Wawancara

Secawan kopi bersama Khalid Samad

Khalid Samad adalah Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dan Yang Dipertua PAS Shah Alam. Beliau telah meluangkan masa bersama wartawan Roketkini Fairuz Azhan dan Mazir Ibrahim untuk berkongsi pandangan tentang isu-isu politik semasa.

Apa yang menarik saudara untuk terlibat dalam politik dan PAS khususnya?


Saya mula minat untuk terlibat dalam politik semasa saya berada di UK sebagai mahasiswa di sana. Saya terdedah kepada tulisan tulisan para pemimpin gerakan Islam dan ia memberikan satu kefahaman kepada saya bahawa Islam ini lebih daripada sebuah agama dalam konteks yang terhad.

Ia melibatkan proses mencorakkan masyarakat dan manusia ke arah mencapai potensi yang terbaik dari sudut dunia dan akhirat. Untuk itu, ia memerlukan penglibatan dalam arena politik kerana soal kepimpinan dalam masyarakat dan negara cukup penting dalam menentukan arah hala tuju masyarakat dan negara itu sendiri. Apabila saya mempunyai fahaman yang sebegitu, saya menganggap perjuang untuk menegak dan menghayati Islam itu, mahu tidak mahu, menuntut keterlibatan dalam arena politik. Ia soalan mencorak masyarakat, ia soal kepimpinan dalam masyarakat, dan soal hala tuju dalam masyarakat.

Atas dasar itulah saya melibatkan diri dalam politik dan fahaman saya dikukuhkan dengan memahami sejarah Rasullullah SAW di mana kita dapat melihat bagaimana baginda sendiri menjadi seorang ketua negara dan semua pemimpin pemimpin utama yang masyhur di kalangan seperti Abu Bakar, Omar dan Othman, semuanya menjadi khalifah dan saya memahami perjuangan agama dan politik tidak dapat dipisahkan, malah perjuangan politik itu diantara yang terpenting untuk menjayakan matlamat agama itu sendiri.

Dalam konteks Malaysia pula, politik Islam yang luas konsepnya dikatakan bukan sekadar membicarakan soal hudud, masjid dan surau semata-mata. Bagaimana dari sudut politik untuk menunjukan bahawa konsep Islam inilah yang sebenarnya?

Antara cabaran utama yang kita terpaksa hadapi ialah yang pertamanya, Islam dan politik itu tidak dapat dipisahkan. Nombor dua, apabila kita sudah mencapai kuasa atau kepimpinan dalam masyarakat itu, persoalan tentang pentadbiran yang baik itu adalah tuntutan agama. Ia bukan satu pekara yang terpisah. Untuk menzahirkan pekara ini dan memberi kefahaman pekara ini perlu dizahirkan melalui amalan, bukan sekadar ucapan.

Inilah masalah kita. Masalah kita selama ini ialah apabila kita mengadakan kuliyah kuliyah agama tentang soalan amalan amalan yang baik, pentadbiran yang telus, soal amanah dan sebagainya tapi dari segi amalan dalam masyarakat, ianya bercanggah. Pada masa yang sama masyarakat Melayu Islam terlibat dalam rasuah, pemimpin pemimpin yang tak amanah, yang menyeleweng, yang salah guna kuasa dan sebagainya. Lalu, kalau kita nak tangani persoalan ini, ia bukan sekadar hanya percakapan, tetapi apa yang kita laksanakan.

Cabaran yang ketiga ialah untuk meyakinkan orang bukan Islam dalam berbagai masyarakat dan berbilang kaum bahawa politik Islam menjamin keterlibatan mereka, dan mempunyai hak dan kedudukan untuk mereka. Politik Islam tidak bermaksud orang Islam sahaja yang berpolitik yang bukan Islam tiada langsung interaksi dengan mereka, yang hanya dapat dilaksanakan di mana masyarakatnya 100 peratus Islam, sedangkan di kota Madinah seperti mana yang kita tahu Rasulullah SAW telah menegakkan negara Islam yang pertama bersama masyarakat Musyrikin dan Yahudi.

Ia dilakukan dengan cara di mana hak mereka dijamin dan dipertahan, dan mereka juga melibatkan diri dalam soalan mempertahankan negara tersebut dan sebagainya. Tiga mesej inilah, yang pertama memisahkan politik dan agama tidak boleh, yang kedua apabila kita memerintah, segala hal berkait dengan soal keagamaan, soal halal haram dan sebagainya, dan yang ketiga, politik Islam tidak meminggirkan orang orang bukan Islam tapi ianya menjamin bukan sekadar keadilan kepada mereka tetapi peranan dan menuntut penglibatan mereka dalam pentadbiran sekali. Mesej di sering disebut dan dinyatakan. Apa yang penting kita menzahirkan secara praktikal dan ini yang kita usaha di tempat tempat di mana kita berpeluang untuk memerintah.

Kembali kepada konteks di Malaysia di mana Pakatan Rakyat dibentuk oleh PKR, DAP dan PAS, bagaimanakah Pakatan Rakyat  bekerjasama? Adakah berkerjasama semata mata untuk menumbangkan BN sahaja atau pun untuk memerintah?

