Isu Semasa

Cadang tubuh lima RCI untuk kerukunan, tranformasi nasional sebenar

GELANG PATAH, 27 MEI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan lima Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebagai tugas pertama kerajaan dan negara untuk mencapai kerukunan dan transformasi nasional sebenar.

Beliau berkata, pertama RCI untuk Pilihan Raya Umum ke-13 bagi menyiasat sama ada ia bersih, bebas dan adil; mengapa keputusan PRU-13 secara umumnya dianggap sebagai tidak demokratik dan tidak mewakili kehendak pengundi dan apa yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan krisis keyakinan terhadap keputusan itu.

Katanya, kedua ialah RCI untuk rusuhan 13 Mei 1969 bagi memastikan peristiwa dan punca sebenar rusuhan 13 Mei, mereka yang bertanggungjawab, bukannya mencari siapa yang perlu dipersalahkan atau dihukum memandangkan 44 tahun sudah berlalu, tetapi bagi memastikan punca dan perkembangan sebenar untuk dipaparkan kepada generasi akan datang dan mengelak kejadian 13 Mei diperalat pada setiap pilihan raya sejak 1969 untuk mengugut pengundi daripada menggunakan hak mereka untuk mengundi secara bebas bagi memilih wakil dan kerajaan pilihan mereka.

* RCI untuk rasuah di Malaysia bagi mendedahkan “rasuah besar” yang berleluasa di dalam negara dan merangka Pelan Integriti Nasional membabitkan semua parti politik dan pihak berkepentingan dalam negara untuk menjadikan Malaysia satu daripada 20 negara paling kurang rasuah di dunia, yang turut akan membuka semula kes kematian misteri Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

* RCI untuk Polis dan Jenayah bagi mencadangkan pembaharuan dalam pasukan polis bagi mewujudkan pasukan polis bertaraf dunia yang dapat membasmi peningkatan jenayah dan kebimbangan terhadap jenayah di kalangan rakyat Malaysia juga bagi menilai semula laporan dan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis 2004 yang diketuai Tuan Presiden Tun Dzaiddin dan bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar.

* RCI untuk 22 tahun pemerintahan Mahathir, menyiasat segala skandal kewangan, pelanggaran hak asasi manusia dan hak demokratik serta penyalahgunaan kuasa yang melemahkan kebebasan, kecekapan dan profesionalisme badan kehakiman dan semua institusi nasional serta instrumen negara.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah mencadangkan lima RCI itu ketika berucap pada majlis makan malam kesyukuran/pelancaran gerakan Impian Rakyat Malaysia DAP Gelang Patah di Sutera Mall, Gelang Patah, semalam.-Roketkini.com