Wawancara

Demokrasi sosial, negara berkebajikan dan bas percuma

Wawancara Roketkini dengan Liew Chin Tong

Liew Chin Tong telah dipilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Bendera dalam pilihan raya umum Mac 8, 2008. Sebelum itu, sejak 1999, Chin Tong telah berkhidmat secara rasmi dalam DAP dengan aktif memegang pelbagai jawatan. Sekarang beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan juga Setiausaha Antarabangsa DAP.

Chin Tong berkelulusan ijazah Sains Politik dan ijazah kepujian dalam bidang Pengajian Asia dari Universiti Nasional Australia, dan memegang Sarjana Antarabangsa dalam Integrasi Serantau dari Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.

Kenali serba sedikit tokoh muda ini melalui wawancara wartawan Roketkini Amaluddin Zhafir bersama beliau.

Sila terangkan sedikit latar belakang saudara dan keluarga saudara.

Saya dilahirkan di Kuala Lumpur, ibu bapa saya boleh dikira sebagai miskin bandar juga lah. Ayah saya pernah jadi pemandu teksi dan pemandu bas mini. Emak pula pernah jadi kerani dan pernah membuka perniagaan kecil-kecilan. Saya tinggal di Petaling Jaya selama ini sebelum saya di hantar ke Pulau Pinang.

Nenek dan datuk saya berasal dari negara China. Sebenarnya, ayah saya berasal dari tempat yang miskin juga, iaitu di kawasan perkuburan berdekatan Istana Negara sekarang. Jadi secara umumnya, saya datang dari keluarga yang miskin.

Bagaimana dengan pengajian saudara?

Saya belajar di SRJK SS2 Petaling Jaya, Selangor, selepas itu menyambung pelajaran di sebuah sekolah persendirian berbahasa Cina di Klang. Pada 1997, saya pernah belajar di sebuah kolej swasta tetapi kerana kegawatan ekonomi, saya berhenti dan selepas itu saya ditawarkan biasiswa oleh sebuah kolej swasta yang lain.

Di kolej itu, saya mengambil kursus pengajian Sastera Cina untuk dua tahun. Tetapi saya tak sanggup habiskan pengajian saya di sana kerana tertarik dengan gelombang reformasi politik negara dan juga politik kampus.

Selepas itu saya pergi ke Australia, saya belajar dua tahun di sana, saya memang menyertai reformasi dan aktiviti politik lain dan saya kempen untuk DAP dalam PRU 1999, selepas tu saya bekerja untuk Teresa Kok.

Selepas beliau menjadi Ahli Parlimen Seputeh, saya menjadi setiausaha politiknya yang pertama. Selepas itu saya ke Australia di Canberra, di  Australian National University di mana saya mengambil kurus Ijazah Sains Politik dan Pengajian Asia.

Tesis saya berkenaan dengan PAS di bawah tunjuk ajar dari pakar Dr John Funston. Beliau pernah mengajar di UKM pada 70-an dan beliau pernah menulis buku politik Melayu, kajian terhadap UMNO dan PAS. Saya belajar di bawah tunjuk ajar beliau dan buat tesis tentang PAS. Yang penting berkenaan tesis itu ialah, saya buat perbandingan antara Memorandum PAS kepada rakyat Malaysia oleh presidennya Allahyarham Datuk Fadzil Noor  dan Dokumen Negara Islam oleh pimpinan ulama PAS.

Kenapa saudara berminat dengan politik?

Saya berminat dengan politik sejak umur 9, iaitu pada pilihan raya umum 1986. Waktu itu, saya lihat di sekitar saya, kawasan perumahan saya bertukar suasananya dengan pelbagai jenis poster dan bermacam-macam program dan aktiviti politik.

Selain itu, saya juga tertarik untuk membaca surat khabar sehinggakan sanggup meluangkan masa lebih dua jam sehari untuk membaca. Itulah permulaan kepada minat saya mengenai politik.

