Wawancara

Dr Ariffin Omar: Menuju cita-cita Malaysia sejati – Bahagian Pertama

Malaysia perlu keluar dari kepompong politik kaum dan hegemoni kuasa untuk mencapai sebuah negara yang unggul dan matang. Seorang seorang tokoh akademik, penulis, aktivis dan sejarawan melihat bahawa ancaman terbesar Malaysia sebenarnya ialah gejala rasuah, manipulasi isu agama dan kaum, serta kurangnya pemahaman rakyat terhadap nilai dan prinsip sebenar Malaysia. Ikuti wawancara eksklusif wartawan Roketkini Hafiz Zainuddin bersama salah seorang pengasas Aliran, Prof. Dr Ariffin Omar, yang juga Senator mewakili negeri Pulau Pinang membincangkan perihal Malaysia, Melayu, perpaduan kaum dan masa depan politik kita.

Boleh ceritakan awal penubuhan Aliran?

Aliran ditubuhkan pada tahun 1978 untuk mencadangkan reformasi dalam masyarakat Malaysia. Kerana pada masa itu pun kita telah sedar bahawa Malaysia dilanda dengan isu-isu perkauman dan salah sebuah cara untuk mencegah daripada berlakunya rusuhan yang pernah berlaku pada masa dulu.

Kita mesti memupuk perpaduan dikalangan pelbagai kaum di Malaysia dan yang kita bincangkan disini adalah cara memupuk perpaduan itu. Ini hanya boleh dicapai melalui dasar-dasar yang ikhlas dan jujur merangkumi bidang sosial, politik dan ekonomi. Dan dalam melaksanakan dasar-dasar dalam bidang ini, kita mesti bertindak dengan cara adil dan saksama serta tidak menyebelahi mana-mana pihak. Itulah salah satu sebabnya Aliran ditubuhkan.

Disamping itu Aliran juga menekankan nilai-nilai dan prinsip-prinsip spiritual. Agama merupakan satu cabang penting bagi Aliran, sama ada Islam, Kristian, Hindu maupun Buddha, yang penting ialah prinsip-prinsip agama ini harus disanjung tinggi. Kerana kalau kita buat satu penilaian, kita dapat lihat wujud persamaan dari segi prinsip. Semua pun mengengahkan apa yang baik dan menolak apa yang tidak elok.

Siapa yang bersama saudara ketika menubuhkan Aliran?

Pada masa itu saya dengan enam lagi individu iaitu Dr. Chandra Muzaffar, mendiang Gan Teck Chee seorang peguam, Allahyarham Nor Rashid Ariffin, Siew Kam Poh, Dr. S.P Subramaniam yang bekerja sekali dengan saya sekarang dan individu-individu inilah yang berusaha untuk menubuhkan Aliran pada masa itu.

Apa masalah yang dihadapi Aliran sewaktu penubuhannya?

Kalau kita rujuk kepada latar belakang Aliran, sejarah Aliran, pada masa itu tak banyak NGO-NGO yang didapati di Malaysia. Malaysia macam sebuah negara yang berdiri tanpa interest group. Suaram pun tak wujud masa itu, Sisters In Islam pun tak wujud lagi. Pada masa itu Aliran sahaja. Kalau kita nak cari NGO lain yang berdiri bebas selain kita ada CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang), itu saja yang ada dan yang lain seperti ABIM  memang ada tetapi Aliran itu bertujuan memupuk perpaduan untuk semua rakyat Malaysia. Macam CAP dia menyentuh tentang soal pengguna. Aliran meliputi aspek yang lebih luas, sosial, ekonomi dan aspek politik masyarakat Malaysia. Bagi saya Aliran merupakan pelopor satu pergerakan hak asasi manusia pada masa itu.

Masalah ketika itu bukan sahaja pendaftaran, tapi oleh kerana kita ingin memperjuangkan falsafah dan prinsip-prinsip Aliran; macam kita keluarkan buku-buku dan penerbitan serta kenyataan akhbar, dan kerajaan pada masa itu saya boleh katakan sebagai konservatif, tidak begitu terbuka ketika itu berbanding sekarang ni banyak NGO-NGO yang telah diwujudkan.

Kerajaan berasa terancam dengan penubuhan Aliran?