Kita melihat bahawa ia merupakan keadaan di mana ia akan menghasil sistem dua parti. Di mana BN dengan ‘coalition’ mereka dan Pakatan Rakyat dengan ‘coalition’ kita. Ia bukan sekadar untuk menjatuhkan Barisan Nasional, tetapi ia adalah untuk kita memerintah bersama di mana segala dasar dasar utama harus dipersetujui oleh semua pihak dan tidak menghalang mana-mana parti untuk mengusahakan penerimaan dasar oleh mana-mana parti.

Apa dasar yang ingin dilaksanakan harus dipersetujui bersama, tetapi setiap parti ada dasar masing-masing dan dasar ini tidak perlu digugurkan, boleh diusahakan oleh parti masing-masing, tetapi tidak dapat dilaksanakan sehingga dasar dasar ini telah dipersetujui oleh semua.

Sebagai contoh, persoalan hudud dan sebagainya, selagi ia tidak dipersetujui ketiga-tiga parti ia tidak akan dilaksanakan, tetapi PAS berhak untuk mengusahakan dan menjelaskan kepada masyarakat dan mendapat persetujuan masyarakat untuk perlaksanaannya. Tetapi ia tidak akan dilaksanakan sehingga ketiga-tiga parti ini bersetuju.

Ada ‘area’ yang kita boleh ‘agree to disagree’, sama-sama setuju untuk tak bersetuju, dan ada benda yang kita bersetuju untuk kita laksanakan bersama. Dalam soal ini, saya tidak merasakan ia menjadi satu masalah kerana banyak pekara yang kita boleh setuju bersama, dan soal pemerintahan bersama.

Contoh seperti memberi manfaat kepada rakyat, kebajikan pada rakyat, ketelusan, amanah, bebas rasuah, ini semua kita boleh setuju bersama. Ia bukan satu masalah besar. Ia bukan sekadar teori, tetapi sudah terbukti. Kita lihat Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, Pakatan dapat berkerjasama dalam keadaan-keadaan yang berbeza. Macam di Kelantan, ramai orang PAS, Menteri Besar orang PAS. Kedah lebih orang PAS jadi orang PAS jadi MB, tetapi ada juga PKR dalam kerajaan Kedah. Di Pulau Pinang, DAP pula lagi ramai jadi Ketua Menteri dari DAP. Di Selangor pula PKR lebih besar dan kemampuan kita untuk mentadbir negeri di bawah kita dalam keadaan yang berbeza ini menunjukkan formula untuk mengekalkan Pakatan Rakyat ini memerintah negeri negeri dan negara, Insyaallah, boleh dilaksanakan.

Ia bukan teori, tetapi terbukti boleh dilakukan walaupun mungkin tertimbul masalah. Walhal dalam parti pun boleh timbul masalah, tetapi kerana kita memakai formula dan prinsip ‘consensus’ itu, musyawarah itu dikekalkan, kita dapat menjamin kestabilan kerajaan yang memerintah. Lebih lebih lagi jika kita tidak mempunyai agenda peribadi yang kini melanda UMNO dan Barisan Nasional, maka kerjasama itu akan menjadi lebih kukuh.

Ada kemungkinan PAS meletakkan calon bukan Islam, dan apa pula pandangan PAS jika DAP ingin meletakkan lebih ramai calon Melayu Islam? Adakah ini boleh menjadi mekanisma dalam menjana dimensi politk baru di bawah Pakatan Rakyat?

Inilah beza Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Dalam Barisan Nasional, setiap parti mewakili satu kaum. Tapi dalam Pakatan Rakyat setiap parti mewakili prinsip dan ideologi masing-masing yang berbilang kaum. DAP mempunyai wawasan politiknya yang tersendiri, dan wawasan politik ini tidak terhad kepada satu kaum, begitu juga dengan PKR, begitu juga dengan PAS.

Kalau apa yang nak dizahirkan bahawa setiap parti adalah bebas daripada aspek perkauman lalu diletakkan calon yang berbilang bangsa, bagi saya, saya tidak melihat ia sebagai masalah. Cuma DAP calon-calonnya selama ini ramai Cina dan India yang sudah ke depan dan Nampak jelas, tetapi sebenarnya sejarahnya calon-calonnya Melayu pun ada. Ia bukannya satu pekara yang baru, cuma orang lupa atau tidak perasan. PKR memang berbilang kaum,

Cuma PAS sahaja yang kurang meletakkan calon bukan Melayu atau bukan Islam dan ini menjadikan cabaran yang terbesar bagi PAS bila kita meletakkan calon bukan Melayu, bukan Islam. Ianya dilakukan pada 2008 tetapi ketika itu calon kita menggunakan lambang PKR. Ini memang kita boleh katakan politik baru bagi negara Malaysia di mana kita hendak membebaskan Malaysia daripada pengaruh politik perkauman dan kita hendak masyarakat menilai sesuatu itu berdasarkan kemantapan calon itu, wawasan dan idea yang dibawa, bukan berdasarkan kaum semata mata.

Kita nakkan keadaan di mana semua kaum memikirkan masalah semua kaum di Malaysia. Kalau hanya Melayu atasi masalah Melayu, Cina atasi masalah Cina, India atasi masalah orang India, memang selamanya kita tidak akan bebas daripada politik perkauman. Kita mahu politik kita bebas daripada kaum, sebaliknya berlandaskan prinsip. – Roketkini.com