Ini kerana saya fikir, politik mampu menetapkan kehidupan masyarakat. Dasar-dasar kerajaan, walau pun baik atau tidak, ianya boleh menentukan nilai kehidupan seseorang. Saya memang berminat mengkaji perhubungan antara kehidupan seharian dan dasar.

Sebenarnya juga, saya berminat dengan dasar pengangkutan awam. Sebab saya juga pernah menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, dan ayah saya juga pernah menjadi pemandu bas. Jadi saya fikir, kalau kerajaan memberi fokus yang lebih dengan menaiktarafkan pengangkutan awam, kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia akan bertukar.

Kalau kita ada pengangkutan awam yang baik, kematian dalam jalan raya akan dikurangkan kerana kematian, terutamanya kematian penunggang motosikal memang dahsyat.

Sebenarnya negara kita ini adalah antara ketiga yang tertinggi dalam kematian jalan raya, secara per kapita. Maksudnya, lebih dari 6,000 orang mati di atas jalan raya. Lebih dari 60 peratus kematian melibatkan penunggang motosikal.

Ini kerana, penunggang motosikal kebanyakannya berada dalam kategori golongan kurang berada dan dasar DAP memihak kepada golongan bawahan, kita  mahu menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.

Kenapa saudara memilih DAP?

Selepas pilihan raya umum 1999, Lim Kit Siang dan Karpal Singh kalah. PAS menang besar. Waktu itu, saya memang berkawan dengan semua orang. Pada ketika itu juga, saya rapat dengan Tian Chua (sekarang Naib Presiden PKR) dan kawan-kawannya, kumpulan mahasiswa DEMA.

Saudara Anthony Loke (sekarang Ketua Pemuda DAP), kami berkenalan sewaktu di universiti. Waktu itu saya belajar di New Era College di Kajang dan beliau pula mahasiswa di UKM.

Mungkin kerana gelombang reformasi, UKM tidak membenarkan ceramah. Jadi saya pada masa itu sebagai presiden persatuan mahasiswa di kolej, saya anjurkan ceramah di kolej saya dan jemput kawan-kawan dari UKM. Ini sebelum saya berkerja dengan Teresa Kok. Itu antara tahun 1998-99. Generasi reformasi.

Maksudnya waktu belajar itu saudara sudah aktif dalam DAP?

Tidak. Saya memang berkawan dengan semua. Saya menghadiri program-program anjuran DAP terutamanya forum-forum politik, dan juga aktiviti-aktiviti parti Keadilan, gerakan Reformasi, dan waktu itu saya tak berminat untuk menyertai parti politik.

Tetapi pada 1999, bila melihat kekalahan Kit Siang Karpal, saya fikir, “saya mesti lakukan sesuatu untuk membantu.” Dan dalam masa yang sama juga, Teresa Kok sedang mencari pembantu dan saya kata okay lah, saya terima kerja dengan beliau. Saya kerja untuk beliau lebih dari setahun dan ketika itu lah saya sertai DAP.

Memang DAP perlu dibantu, saya fikir. Saya berasa bahawa, memang dari segi ideologi saya lebih cenderung kepada centre left, iaitu seperti demokrasi sosial. Oleh itu juga saya lebih cenderung kepada DAP dan saya juga punya ramai kawan dalam DAP.

Apa itu demokrasi sosial?

Memang hal yang berkaitan ideologi dan dasar-dasar tidak dibincangkan dalam politik Malaysia. Tetapi sebenarnya, dasar-dasar kerajaan mempunyai kesan terhadap nyawa dan kehidupan seseorang atau masyarakat secara umumnya.

Saya berasal dari golongan yang tidak berada, cuma seorang anak kepada seorang peniaga yang tak begitu berjaya. Jadi, saya rasa isu ideologi, isu dasar ini, harus diperkenalkan kepada rakyat Malaysia bahawa ianya bukan hal besar yang tak boleh disentuh. Ianya sangat berkaitan dengan kehidupan harian manusia.

Kalau nak saya bincang apa itu demokrasi sosial, iaitu bagaimana kita hendak bantu orang bawahan supaya memanfaatkan semua, asasnya ialah, orang bawahan harus dilayan dengan bermaruah, iaitu hidup sebagai seorang insan dan bukan hamba.

