Isu Semasa

Kabinet usah berlengah, tubuh segera IPCMC

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berharap Kabinet tidak berlengah, sebaliknya bertindak segera menyelesaikan masalah kematian dalam tahanan polis dengan mengambil keputusan menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) pada sidang pertama Parlimen ke-13, mulai Isnin ini.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar  bahawa hanya melalui tindakan tegas yang dapat mengatasi masalah kematian dalam tahanan dan salah guna kuasa, bukannya soal agensi mana yang menangani masalah berkenaan samada IPCMC atau Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak boleh diterima.

Katanya, walaupun hujah itu kedengaran munasabah tetapi Khairy perlu mengakui bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Datuk Seri Hishammuddin Hussein gagal sama sekali menangani dan menyelesaikan isu kematian dalam tahanan polis walaupun mendakwa Program Transformasi Kerajaan (GTP) cukup berjaya dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

“Hujah Khairy bagi membela kecenderungan kerajaan terhadap EAIC itu boleh diterima jika kes kematian dalam tahanan polis baru saja berlaku, bukannya yang berlarutan lebih sepuluh tahun atau jika kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan baru, bukannya kerajaan yang sudah masuk tahun kelima diterajui Najib.

“Khairy atau jurucakap kerajaan yang lain tidak boleh menafikan atau mengenepikan kenyataan bahawa IPCMC dicadangkan oleh Suruhanjaya Penyiasatan Diraja Polis diketuai Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah khusus untuk menangani masalah kadar kematian dalam tahanan polis yang terlalu tinggi, manakala EAIC ditubuhkan khusus untuk merencatkan penubuhan IPCMC dan menghindari tuntutan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pasukan polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, perbezaan antara IPCMC dan EAIC adalah penting kerana penubuhan IPCMC dicadangkan secara khusus untuk mengakhiri kejadian kematian dalam tahanan polis, manakala EAIC ditubuhkan untuk merencatkan penubuhan IPCMC dan menghindari tuntutan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dalam pasukan polis

Beliau berkata, hujah Khairy itu tidak boleh lagi diterima kerana kadar purata kematian dalam tahanan polis meningkat sejak lebih lapan tahun lalu dan EAIC yang ditubuhkan lebih empat tahun lalu didapati gagal sama sekali menangani masalah itu sehingga menimbulkan ketegangan di seluruh negara.

Suruhanjaya Penyiasatan Diraja Polis dalam laporan yang dikemukakan pada Mei 2005 menyebut perangkaan polis menunjukkan bahawa dalam tempoh lima tahun, antara Januari 2000 dan Disember 2004, terdapat 80 kematian dalam tahanan polis, iaitu pada kadar 16 kematian setahun dalam jangka masa lima tahun.

Sejak 2000 hingga sekarang, 222 kematian dalam tahanan polis berlaku, bererti sejak Januari 2005 hingga Jun 2013 telah ada 142 kes kematian. Ini menunjukkan kadar purata tahunan kematian dalam tahanan meningkat sejak lapan setengah tahun lalu, iaitu 16.7 kematian setiap tahun.

Menurut Kit Siang, atas alasan itu, Kabinet tidak boleh berlengah mengambil tindakan menyelesaikan segera masalah kematian dalam tahanan polis sebaliknya mengambil keputusan esok untuk menubuhkan IPCMC dalam sidang pertama Parlimen ke-13, Isnin ini.-Roketkini.com