Wawancara

10 Minit: DAP dan masa depan politik Malaysia

Penyelaras Roketkini menemubual Ahli Parlimen Seremban yang juga merupakan antara ahli pengasas DAP, saudara John Fernandez, tentang DAP, dasar-dasar dan masa depannya.

Sejak bila saudara berkecimpung dalam politik?

Secara ringkasnya saya terlibat sejak tahun 1964 lagi. Pada masa itu Singapura masih bersama Malaysia. Masa itu Parti Tindakan Demokratik Singapura bertanding 9 kerusi parlimen pada pilihanraya. Masa itu saya bersama saudara Devan Nair dan Lee Kuan Yew.

Selepas tahun 1965, Singapura ditendang keluar dari Malaysia. Saya, Lim Kit Siang, Dr. Chan Man Hin dan Dr. Sivaratnam, bersama-sama menubuhkan satu parti baru. Masa itu kami daftarkan dengan nama Peoples Action Party of Malaysia (PAP Malaysia), tetapi telah ditolak oleh pendaftar pertubuhan. Jadi kita tukar kepada Democratic Action Party (DAP). Dan ia diluluskan oleh pendaftar pertubuhan.

Ketika itu saya masih seorang guru, selepas itu saya ke England untuk melanjutkan pengajian undang-undang.

Saya antara beberapa orang yang menubuhkan DAP. Nombor keahlian saya 00028. Selepas tahun 1974, masa itu saya bertanding di DUN Rasah di Negeri Sembilan (tetapi kini DUN Rasah sudah menjadi Parlimen), dan saya telah menang. Saya telah berkhidmat selama 1 penggal. Kemudian pada 2004 saya bertanding lagi di Port Dickson, tetapi saya tewas. Ini secara ringkas penglibatan saya dalam politik DAP.

Bagaimana saudara melihat dasar politik DAP dan PAP, adakah terdapat persamaan?

Pada saya, parti-parti sosialis di seluruh dunia sekalipun, dari segi dasarnya tidak banyak perbezaan. Sebab itu sudah memang ideologinya, itu asasnya. Prinsip parti yang berideologikan social democracy ini jelas: semua rakyat dan bangsa berhak mendapat hak yang sama-rata dan adil.

Namun, UMNO menggambarkan DAP sebagai anti Melayu, komunis dan pelbagai lagi. Ini tidak benar. Allahyarham Ahmad Nor sebagai contoh, dia salah seorang Melayu yang menjadi ahli DAP dan bertanding kerusi parlimen di Penang.

Perlembagaan DAP sangat jelas, kita hormati dan junjung Perlembagaan Persekutuan. Malah Buku Jingga juga sudah kita tandatangani sebagai persetujuan bersama untuk menjunjung segala perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.

Tentang PAP dan DAP pula, kita sangat jelas. Pemerintah Singapura yang ditunjangi oleh parti PAP jelas meneruskan ISA sama seperti UMNO di Malaysia. DAP dengan terang menolak ISA ini. Ia undang-undang yang salah, malah saya sebagai peguam memang tidak boleh menerima penahanan tanpa bicara seperti ini.

Itu garis pemisah antara DAP dan PAP. Jadi tidak timbul kami ini disamakan dengan dasar PAP di Singapura, jika ada persamaan itu jelas kerana ada dasar yang baik yang dikongsi oleh semua bangsa di dunia. Malah saya nak tegaskan disini, jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, ISA kita hapuskan, bukan pinda-pinda.

Bagaimana saudara melihat masa depan politik DAP yang semakin mencabar ini?

Saya boleh katakan bahawa kita ada masa depan yang sangat cerah. Sebelum era 2008 tiada siapa peduli DAP. Lebih 40 tahun kita jadi pembangkang, kini keadaannya berbeza.