Demokrasi sosial pilihan saya bersifat centre left, tapi ianya sebahagian daripada kapitalisme. Tetapi asasnya ialah untuk membantu masyarakat.

Seperti dalam konteks Malaysia sekarang, dasar DAP ialah untuk membantu golongan bawahan. Sekarang ini 60 peratus keluarga Malaysia berpendapatan bulanan kurang dari RM3,000.

Boleh bayangkan lah, 60 peratus rakyat hidup di bawah RM3,000. Yang ramainya ialah orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, tetapi ada juga orang Cina dan ramai juga India.

Harapan saya ialah untuk DAP dan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan yang memihak kepada golongan bawahan. Bila kita boleh bantu golongan 60 peratus ini, dan apabila mereka ada lebih banyak lebihan kewangan, mereka akan mempunyai kuasa untuk membeli dan memilih, dan secara langsung akan mengaktifkan ekonomi domestik Malaysia.

Demokrasi sosial memang berkenaan dengan ekonomi. Ada tiga nilai utama.

Nilai pertamanya ialah solidariti. Bermaksud, kita berada dalam sebuah komuniti. Di dalam satu komuniti besar dalam sebuah negara, orang yang berada kena bantu orang yang kurang berada supaya mereka dapat hidup sebagai manusia yang  ada maruah.

Nilai yang kedua ialah kebebasan. Kalau tiada kebebasan, masyarakat tidak boleh menyertai ruang awam, tidak boleh memberi pandangan politik. Bukan memadai hanya dengan mengundi, tetapi penyertaan rakyat dalam proses penggubalan dasar, dalam proses demokrasi. Jadi kena ada kebebasan bersuara, kebebasan berkumpul, kebebasan menyertai apa-apa jenis organisasi, kebebasan memilih dan sebagainya. Kebebasan itu penting.

Yang ketiga ialah berkaitan keadilan. Iaitu dari sudut undang-undang dan juga keadilan sosial. Keadilan sosial secara asasnya bermaksud semua manusia adalah sama dan setaraf. Semua orang ada hak dan juga berhak dikira sebagai insan sama rata. Bukan seperti komunis, bukan hasil sama rata tapi hak dan peluang saksama.

Solidariti, kebebasan, dan keadilan. Kalau tidak ada perkara ini, rakyat akan diketepikan dan diperhambakan oleh golongan yang berkuasa.

Apakah menolong orang miskin bermakna memanjakan golongan miskin?

Bukan, bukan memanjakan. Apa yang kita cadangkan ada dua aspek. Aspek gaji dan pekerja. Kita bercakap tentang kemiskinan yang 60 peratus ke bawah itu secara umum.

Idea keseluruhannya ialah kita hendak meningkatkan kualiti hidup. Kalau orang bawahan yang 60 peratus itu menjalani kehidupan yang baik, maka lebih banyak wang boleh digunakan oleh mereka, maka ekonomi akan meningkat secara keseluruhan.

Jadi apa yang kita kena buat? Pertama dari segi pekerjaan dan gaji, kita kena berikan gaji yang sesuai. Orang yang bekerja keras harus diberi gaji yang bersesuaian dengan kerjanya supaya dia boleh hidup dengan lebih bermaruah. Kalau orang yang kerja berat tetapi gaji cuma RM400 atau RM500, kemungkinan dia akan pergi rompak, lakukan jenayah, adalah sangat tinggi.

Masalahnya dengan Malaysia, terlalu ramai pekerja asing.

Jadi bagaimana membantu warga Malaysia?

Kita hendak cadangkan dua aspek. satu aspek, gaji minimun. Yang pekerja bawahan, kalau dia kerja kuat sekurang-kurangnya dia kena berada di atas garis kemiskinan.

Dan juga, sebenarnya ramai anak Melayu tidak dapat banyak peluang pekerjaan. Atau dia ada kerja, entah kerja bermutu atau bernilai, tetapi dengan gaji cuma RM600, RM700 atau RM800 sahaja.