Masa itu kerajaan BN merasa terancam kerana tiba-tiba muncul sebuah NGO yang berani dengan suara yang lantang yang mendapat sokongan ramai penduduk Malaysia. Mungkin kerajaan bimbang adakah Aliran akan jadi satu parti politik untuk mencabar kedudukan mereka. Maka itulah salah satu daripada sebabnya wujud beberapa langkah yang diambil kerajaan untuk kalau boleh hapuskan Aliran sama sekali. Inilah yang menyebabkan kami terpaksa berjuang habis-habisan untuk menunjukkan bahawa Aliran kekal sebagai satu pertubuhan yang tak menyebelahi mana-mana pihak, pertubuhan yang bebas dan bergiat aktif untuk memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia.

Apa posisi saudara dalam Aliran dan bagaimana Aliran dahulu dan sekarang?

Saya masih menjadi ahli Aliran tapi tak terlibat secara aktif kerana mereka yang lebih muda mengambil alih tempat saya dan ini satu kemajuan yang eloklah kerana tak baiklah kalau pemimpin tu nak kekal selama-lamanya. Memang perlu harus ada pembaharuanlah. Dulu saya sebagai Setiausaha Aliran, saya ni simpan rekod, simpan minit, urusan surat menyurat, menjalinkan hubungan dengan duta-duta luar negara yang ada kedutaan mereka di Malaysia, keluarkan kenyataan dan adakan sidang akhbar. Semasa Dr. Chandra ditahan semasa operasi lalang, saya ambil alih buat sementara kemudian selepas itu saya dipilih untuk jadi Presiden Aliran untuk dua tahun.

Dulu Aliran satu pertubuhan tunggal, maka sambutan memang baik. Ramai rakyat Malaysia membeli majalah Aliran Monthly dan buku-buku keluaran Aliran kerana pada masa itu tak banyak pertubuhan-pertubuhan bebas. Tapi sekarang begitu banyak pertubuhan NGO begini, Aliran merupakan salah satu dari merekalah. Dan suara kita tak begitu lantang seperti dulu. Tapi kita masik bergiat aktif. Majalah Aliran pun setiap bulan diterbitkan dan masih mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

Adakah saudara pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini?

Saya memang berminat dalam politik tetapi saya tidak mahu terlibat secara kasar dalam politik. Kerana sebagai seorang sejarawan dan sarjana, bidang saya adalah untuk membuat analisa dan penilaian, tulis buku, artikel,menghadiri persidangan, itu kepakaran saya.

Memang saya nak melibatkan diri dalam politik tapi sebagai penyokong. Saya pernah menyertai parti Gerakan sebelumnya, tapi pada masa saya menyertai Gerakan itu, Gerakan kononnya sebuah parti yang berbilang kaum, tapi sebaik sahaja Gerakan menyertai Barisan Nasional, saya mendapati bahawa ahli-ahli bukan berbangsa Cina ini satu demi satu keluar dari parti. Seolah-olah macam mereka tidak ada tempat. Saya mendapati Gerakan telah menjelma kepada sebuah parti Cina sebenarnya!

Pandangan saudara terhadap DAP pada waktu itu?

Pada masa itu, sama dengan ramai orang Melayu yang lain, saya menganggap DAP sebagai satu parti yang hanya menyuarakan hak-hak dan kepentingan orang Cina. Akan tetapi, lama-kelamaan kini saya sedar bahawa DAP telahpun merubah haluan dan hala tujunya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa masuk dan menarik sokongan orang Melayu sendiri terhadap DAP.

Yang jadi masalah ialah ramai orang Melayu masih tak begitu percaya pada DAP. Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah DAP tak pernah mengutuk orang Melayu malah DAP juga tidak mempersoalkan usaha untuk memajukan kaum Melayu atau memperjuangkan kedudukan istimewa kaum Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mengapa saudara memilih DAP sebagai wadah perjuangan?

Apa yang menarik, DAP menentang rasuah dengan bersungguh-sungguh, salah guna kuasa, kronisme dan nepotisme, semua ini gejala-gejala yang telah menimpa negara ini. Prinsip perjuangan DAP berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan. Inilah yang menarik perhatian saya yang menyebabkan akhirnya saya menyertai parti DAP.

Ada yang berkata saya dipergunakan oleh DAP. Bagi saya ini tidak masuk akal sama sekali. Saya sendiri yang membuat keputusan untuk menjadi ahli. Kita perlu terbuka. Saya rasa hairan kenapa apabila orang Melayu menyertai DAP, dia dikatakan alat. DAP adalah parti politik pelbagai kaum yang berjuang atas dasar demokrasi dan hak asasi.

Adakah di kalangan teman dan rakan seperjuangan bertanya kenapa tak masuk parti lain, seperti UMNO misalnya?

