Wawancara

Dr Ariffin Omar: Menuju cita-cita Malaysia sejati – Bahagian Kedua

Prof  Dr Ariffin Omar adalah tokoh akademik yang telah menghasilkan buku-buku penting yang mengkaji tentang orang Melayu. Antara karya penting beliau adalah Bangsa Melayu: Malay Concepts of Democracy and Community 1945-1950 (1993), Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu (1999) dan The Bumiputera Policy: Dynamics and Dilemmas (2005). Kini beliau sedang meneruskan kajian bagi menghasilkan buku Freedom of Religion in Malaysia: Myths and Realities dan Ethnicity and Nationhood: The Malaysian Case.

Ikuti bahagian kedua wawancara  wartawan Roketkini Hafiz Zainuddin bersama Prof  Dr Ariffin Omar, Senator DAP yang mewakili negeri Pulau Pinang, membincangkan perihal Malaysia, Melayu, perpaduan kaum dan masa depan politik kita.

Bagaimana pandangan saudara terhadap kerjasama dan setiakawan PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat?

Saya tidak ada masalah. Bagi saya PAS mempunyai ideologi Islam, saya faham apa ideologi mereka. Oleh kerana saya faham ideologi ini maka saya merasa senang. Senang bergaul dan menjalinkan hubungan dengan mereka. Begitu juga dengan PKR. Mereka berdiri atas dasar reformasi dan saya faham apa bentuk reformasi yang mereka perjuangkan. Maka oleh sebab itu, kerjasama ini tidak jadi masalah.

Tidak ada big brother dalam Pakatan Rakyat?

Yang saya dapat lihat di sini, dalam Pakatan Rakyat semua komponen parti itu sama taraf. Tak ada big brother, tak ada small brother. Ini yang penting dan inilah yang menjamin kestabilan dan kerjasama yang erat. Kalau kita nak banding dengan Barisan Nasional, UMNO itu dianggap big brother. Yang lain semua macam budak-budak kecil yang mesti ikut apa yang disuruh oleh UMNO. Inilah yang menyebabkan banyak masalah yang timbul di kalangan mereka walaupun kononnya dari segi teori semuanya sama. Hakikatnya jelas terbukti tidak sebegitu. Maka inilah yang menyebabkan parti-parti komponen yang lain di dalam Barisan Nasional menghadapi banyak masalah.

Dewasa ini isu ‘hudud’ rancak dibincangkan, mengapa ia berlaku?

Bagi saya isu hudud ini bukan satu masalah. Ia bukan isu sebenar. Kalau kita rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali Perlembagaan dipinda, diubah. Tetapi kalau nak ubah Perlembagaan Persekutuan, ia bukanlah perkara mudah. Ini jelas. Bagi saya isu ini sengaja ditimbulkan untuk dijadikan isu politik bagi mengaburi mata rakyat. UMNO sendiri menolak pelaksanaan hudud.

Landskap politik Malaysia semakin menarik, rakyat nampaknya semakin memahami politik. Mungkin ada sesuatu yang boleh saudara kongsikan?

Bagi saya landskap politik akan berubah. Saya merasakan rakyat Malaysia dah mula bosan dengan parti-parti yang berdiri atas nama kaum. Rakyat ingin satu alternatif yang baru yang boleh memajukan negara ini dan membawa negara ini ke tahap yang lebih tinggi. Lebih elok kalau UMNO sendiri berubah. Apa salahnya kalau UMNO buka pintu kepada kaum-kaum yang lain.

Kita jangan lupa kalau kita rujuk kepada sejarah UMNO, pengasas UMNO sendiri Dato’ Onn Jaafar pernah mencadangkan UMNO harus dibuka kepada kaum yang lain. Masa itu mungkin orang Melayu tak siap sedia, tapi hari ini sudah tiba masanya. Jika UMNO berani nak ubah, saya yakin UMNO boleh mulakan satu perubahan untuk negara ini.

Ada pendapat mengatakan kalau semua parti dibuka kepada semua kaum, hak orang Melayu tergadai?

Ini kenyataan yang tidak tepat. Tidak semestinya kerana orang Melayu dalam bilangan majoriti. Sebenarnya kuasa politik di tangan orang Melayu. Ini kita harus sedar. Orang Melayu tak boleh dihantui dengan perasaan bahawa mereka dalam kedudukan minoriti.  Ini harus disedari oleh orang Melayu. Tak ada masalah untuk Melayu menyertai mana-mana parti politik. Yang penting orang Melayu mesti berani bertindak untuk ubah nasib mereka sendiri, keluar dari kongkongan persepsi yang diciptakan pihak tertentu.

Malaysia berhadapan dengan banyak masalah, bagi saudara apa masalah utama yang dihadapi negara ini?

