Uncategorized

BN dolak-dalik, ibu-ibu dan anak-anak terus menderita

KUALA LUMPUR, 24 JUN – Enam tahun dahulu, Barisan Nasional berjanji untuk mengkaji bagi meminda Akta Perkahwinan dan Perceraian  supaya lebih tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap suami yang enggan membayar saraan hidup kepada isteri yang diceraikan serta nafkah anak-anak mereka.

Sehingga sekarang kerajaan BN masih “mengkaji” sedangkan beribu-ibu bekas isteri dan anak-anak mereka sengsara menjadi mangsa bekas suami dan bapa yang tidak bertanggungjawab.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Wanita DAP Chong Eng yang mengingatkan semula kerajaan BN atas janji Datin Paduka Chew Mei Fun yang pada ketika itu menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menyelesaikan masalah hak wanita itu.

“Semasa beliau menjawab soalan saya di Parlimen pada tahun 2005, beliau berkata bahawa kerajaan sedang mengkaji kemungkinan meminda Akta Perkahwinan dan Perceraian. Masa itu Chew mengatakan kerajaan sedar kesusahan yang dialami oleh ibu-ibu tunggal yang bercerai dan anak-anak mereka apabila bekas suami gagal untuk membayar saraan hidup tersebut.

“Beliau juga mengaku bahawa Mahkamah Tinggi pada Ogos 2005 pernah memutuskan bahawa keengganan bekas suami membayar saraan hidup apabila diarahkan oleh mahkamah tidak dianggap sebagai satu tindakan menghina mahkamah.

“Chew juga menyatakan bahawa tanggungjawab untuk meminda Akta tersebut terletak pada Kementerian Dalam Negeri. Selepas itu, Chew telah menjadi seorang Timbalan Menteri sehinggalah beliau meninggalkan politik dua tahun yang lalu.

“Namun sehingga kini, pindaan Akta Perkahwinan dan Perceraian masih belum lagi dibincangkan di Parlimen,” katanya.

Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata dalam persidangan Dewan Rakyat minggu lalu, rakan sejawatnya Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan telah membangkitkan isu itu sekali lagi.

Selain menyeru kerajaan supaya membentangkan pindaan Akta tersebut di Parlimen serta merta, katanya, Fong juga mencadangkan supaya si suami atau bapa yang gagal membayar saraan hidup disenaraihitamkan untuk menghalang mereka daripada mendaftar perkahwinan baru sehingga semua saraan hidup bekas isteri dan anak dibayar dengan sepenuhnya.

“Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong ketika menjawab soalah Fong Po Kuan, telah berdolak dalih, antara lain menyatakan bahawa isu ini melibatkan pelbagai kementerian dan salah satu daripadanya ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, justeru ia akan memakan masa untuk perbincangan sebelum apa-apa tindakan boleh diambil,” tambah beliau.

Persoalannya ialah enam tahun telah berlalu sejak Chew Mei Fun memberikan jawapan beliau bahawa kerajaan sedang mengkaji pindaan Akta tersebut, kata Chong Eng lagi.

Chong Eng menambah beribu-ribu kaum ibu dan anak-anak mereka hidup merana kerana sikap tidak bertanggungjawab bekas suami yang enggan membayar saraan hidup.

“Di Parlimen, saya telah mengingatkan kerajaan bahawa enam tahun adalah masa yang amat panjang untuk mengkaji sesuatu Akta.

“Saya kesal terhadap kelewatan yang tidak boleh dimaafkan ini dan salah satu faktor penyebabnya ialah pembuat keputusan tertinggi dalam kerajaan pusat BN yang rata-ratanya pemimpin lelaki tidak sensitif gender serta tidak berupaya untuk bersimpati dengan nasib kaum ibu dan anak-anak.

“Saya menyeru supaya kerajaan mempercepatkan capaian matlamat 30 peratus wanita dalam peringkat pembuat keputusan tertinggi agar kerajaan menjadi lebih sensitif kepada keperluan para ibu dan anak-anak serta tidak bersikap kejam serta zalim terhadap wanita,” katanya. – Roketkini.com