Isu Semasa

DAP sokong cadangan Anwar, GLC bukan rizab parti

PETALING JAYA, 27 MEI: DAP menyokong penuh cadangan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kuota parti tidak boleh diagihkan dalam pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membuktikan Pakatan Rakyat (PR) satu gabungan parti yang benar-benar telus dan jujur untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Setiausaha Politik kepada Pengarah Pendidikan Politik DAP, Mahdzir Ibrahim berkata, beliau sebagai seorang daripada ahli DAP yang menjadi gabungan PR bersama PKR dan PAS rasa bertuah kerana DAP menjadikan agenda membanteras rasuah dan salah guna kuasa sebagai amalan budaya politik sejak sekian lama.

Menurut beliau, kenyataan itu wajar diangkat sebagai mesej penting bagi semua parti dan ahli dalam PR supaya rakyat tidak berkompromi dengan prinsip integriti dalam pentadbiran dan menjadikan kedudukan GLC itu bukan rizab parti.

“Prinsip asas seperti integriti dan profesionalisme wajar diberi penekanan dalam semua aspek urus tadbir kerajaan agar perjuangan parti tidak menyimpang daripada matlamatnya. Terlalu banyak bukti kesilapan yang akhirnya membawa kepada skandal salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku dalam amalan politik UMNO Barisan Nasional (BN),” katanya mengulas ucapan penggulungan Anwar pada kongres Nasional PKR ke-9 , semalam.

Menurut Mahdzir, jika merujuk kepada amalan atau budaya UMNO dan BN selama ini, rakyat dapat lihat bagaimana kroni mereka memanipulasi GLC hingga menyebabkan syarikat mengalami kerugian besar dan akhirnya semua masalah ditanggung rakyat bawahan.

“Contohnya, Khazanah Nasional Berhad (KHAZANAH) dan POS Malaysia, yang mencatat kerugian sekitar RM50 juta pada 2009. MAS pula selepas diswastakan kerugian sekitar RM2.5 billion sehingga 2011. Manakala PKFZ dianggarkan kerugian RM12 billion. Itu belum dicampur kerugian PROTON dan GLC lain.

“Semua kerugian itu berpunca daripada kecuaian pihak pengurusan yang mana ketua GLC adalah pelantikan politik atau yang mempunyai kaitan langsung dengan pemimpin elit UMNO/BN,” ujarnya.

Menurutnya, rakyat juga boleh lihat bagaimana UMNO BN menjalankan kerja korupnya apabila melantik ketua kampung daripada kalangan ketua UMNO baik di peringkat cawangan atau bahagian yang pada asalnya niatnya baik, tetapi di sinilah puncanya berlaku salah guna kuasa dan korupsi.

“Mereka diberi tender dan kontrak secara rundingan terus termasuk dana atau peruntukan untuk membantu orang kampung dalam membangun atau menyelesaikan masalah di kampung. Namun wang ini digunakan untuk tujuan lain termasuk untuk mengugut rakyat yang tidak menyokong mereka yang akhirnya, niat suci itu bertukar sebaliknya hingga rakyat biasa gagal dibantu,” katanya.

Justeru itu, kenyataan Anwar agar ahli politik tidak membabitkan diri secara langsung dalam GLC adalah satu langkah tepat dan wajar diiktiraf semua.

Tambahan pula katanya, ia selaras dengan dasar kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang mengamalkan dasar Cekap ,Akauntabel dan Telus (CAT) hingga berjaya membawa kemakmuran ekonomi dan sosial buat rakyat di negeri berkenaan.

“Ini adalah antara intipati yang dimaksudkan dalam slogan UBAH. Perubahan dari satu amalan atau sistem lama yang korup kepada sistem baru yang lebih cekap, telus dan adil. Ia bukan slogan kosong sepertimana slogan 1Malaysia Najib yang menyalahkan sesuatu kaum apabila tidak mendapat sokongan majoriti pada PRU-13 lalu.

“Pengasingan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman merupakan induk perubahan yang ingin dizahirkan Pakatan Rakyat. Inilah pendekatan paling berkesan dalam membendung amalan rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya.-Roketkini.com