Kita berhadapan dengan masalah rasuah. Itu masalah utama negara ini. Misalnya jika rasuah dapat dikawal ketahap sebaik mungkin, wang negara tersebut boleh diguna untuk membangunkan negara ini. Kalau kita bercakap soal inflasi, soal kekurangan wang dan lain-lain lagi, ini semua berpunca dari salah guna wang di negara.

Negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, kita dapati bahawa mereka berjaya sebaik mungkin mengawal gejala rasuah. Terbukti Pakatan Rakyat mampu membangunkan negeri-negeri yang ditadbir. Negeri-negeri ini tak mengalami kekurangan wang. Pulau Pinang jelas, begitu juga dengan Selangor. Dan saya tak hairanlah kalau UMNO berubah dan dapat atasi masalah rasuah, kedudukan politik mereka juga mungkin boleh stabil dan dipulihkan. Persoalannya, bersediakah UMNO untuk berubah?

Benarkah kebangkitan DAP dan Pakatan Rakyat mengancam kedudukan agama Islam?

Agama Islam terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan ini takkan dicabar mana-mana pihak, DAP jelas dan sememangnya bersetuju bahawa agama Islam adalah agama persekutuan. Maka apa masalahnya? Isu ini memang sengaja ditimbulkan.

Ketua Oposisi Anwar Ibrahim sering dituduh dengan pelbagai dakwaan dan fitnah. Apa pandangan saudara?

Sudah tentulah, beliau dulu mantan Timbalan Perdana Menteri, dan kini berada di parti lain yang banyak membongkar masalah dalaman UMNO. Bagi saya Anwar Ibrahim merupakan simbol perubahan dan reformasi di negara ini. Itulah peranannya. Sumbangannya ialah untuk ubah sistem politik yang negatif kepada satu sistem politik yang lebih positif dan pro-rakyat.

Sebagai seorang pensyarah, bagaimana saudara. melihat cara mahasiswa kita berfikir?

Ada perbezaan di kalangan orang Melayu sendiri. Mereka yang datang dalam suasana yang kosmopolitan, boleh bergaul dengan kaum-kaum dan bangsa-bangsa yang lain. Saya melihat, jiwa dan fikiran mereka lebih bebas. Satu lagi kelompok ialah mereka yang suka terikat, bergaul dengan bangsa sendiri; saya lihat di kalangan mereka mempunyai pemikiran yang sempit dan cetek, kalau mereka terus begini, mereka ini tidak boleh bersaing dan maju langsung. Mereka terkongkong. Bagi saya inilah dua kategori pelajar Melayu yang kita ada sekarang.

Dan untuk ubah situasi ini, saya fikir kita kena ubah sistem pendidikan. Kita perlukan pensyarah-pensyarah yang radikal, iaitu mereka yang berani cabar mahasiswa, paksa mereka berfikir, paksa mereka membaca, paksa mereka kuasai pelbagai bahasa. Dengan cara ini orang Melayu terutamanya di kalangan mahasiswa dapat membebaskan jiwa mereka, fikiran mereka.

Mengenai sistem meritokrasi bagaimana?

Sistem meritokrasi harus dimalkan kerana orang Melayu sebenarnya mempunyai kelebihan untuk berdikari dan kemampuan untuk mencapai tahap yang tinggi atas usahnya sendiri. Misalnya anak bongsu saya sendiri yang telah melanjutkan pelajaran ke universiti di Brisbane Australia, dia budak Melayu di negara asing, dia telah memperolehi First Class Honours dalam bidang bioteknologi. Kalau di Australia tanpa bantuan kerajaan dia boleh mencapai tahap tersebut,  ini membuktikan ramai sahaja orang Melayu yang boleh saja mencapai ke tahap tersebut. Inilah anatara sebab saya sokong sepenuhnya dasar meritokrasi kerana ia menguntungkan orang Melayu agar lebih kuat bekerja, positif dan berani bersaing.

Bagaimana dengan pandangan yang mengatakan bila meritokrasi dilaksanakan, ramai orang Melayu akan tercicir?

Bagi saya itu pandangan yang salah. Pandangan yang salah! Yang tercicir, tidak maju, hanya orang yang tidak berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh, yang hanya mempunyai sikap kebergantungan kepada kerajaan. Tidak mahu berusaha sendiri.

Kalau kita perhatikan dalam bidang perniagaan. Cuba kita bandingkan orang Melayu yang berusaha sendiri dengan mereka yang dibantu oleh kerajaan. Kita akan dapati yang berusaha sendiri akan lebih maju dari yang dibantu oleh kerajaan. Dalam pendidikan pun begitu juga. Orang Melayu yang sungguh-sungguh bekerja atas usaha sendiri, mereka pasti akan maju. Tak jadi masalah. Lebih elok mereka maju atas usaha sendiri. Inilah yang menjamin maruah dan kewibawaan bangsa itu.