Kenapa? Ini kerana kerajaan telah membenarkan pekerja asing yang ramai. Kalau kerajaan tak benarkan pekerja asing yang ramai, anak-anak muda Melayu akan diberi peluang pekerjaan yang lebih baik, dan ekonomi kita juga boleh melambung menjadi lebih baik.

Saya ingin bagi satu contoh. Pengutip sampah di Australia dibayar gaji yang baik. Kenapa? Kerana dia buat semua kerja. Dia lah pemandu trak, dia juga yang mengendalikan pungutan sampah. Dia buat semua kerja seorang sahaja. Gaji pengutip sampah tinggi di Australia. Mereka dianggap sebagai pekerja mahir.

Di Malaysia, kontrak diberi kepada Alam Flora, dan kemudian diserahkan kepada kroni dan kroni itu pula beri sub kontrak,  dan sub lagi , subkan kepada kroni lain sehingga akhirnya, yang mendapat kontrak terakhir itu, sikit saja wangnya. Maka, dia upahkan pekerja asing, letakkan lima atau enam orang dalam satu trak dan buat kerja kutip sampah saja.

Tidak ada produktiviti akibat rasuah dan budaya sub, sub, sub, ini.

Kalau ada kronisme, kita hapuskan sistem kroni ini. Kita upah seorang, kita buat sistem yang pintar, kita serahkan kepada sesiapa yang ingin bekerja. Mungkin dia dapat RM2,500 kerana kos gaji itu sama. Tidak payah susah-susah bagi sub, sub dan kepada pekerja asing. Cuma terus serahkan kepada anak Malaysia.

Aspek dasar kita yang lain ialah berkenaan pengangkutan awam. Kalau kita boleh hasilkan sistem pengangkutan awam yang baik, canggih, dan produktif, tidak payah bawa kereta, tidak payah bawa motosikal.

Ambil contoh, kereta Perodua Kancil: Setiap bulan, katakan bayaran ansuran RM300 sebulan, duit tol RM100, dan minyak RM400. Kesemua kos itu RM800 sebulan. Sedangkan gaji pekerja Malaysia pun sekadar RM800 sebulan.

Bagaimana kalau berlaku kemalangan, kerosakan, dengan insuran lagi? Ini jelas semata-mata untuk menguntungkan kroni-kroni sahaja, terutamanya tol.

Berkaitan pengangkutan awam, apakah pandangan saudara untuk tidak membebankan rakyat dan kerajaan?

Sistem pengangkutan awam sebenarnya di negara luar biasanya adalah tanggungan kerajaan kerana kos pengangkutan awam yang amat besar agak sukar jika hanya memikirkan keuntungan sahaja. You don’t make money with it.

Kenapa? Kerana manfaat mengadakan pengangkutan awam yang cekap ialah, terutamanya berkaitan kemalangan yang kebanyakannya melibatkan pengunggang motosikal.

Yang kedua ialah untuk menjimatkan penggunaan wang rakyat. Seperti apa saya katakan sebentar tadi, kalau ada pengangkutan awam yang baik, you will have more money lah. Lebihan pendapatan boleh guna. Kalau RM800 itu, mungkin kena bayar RM100 sahaja. Maksudnya ada RM700 di tangan seorang warga Malaysia.

Itu asas DAP. Kita kena adakan pengangkutan awam yang baik, penjagaan kesihatan yang efisyen, yang baik untuk semua dan kalau boleh perumahan yang baik juga. Dan kos itu boleh dikawal untuk mereka yang berada dalam lingkungan 60 peratus itu.

Untuk golongan bawahan mereka tak perlu tanggung kos perumahan, kos pengangkutan, kos perubatan yang tinggi, mereka akan ada lebih banyak wang ditangannya.

Dan mereka boleh buat keputusan menggunakan wang itu contohnya untuk pengajian, simpanan, belanja harian atau apa-apa saja yang dapat membantu mereka meningkatkan taraf hidup.