Dahulu kita tidak ada gabungan pembangkang yang sebegini utuh dan kemas. Dulu cuma ada electoral pack, iaitu kita tak bersekutu tetapi kita ada persefahaman. Contohnya, untuk pilihanraya, jika PAS bertanding di kawasan sekian, maka kita tidak bertanding. Begitu juga dengan kawasan yang DAP bertanding, maka PAS tidak akan bertanding, ini persefahaman yang bersifat umum.

Tetapi kini tidak lagi. Kita semakin yakin dan telah berkongsi perjuangan. Dulu kita tidak pernah dapat peluang untuk buktikan kemampuan kita mentadbir. Kini Selangor dan Pulau Pinang boleh menjadi bukti kebolehan kita untuk memimpin dan mentadbir – malah lebih baik dari pemerintahan BN. Ini juga memberi gambaran bahawa DAP bersama PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk memerintah Malaysia.

Kami Pakatan Rakyat sudah sepakat untuk betulkan dan ubah dasar-dasar kerajaan demi kepentingan masa depan rakyat.

Kalau kita lihat, Mesir, Libya, dan Tunisia telah membuktikan bahawa kerajaan boleh ditukar dan pemerintahan boleh diubah untuk jadi lebih baik.

Masa depan kita sangat  baik. Malah satu hal lagi, selepas muncul Pakatan Rakyat, ia telah melorongkan politik Malaysia ke arah sistem dua parti. Ini baik untuk perubahan politik dan masa depan Malaysia.

Bagaimana dengan pelapis pemimpin masa depan DAP?

Jika kita lihat dalam Jawatankuasa Pusat, Central Executive Committee (CEC), iaitu di peringkat kebangsaan, purata umur kebanyakan anggotanya sekitar 30 hingga 40 tahun. Mereka semua muda, bertenaga dan banyak idea. Ini menjanjikan sesutau untuk masa depan DAP.

Sebelum 2008, cawangan DAP sekitar 200 lebih, kini selepas 2008 kita ada lebih dari 400 cawangan. Ahli-ahli pula, khususnya dari kaum Melayu, sudah semakin bertambah. Malah bakat-bakat muda Melayu yang profesional juga sudah semakin mendekati DAP. Malah kita sudah ada bekas ahli UMNO yang sertai DAP, seperti di Pahang dan Negeri Sembilan. Ini sesuatu yang sangat positif untuk mereka yang terlibat dan DAP sendiri. Kini semakin ramai sedar bahawa DAP bukan anti-Melayu.

Bagaimana peluang DAP di negeri Sabah dan Sarawak?

Sarawak secara umumnya semakin baik, dari segi sokongan dan undian juga jelas terbukti pada pilihanraya negeri yang lepas. Dulu PKR langsung tiada kerusi, kini mereka ada 3 kerusi DUN, ini satu pencapaian yang bagus, dan DAP pula sudah dapat tambah lagi 6 [kerusi], menjadi 12 kerusi secara keseluruhannya. Ini cukup baik.

Di peringkat parlimen, kita yakin di pihak DAP sahaja kita boleh menambah beberapa kerusi parlimen lagi. Sebagai sumbangan untuk kerusi Pakatan Rakyat di peringkat pusat nanti, mungkin kita boleh harapkan untuk tambah 6 kerusi lagi. Ia memang sukar tetapi kita cuba. Ini hanya angaran saja, saya tidak pasti.

Tetapi di negeri Sabah, buat masa ini kita ada sedikit masalah. Setakat ini belum ada persefahaman politik yang mantap dalam gabungan Pakatan Rakyat dan parti-parti negeri.

Namun kita yakin ia sedang diperkemaskan dan akan terbentuk menjelang pilihanraya yang akan datang. Jika gabungan ini mantap, pasti BN akan berdepan masalah besar. Malah begitu juga dengan isu di negeri Kedah, kita yakin hal ini akan dapat diselesaikan menjelang pilihanraya nanti.

Ini perkara biasa dalam setiap edisi pilihanraya. Kita tidak ada masalah tentang hal itu. Semangat Pakatan Rakyat akan tetap kita bawa bersama.