Berita

PR yakin rampas pentadbiran Negeri Sembilan

SEREMBAN, 24 APRIL: Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook yakin Pakatan Rakyat (PR) bukan setakat mampu menguasai kerusi Parlimen Seremban dan Rasah, malah mampu merampas pentadbiran Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini.

Katanya, ini adalah berdasarkan kehadiran lebih 10,000 orang pada ceramah raksasa PR di depan pasar besar Seremban, malam tadi.

“Ia petanda perubahan besar yang akan berlaku di Negeri Sembilan dan akan mencipta sejarah kerana dalam masa 20 hingga 30 tahun ini, inilah kali pertama ceramah PR mendapat sambutan luar biasa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, PR tetap berwaspada di dua kerusi majoriti Melayu iaitu DUN Sikamat dan Ampangan yang PKR menang dengan majoriti tipis pada PRU 2008 lalu.

Sikamat dimenangi Aminuddin Harun dengan majoriti hanya 499 undi dan Ampangan pula dimenangi Rashid Latiff dengan majoriti 165 undi.

Penyandang kerusi DUN Sikamat, Aminuddin Harun kali ini akan ditentang calon muda dan jelita BN, Wan Salwati Abdullah.

Tambahan pula menurut Loke, jentera BN di Seremban membantah pemilihan Datuk Dr Yeow Chai Tiam Chai sebagai calon mereka dan baru memulakan kempen mereka dua hari lalu.
.
Bagaimanapun, katanya, jentera pilihan raya DAP dan Pakatan Rakyat perlu bekerja keras tidak boleh memandang remeh perkara itu.

Calon DAP yang bertanding di Parlimen Rasah ialah Teo Kok Seong, Cha Kee Chin pula mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepayang dan Anthony Loke bertanding kerusi Parlimen Seremban.

Kerusi Parlimen Rasah dan Seremban adalah kubu kuat Pakatan Rakyat di kawasan bandar.

Lima daripada enam kerusi DUN dalam Parlimen Seremban dikuasai Pakatan Rakyat kecuali DUN Lenggeng dimenangi BN pada PRU 2008.

Bagaimanapun, DUN Lenggeng juga bermasalah kerana kalangan pemimpin UMNO tempatan tidak berpuas hati dengan pemilihan calon sehingga ada yang bertanding sebagai calon Bebas.

Manakala empat daripada lima DUN dalam Parlimen Rasah juga dikuasai DAP. Kecuali DUN Labu yang dimenangi BN.

Katanya, DAP juga yakin akan kekal menang di DUN Lobak dengan majoriti besar dan akan menambah kerusi di DUN Chennah yang ditandingi untuk menambahkan kerusi DUN Pakatan Rakyat sekaligus memerintah Negeri Sembilan. – Roketkini.com