Isu Semasa

Komentar Roketkini: Barisan Nasional mahu laksanakan hudud?

JIKA UMNO dan Barisan Nasional tidak berminat untuk melaksanakan hudud, mengapa para pemimpin mereka sibuk mendesak Pakatan Rakyat melakukannya? Jika UMNO menolak hudud, mengapa mahu DAP menerimanya? Jika UMNO rela hudud dipermainkan dan diperlekehkan oleh MCA, mengapa ia masih mahu bersandiwara dengan Pakatan Rakyat?

Sudah jelas pendirian PAS dan DAP dalam soal undang-undang hudud. Yang satu menganggap ia adalah prinsip Islam manakala yang satu lagi melihatnya dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Dari segi undang-undang Malaysia, kedua-dua parti itu masing-masing mempunyai hujah yang bernas.

Persoalannya mengapa hudud sering dibangkitkan sebagai isu politik? Mengapa ia menjadi seperti isu picisan untuk mencari kesalahan sesuatu pihak? Sebaliknya, mengapa amat jarang sekali hudud dijadikan wacana serius di pelbagai peringkat?

Hudud seperti sudah menjadi permainan media massa. Isinya sudah hilang entah ke mana. Hanya tinggal slogan tanpa konteks yang jelas. Sesuatu yang suci kepada umat Islam sudah menjadi mainan politik.

Yang peliknya ialah DAP sering menjadi sasaran soalan wartawan media arus perdana, dan kadang-kadang terikut-ikut oleh media alternatif, mengenai hudud; seolah-olah DAP yang mahu melaksanakan undang-undang hudud.

DAP yang berpegang kepada demokrasi sosial serta tidak pernah memperjuangkan ketuanan sesuatu kaum atau tidak mahu menubuhkan sesebuah negara agama sering ditanya oleh wartawan tentang hukum hudud. Mengapa agaknya?

Sebaliknya, media massa jarang bertanya pemimpin UMNO mengenai pelaksanaan hudud. Mengapa wartawan seperti malu-malu bertanya Najib Razak atau Muhyiddin Yassin sama ada BN mahu melaksanakan hudud. Atau adakah mereka sudah diarahkan jangan bertanya soalan itu?

Apa pun, apa yang majoriti rakyat mahu daripada PRU ini ialah kerajaan yang prihatin rakyat, tidak membebankan rakyat dengan hutang dan tanggungan keluarga, yang mampu mengurus ekonomi dengan baik, tidak rasuah dan tidak menyeleweng, tdiak menghina kaum atau agama lain, bersikap adil terhadap wanita, melindungi kanak-kanak, membanteras jenayah, serta bersikap jujur dan telus. – Roketkini.com