Bagi saya yang jadi masalah parti UMNO ini sudah berdiri begitu lama, saya juga dapati ramai di kalangan kawan-kawan saya di Universiti Sains Malaysia, mereka orang Melayu nak masuk UMNO. Tapi setelah mereka isi borang permohonan ahli, lama mereka menunggu rupanya permohonan mereka tidak diproses. Lama-kelamaan kebanyakan dari mereka dapati rupa-rupanya mereka tidak dialukan menjadi ahli!

Mereka kata ini kerana ketua cawangan UMNO sendiri takut dengan kemasukan orang-orang Melayu yang berpendidikan ini, kedudukan mereka akan terancam. Malangnya, cawangan-cawangan UMNO itu dipenuhi dengan kelompok-kelompok yang ingin menjaga kepentingan peribadi mereka.

Oleh sebab itu kalau orang Melayu yang lain nak masuk (UMNO), jikalau orang Melayu ini sanggup dan terima kepimpinan mereka, ini selamat. Kalau didapati ada kemungkinan kepimpinan itu dicabar, maka sukar bagi mereka nak masuk jadi ahli. Bagi saya ini suatu kelemahan yang amat serius.

Apakah orang Melayu semakin ramai menerima dan menyertai DAP?

Bagi saya ini satu perubahan yang elok. Kalau boleh lebih ramai orang Melayu mestilah menyertai DAP. Orang Melayu dah lama tuduh DAP parti Cina, parti yang menyuarakan hak orang Cina sahaja. Tapi kalau orang Melayu sendiri nak DAP berubah, tidak salah kalau mereka sendiri menyertai DAP dan melakukan perubahan. Malah DAP sendiri merupakan sebuah parti yang terbuka untuk semua kaum dan tak halang pun orang Melayu masuk jadi ahli. Apa salahnya?

Telah tiba masanya kita tidak boleh berdiri atas parti-parti yang berasaskan kaum kerana di seluruh dunia, semua negara ini mempunyai pelbagai bangsa. Di Britain, di Switzerland sebagai contoh, maka Malaysia pun mesti ubah.

Ada kenyataan yang berkata bahawa DAP mengancam Melayu, Islam dan Malaysia?

Ini tidak benar sama sekali. DAP tidak mengancam siapa pun malah DAP merupakan pertubuhan politik yang sah di negara ini. ramai yang tak sedar ini. Kalau dia mengancam sesiapa, kenapa tak diharamkan sahaja? Tidak ada bukti DAP mengancam siapa pun. Yang mengancam rakyat, yang mengancam Melayu, Islam dan negara ini ialah gejala rasuah yang berleluasa, salah guna kuasa, dan manipulasi terhadap isu-isu agama yang boleh menimbulkan ketakutan umum. Manipulasi. Kurangnya pemahaman dan maklumat yang sebenar juga merupakan pencetus salah faham.

Pandangan peribadi Dr terhadap Lim Kit Siang?

Saya mengganggap beliau sebagai seorang pemimpin yang pragmatik. Lim Kit Siang telah banyak menyumbang untuk berjuang demi mengekalkan demokrasi dan prinsip-prinsip demokrasi di negara ini. Saya tidak melihat pun Lim Kit Siang sebagai pemimpin yang anti Melayu seperti yang sering ditimbulkan. Tidak ada bukti pun yng menunjukkan yang beliau pernah menentang orang Melayu atau pun usaha untuk majukan kaum Melayu. Yang dibesar-besarkan cuma tomahan melulu. Apa yang saya dapati, beliau memang menentang rasuah, salah guna kuasa, nepotisme dan sebagainya. Inilah yang menarik. Ini membuktikan bahawa Lim Kit Siang mempunyai sikap dan jiwa Bangsa Malaysia.

Merdekanya negara hasil usaha semua kaum?

Kita jangan lupa, kemerdekaan negara ini dicapai bukan atas usaha orang Melayu sahaja, ia atas usaha dan sumbangan orang bukan Melayu juga, peranan mereka juga mesti diiktiraf dan kita tak boleh lagi mengamalkan dasar-dasar yang boleh membezakan antara kaum di negara ini.

Katalah kalau negara ini menghadapai satu ancaman, dan kita terpaksa bangun untuk mempertahankan negara, adalah orang Melayu nak mengecualikan orang Cina orang India dan lain-lain bangsa daripada mempertahankan negara ini kerana beranggapan negara ini sebagai negara Melayu? Macam mana tu. Jadi ini harus kita fikir semasak-masaknyalah. – Roketkini.com

BERSAMBUNG: Pakatan Rakyat, BN dan cara mengatasi politik perkauman