseng dan fitnah-memfitnah.

Janganlah kita terpengaruh dengan politik hasad dengki yang memecah-belahkan kita sebagai sebuah masyarakat yang saling hormat menghormati, kasih-mengasihi dan hidup dalam sebuah negara yang harmoni.

Jadikanlah Aidilfitri kali ini sebagai peluang untuk saling bermaaf-maafan, dan peluang untuk membersihkan diri dan negara daripada daki-daki korupsi, rasuah dan salahguna kuasa yang telah membawa Malaysia ke persada kutukan antarabangsa sebagai sebuah kleptokrasi global yang diperintah oleh perompak, penyamun dan pencuri.

Pada masa yang sama, kita tidak mahu melihat negara menjadi tempat berulangnya manifestasi ekstremisme seperti yang berlaku di London, Manchester, Paris, Jakarta, Filipina dan Tehran. Inilah sebabnya kenapa seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai niat dan tujuan yang baik, mesti sama-sama berganding bahu menyatakan pendirian jelas menolak segala bentuk sikap tidak toleran, ekstremisme dan sikap fanatik tidak kira dalam apa jua segi di Malaysia.

Malaysia hanya boleh terus bergerak menuju sebuah negara yang aman makmur dan harmoni, sekiranya kita semua bersetuju dengan nasihat Bin Bayyah supaya bersatu atas satu niat yang baik, dan membina toleransi sifar terhadap ekstremisme kaum, agama dan sikap fanatik dalam apa jua bentuk.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam Aidifitri kepada seluruh rakyat Malaysia. Maaf zahir dan batin. – Roketkini.com