Isu Semasa

Ulasan Berita: Orang UMNO pun boleh jadi calon DAP?

KUALA LUMPUR: Semakin merapu tohmahan UMNO kononnya DAP anti-Melayu dan anti-Islam, semakin terbuka sikap DAP sehingga berani menerima bekas pemimpin UMNO untuk dijadikan calon pilihanraya umum ini.

DAP semalam mengumumkan pencalonan Datuk Mohd Ariff Sabri Aziz untuk mewakili parti bagi Parlimen Raub yang kini disandang oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen bagi pihak MCA-BN.

Ariff Sabri atau lebih dikenali dengan nama bloggernya Sakmongkol AK47 yang telah menyertai DAP sejak lebih setahun lalu terkenal melalui blog beliau yang sering mengkritik serta mendedahkan propaganda UMNO yang memaksa Melayu tunduk kepada parti yang berasaskan kaum tersebut.

Turut menyertai DAP bersama beliau pada awal 2012 adalah Aspan Alias, juga seorang blogger dan pemerhati politik yang asalnya dari UMNO, khususnya era UMNO sewaktu ia belum diharamkan pada 1988.

Sakmongkol sering dalam ceramah-ceramahnya bersama Pakatan Rakyat menegaskan tidak ada salahnya Melayu menyertai DAP kerana ia hanyalah sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang sebagaimana parti-parti lain di negara ini.

“Saya tidak bertukar akidah, saya hanya bertukar wadah,” adalah kata-kata yang sering diungkapkannya dalam ceramah mahupun wawancara untuk menangkis fitnah UMNO serta pecacainya yang sengaja dibangkitkan untuk menyerang mana-mana orang Melayu yang menyertai DAP.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke memberitahu Roketkini bahawa ini membuktikan DAP bukan sahaja tidak anti-Melayu atau anti-Islam, malah sanggup menerima orang UMNO menyertainya.

“Kalau orang UMNO pun DAP boleh terima, macam mana orang sanggup fitnah kononnya kami anti-Melayu? Tak masuk akal sama sekali,” katanya.

Beliau menjelaskan DAP tidak pernah memandang kepada warna kulit atau pegangan agama, ataupun latar belakang politik untuk menerima rakyat Malaysia yang mahu menyertai parti.

“Asalkan orang itu menerima prinsip keadilan, demokrasi dan peluang saksama, maka DAP sedia untuk menerimanya. Tentulah orang UMNO yang kita terima adalah mereka yang sedar bahawa Malaysia ini adalah milik kita bersama, kita sebagai rakyat Malaysia yang sama-sama cinta kepada negara,” tambah beliau.

Hanya para pemimpin UMNO dan konco-konco mereka sedang cemas pada masa ini kerana semakin ramai orang Melayu sudah sedar tentang fitnah yang dilemparkan terhadap DAP.

Malah, ramai juga orang Melayu yang meluat dengan perangai samseng-samseng upahan yang sanggup bertindak liar seperti merosakkan kenderaan, papan tanda dan poster besar Pakatan Rakyat, menyerang serta membaling batu sehingga mencederakan ahli serta penyokong Pakatan Rakyat, dan melibatkan diri dengan komplot lucah yang memalukan masyarakat Melayu sendiri.

Sebaliknya, DAP dan Pakatan Rakyat sentiasa bersikap sabar dan tenang untuk menghadapi PRU yang belum berani diisytiharkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun tarikh luputnya sudah lama berakhir.

Rata-rata orang Melayu, malah kebanyakan rakyat Malaysia, melihat sikap Najib dan para pemimpin BN sebagai hilang punca dan tak keruan kerana amat bimbang dengan sokongan rakyat terhadap Pakatan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang berani meninggalkan kawasan selamatnya di Parlimen Ipoh Timur untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah di Johor sering menggambarkan Najib sebagai pemimpin yang “kiasu” (takut kalah) dan “kiasi” (takut “mati” karier politik).

Kini jelas DAP jauh lebih bersikap terbuka berbanding dengan UMNO yang hanya mampu bersenjatakan fitnah melalui media massa yag mereka kuasai melalui undang-undang yang mereka gubal serta menabur wang rakyat dalam bentuk “umpan” bagi memaksa rakyat untuk terus mengundi UMNO-BN yang semakin angkuh dan melupakan keperluan sebenar rakyat. – Roketkini.com