Ini asas pemikiran kita yang memang sosial demokrasi. Ini bukan sosialis, bukan Marxist. Ini dalam sistem kapitalisme sendiri, untuk memulihkan sistem kapitalisme sedia ada sekarang.

Maksudnya nilai-nilai demokrasi sosial dapat memulihkan krisis dalam kapitalisme?

Apa yang kita nak cadangkan bukan ideologi yang teruk. Kita mahu terjemah ideologi demokrasi sosial dalam bentuk pelaksanaan dasar. Ini dasar-dasar untuk membantu semua golongan. Kalau orang yang tak pakai atau guna kenderaan sendiri, dia ada simpanan wang yang lebih.

Kita boleh bantu semua. Jadi dengan pengangkutan awam, kita boleh jimatkan tenaga juga. Tidak perlu subsisdi kerana tidak menggalakkan orang guna kereta persendirian.

Kita hanya subsidikan pengangkutan awam, kita buat pengangkutan awam untuk semua. Kerajaan boleh bayar dan biayai pengangkutan awam yang cekap, dan selepas itu kalau ada pengangkutan awam yang memang selesa dan cekap, kita boleh minta semua orang guna pengangkutan awam.

Dan kalau seseorang hendak guna kenderaan persendirian, dia kena bayar, ia akan menjadi semacam mewah, malah dia kena bayar petrol yang tinggi.

Sekarang ini, dengan sistem pengangkutan awam yang buruk, rakyat tiada pilihan. Tambahan pula dengan harga petrol yang kian meningkat. Boleh mati semua.

Sebagai bukti, adakah DAP dan Pakatan Rakyat telah berbuat sesuatu ke arah pelaksanaan dasar ini?

Sebenarnya di Pulau Pinang, kita sudah sediakan dua skim pengangkutan awam. Satu dalam bandar Georgetown yang mana kita namakan sebagai sistem City Area Transit (CAT). Kita bayar Rapid Penang beberapa jumlah untuk membawa penumpang di bandar Georgetown secara perrcuma.

Skim kedua yang kita buat, adalah lebih besar, iaitu Park and Ride. Skim ini kita namakan sebagai Bridge Express Shuttle Transit (Best), bermakna kalau anda berada di Seberang Perai tetapi berkerja di Bayan Lepas, kerajaan negeri biayai skim ini dan sesiapa pun boleh parkir kereta mereka di Sunway Carnival dan naik bas ke Bayan Lepas. Juga secara percuma.

Setiap hari sebanyak 16 buah bas akan berulang alik. Ini adalah skim pertama di Pulau Pinang dan Malaysia. Ini semacam permulaan lah. Kita cuba berikan pengangkutan awam secara percuma dengan tujuan memudah dan menjimatkan wang rakyat, selain mengurangkan tekanan, tak payah bayar tol jambatan Pulau Pinang.

Ini harapan saya kalau suatu hari kerajaan membiayai pengangkutan awam yang cekap, mungkin kos semahal macam MRT yang untuk kroni itu, tetapi kalau kita boleh buat sistem bas yang baik, cekap, dan selesa, kita boleh memberi manfaat dan untungkan rakyat dan juga dalam masa sama tidak membebankan kerajaan dari segi subsidi dan petrol.

Tetapi kita kena sediakan sistem pengangkutan awam yang bagus lah sebelum kita kurangkan beban rakyat dengan mengurangkan subsidi.

Saudara juga mempunyai hubungan baik dengan PAS. Malah dalam buku saudara – Speaking for the Reformasi Generation – disediakan satu bab khusus untuk PAS. Boleh saudara terangkan serba sedikit mengenai Negara Berkebajikan PAS, adakah persamaan dengan dasar-dasar DAP dan Pakatan Rakyat?

Memang persamaan itu ada. Sebenarnya nilai dan dasar itu lebih kurang sama. We are for the bottom 60 percent. Seperti apa yang dikatakan Tuan Guru Hadi Awang, “It’s not a welfare state, it’s a caring state.