Agaknya kenapa orang Melayu ramai dilihat terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan berbanding kaum lain?

Saya melihat ini kerana, yang menjadi masalah di sini ialah satu falsafah negatif ditanam dalam sanubari orang Melayu sendiri di mana sudah menjadi pegangan bahawa tanpa bantuan kerajaan, bangsa Melayu tidak akan maju. Tapi kita mesti ingat, ratusan tahun dahulu, bangsa ini berjaya sebagai peniaga dan pedagang, mampu mewujudkan negara dan wilayah mereka sendiri malah dapat menjalin hubungan dengan negara-negara lain. Kenapa pula dalam zaman moden ini Melayu tidak boleh mencapai kemajuan setahap dengan apa yang telah dicapai suatu masa dulu?

Pandangan-pandangan yang mengatakan orang Melayu tak mempunyai kebolehan, kemampuan untuk maju kita kena hakis dan hapuskan. Bagi saya kita boleh maju bila-bila masa pun. Kalau kita dicabar kita harus sahut dengan positif, pasti boleh maju. Itu yang penting.

Apa masalah utama yang dihadapi orang Melayu?

Pada masa sekarang apa yang saya lihat ialah orang Melayu sering terikat kepada sikap nak bergantung kepada kerajaan. Seperti yang saya katakan tadilah, tak berani mencabar situasi yang membelenggu mereka, tak berani keluar, berdikari memajukan diri sendiri. Ini masalah Melayu yang saya lihat.

Bagi saya, sistem pendidikan yang ada sekarang ini melemahkan lagi semangat orang Melayu. Kerana kalau kita tengok satu ciri Melayu yang menarik pada masa lalu ialah kebolehan mereka untuk menguasai pelbagai bahasa. Ini adalah satu ciri orang Melayu. Tapi kalau hari ini, kalau orang Melayu disuruh belajar bahasa lain segan nak buat. Nak suruh menguasai bahasa Inggeris pun bukan main punya susah. Kenapa berlaku begitu? Persoalan ini harus tanya kepada diri kenapa semangat Malayu begitu mudah dipatahkan. Adakah sebab bangsa Melayu sebegitu ataupun akibat falsafah politik yang ditanamkan dalam jiwa mereka?

Kalau orang Melayu boleh berdiri sendiri dan menghakis falsafah politik yang melemah dan meruntuhkan semangatnya, tak ada masalah untuk Melayu lebih maju dan memajukan diri.

Saudara mengatakan salah satu sebab Melayu lemah adalah sistem pendidikan, apa yang perlu diubah?

Dari satu segi adalah pandangan mereka terhadap dunia. Orang Melayu mesti sedar dalam era globalisasi mereka tak boleh bertindak dan berfikir seperti katak di bawah tempurung. Mereka mesti keluar dan cabar dunia. Mesti menguasai pelbagai bahasa dan pelbagai bidang. Orang Melayu mesti mempunyai semangat dan jiwa yang bebas dan yang amat penting  mesti bebaskan diri daripada sikap feudal. Ini yang penting. Sikap feudal ini ialah mereka takut sangat pada sesiapa sahaja yang berkuasa. Iaitu tidak berani mempersoalkan penguasa, tidak berani untuk menyeru penguasa agar telus dan bertanggungjawab terhadap rakyat. Kena faham bahawa kita dalam sebuah negara demokrasi. Ini ialah suatu kelemahan Melayu yang paling serius! Ini kita harus ubah. Kalau tidak orang Melayu tidak akan merdeka dalam jiwa dan semangat mereka.

Bercakap soal perubahan, adakah saudara merasakan kita perlu ubah kerajaan BN yang ada sekarang?

Soal nak ubah kerajaan terletak di tangan rakyat. Bukan soal suka nak ubah atau tak ubah, jika kerajaan tak berubah mereka akan diubahkan. Ini keadaan yang sebenarnya. Pandangan saya mungkin tidak penting, yang penting adalah pandangan orang ramai, pandangan rakyat. Mereka boleh ubah kerajaan melalui pilihan raya. Nasib kerajaan ini bergantung pada pilihan raya.

Kalau kerajaan BN sekarang dapat melaksanakan hasrat rakyat sepenuhnya, berjaya membawa reformasi dan transformasi yang bermakna, mereka akan kekal berkuasa. Tapi kalau mereka tak berjaya, tak kisahlah apa yang saya fikir, rakyat yang akan ubah. Rakyat akan ubah mereka. Itu yang harus kita sedar.