Ia berkaitan dengan sistem sebuah negara yang menjaga maruah semua kaum dan semua latar belakang dan status. Perkara yang penting ialah berkaitan maruah rakyat.

Kita mahu masyarakat yang bermaruah sama seperti PAS mahu iaitu untuk menolong golongan bawahan 60 peratus ini.

Kalau kita boleh bantu mereka mengurangkan beban kos sara hidup mereka dan beri lebih banyak pendapatan boleh guna kepada mereka, maka jenayah juga boleh dikurangkan. Anda akan punya lebih duit untuk digunakan dan semua orang boleh menjalani hidup yang aman sentosa.

Malah ini bukan soal dasar saja. Sejak dalam politik, saya ada ramai kawan dalam PAS dan PKR. Sebagai wakil rakyat, saya lebih memahami masalah kehidupan semua kaum termasuk orang Melayu.

Memang PKR juga sama dasarnya. Realiti rakyat Malaysia sekarang, kebanyakan kita berada dalam situasi yang agak sukar. Memang kita bersama dengan PKR juga dan mereka juga memberi tumpuan kepada golongan ini. Untuk rakyat dan semua akan berada dalam situasi yang lebih baik lah. Itu juga lah asas kita sebagai Pakatan Rakyat.

DAP dilihat sebagai parti yang ramai ahli kaum Cina walau pun dasar-dasarnya terbuka melangkaui semua kaum dan agama. Apakah pandangan saudara untuk menonjolkan lagi dasar-dasar ini kepada orang Melayu khasnya?

Dulu DAP memang parti yang disertai bukan Melayu. Saya ingin menjelaskan, bukan saja orang Cina sahaja, tetapi kaum India juga. Tapi memang DAP kurang peyertaan dari orang Melayu walau pun ada juga dalam sejarah DAP, ada segelintir kalangan Melayu.

Bagaimana pun kita sekarang sedang dan sentiasa bergerak ke hadapan. Dulu kita dimomok sebagai parti Cina, parti bandar.

Dulu di kawasan bandar tidak ramai Melayu, tetapi negara kita sekarang, Melayu sudah ramai dalam bandar, dan kalau kita sasarkan menjadi parti bandar yang untuk semua kaum, parti yang mewakili semua kaum, parti yang mewakili hasrat semua masyarakat dalam bandar terutamanya isu-isu yang dibncangkan tadi.

Dan dasar-dasar yang saya katakan tadi sememangnya tidak ada bunyi perkauman. Contohnya, kalau ada pengangkutan awam yang baik, ia akan bantu semua tak kira sama ada Cina, India atau pun Melayu di bandar.

Di kawasan pedalaman atau kampung, masih sukar untuk DAP tembusi. Ini kerana naungan politik oleh UMNO kepada penduduk kampung masih kuat. Bagaimanapun, di bandar UMNO tidak boleh lakukan sebegitu lagi.

Apa yang boleh dilakukan dalam kawasan bandar ialah menyediakan dasar-dasar yang baik untuk semua. Kalau kita boleh perbaikikan lagi program-program kita, dan menambahkan lagi dasar-dasar yang boleh membantu semua, saya fikir kita memang boleh mewakili semua kaum, terutamanya golongan muda, mahasiswa, warga bandar…

Itu mengenai idea, tetapi, bagaimana pelaksanaan DAP untuk mendekati dan menjelaskan lagi kepada orang Melayu?

(Ketawa) Itu… Dengan kemunculan Roketkini, Facebook, Twitter, banyak yang menyuarakan dasar-dasar yang tidak ada nada perkauman sama sekali. Dengan dasar-dasar awam terutamanya dasar ekonomi yang bertujuan membantu semua rakyat Malaysia.

Sememangnya satu hakikat bahawa ramai anak muda Melayu, berada dalam keadaan ekonomi yang kurang baik. Saya rasa dasar DAP dan juga di dalam Pakatan, memang boleh membantu semua orang supaya boleh meneruskan kehidupan yang aman dan penuh maruah dan hormat. – Roketkini.com