Bolehkah rakyat membuat perubahan jika tak cukup maklumat sebenar? Bukankah media massa di Malaysia masih tidak bebas?

Pada pendapat saya, media internet itu boleh dikata bebas. Susah nak dikongkong. Tapi malangnya, media massa, media arus perdana tak bebas. Sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi itu mesti membebaskan media. Surat khabar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, New Straits Times dan lain-lain haruslah dibebaskan dari kawalan parti-parti politik. Kalau ini boleh dilakukan maka media di Malaysia akan bebas dan berjaya memenuhi dan melaksanakan tugas mereka terhadap rakyat. Kalau mereka terus dikuasai oleh parti politik habislah. Peranan mereka itu tak ada langsung.

Kita mendapati bahawa, bilangan rakyat yang beli surat khabar pun makin lama makin berkurangan. Mereka lebih bergantung dengan media di internet berbanding media massa yang ada sekarang.

Utusan Malaysia dilihat cuba takutkan orang Melayu dengan berkata DAP nak bertanding 90 kerusi Parlimen, DAP mahu tubuh negara Kristian, DAP ada kaitan dengan komunis. Apa komen saudara?

Memanglah, kalau ikut alasan Utusan, seolah-olah ini politik biasa. “Spin” kononnya, ini biasa kata mereka. Tapi kita harus sedarlah bahawa cara berpolitik semacam ini amat bahaya. Menimbulkan perpecahan dan ia boleh menimbulkan akibat yang tak kita jangka. Ini adalah satu tingkahlaku, perbuatan yang bahaya dan sangat tidak elok. Saya berharap Utusan akan ubah sikap dan pendirian mereka. Mereka pun mesti ingat, kalau negara masuk ke dalam tahap yang tidak stabil, semua akan rugi, termasuk orang Melayu juga. Utusan harus sedar ini.

Apa pesanan saudara kepada rakyat yang mahukan perubahan?

Kita harus ketepikan perbezaan kaum demi memperkukuhkan dan mencapai perpaduan sejati kita. Perbezaan agama bukan satu kelemahan. Kalau semua berpegang teguh kepada prinsip agama mereka memang tak ada masalah. Soal kaum tak timbul lagi, di dunia ini banyak negara pun mempunyai pelbagai kaum. Soal bahasa pun apa salahnya, kita sudah ada bahasa kebangsaan. Ramai warga negara ini fasih dan boleh bercakap dalam bahasa Melayu. Kalau mereka nak menggunakan dan mengamalkan bahasa ibunda mereka, biaq pi lah. Apa-apa perkara yang diamal tak bertentang dengan Perlembagaan Malaysia, tak jadi masalah. Ini yang harus kita ambil kira.

Semua kaum tak kiralah Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan semuanya mesti bekerjasama antara satu sama lain dan bekerjasama untuk memupuk satu bangsa Malaysia di mana semua bangsa mempunyai hak yang sama dan dijaga. Kita tidak boleh lagi mewujudkan atau meneruskan dasar-dasar yang memecahbelahkan bangsa mengikut kepentingan satu-satu kaum atau kelompok.

Kepada seluruh anak-anak muda Malaysia, bagi saya yang penting kita berpegang pada prinsip. Prinsip itu penting. Prinsip yang mulia tak kiralah datang dari agama atau budaya mereka, ideologi mereka, tak kisah. Prinsip itu mesti ikhlas, pegang pada ketelusan, tanggungjawab, kerja bersama, mengamalkan keadilan dan kesetiaan kepada negara. Ini yang penting.

Harapan saudara untuk pilihanraya umum akan datang?

Harapan saya agar kita semua rakyat Malaysia akan buat pilihan yang bijak. Kita harus menilai dengan cara yang matang dengan memilih parti mana yang boleh memenuhi hasrat.
Saya dapati masyarakat Malaysia pada hari ini berpecah belah. Amat teruk. Sehingga kita dilihat tiada hala tuju. Mereka berpecah-belah menurut kaum, menurut bahasa malah agama. Inilah gejala yang sedang menimpa kita.

Maka dalam pilihanraya yang akan datang saya haraplah sangat-sangat rakyat akan membuat satu pilihan yang bijak. Kita kena pilih parti-parti politik yang boleh menyatupadukan kita dan bukannya makin pecah belahkan. Pilih parti yang boleh menjamin kemajuan ekonomi dan sosial serta kestabilan politik yang boleh memanfaatkan semua kaum di Malaysia.

Di mana kita memilih gabungan parti yang boleh merapatkan jurang Malaysia Timur dengan Malaysia Barat yang akan menjadikan negara ini sebuah negara yang benar-benar Malaysia. Bukan sebuah negara yang berdiri atas perpecahan kaum. – Roketkini.com