Isu Semasa, Rencana

1MDB biawak hidup di belakang tabung Haji

Sambil pendedahan demi pendedahan sekitar skandal mega 1MDB memberi lebih banyak pencerahan, orang ramai kini mula bimbang dengan kemungkinan terpaksa menanggung padah akibat kegagalan syarikat tersebut menguruskan kewangannya.

Dengan hutang yang kian menggunung mencecah RM42 bilion – setakat yang kita tahu – serta kegusaran tentang sama ada syarikat negara itu mampu melangsaikan hutang ini, kita percaya bahawa dana kerajaan dan institusi awam lain akan digunakan untuk menyelamatkan syarikat bermasalah tersebut.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua baru-baru ini memberi amaran tentang wujudnya penganugerahan konsesi penjana tenaga bebas kepada 1MDB (yang kini dilaporkan telah diambil alih pula oleh Tenaga Nasional Berhad). Dengan kenaikan kadar tarif elektrik bagi loji janakuasa 1MDB itu, orang ramai berdepan risiko terpaksa menanggung bil elektrik lebih tinggi.

trxItu belum lagi termasuk persoalan pinjaman bernilai RM3.81 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada sebuah bekas anak syarikat 1MDB yang sehingga kini masih belum terjawab.

Pendedahan The Malaysian Reserve mengenai rancangan Lembaga Tabung Haji untuk membeli dua bidang tanah seluas lima ekar di Tun Razak Exchange, sebuah projek pembangunan hartanah seluas 70 ekar oleh 1MDB untuk dijadikan hub ekonomi dan kewangan antarabangsa ternyata separuh benar.

Tabung Haji akhirnya mengakui bahawa pihaknya tidak membeli dua bidang tanah, tetapi cuma satu sahaja tanah seluas 1.56 ekar pada harga RM188 juta.

Berdasarkan maklumat sumber tertentu serta blog tidak bernama yang telah menyiarkan apa yang didakwa sebagai dokumen dalaman, jelas sekali menteri Umno yang bertanggungjawab ke atas urusan dana bakal haji telah menyegerakan sesuatu yang hanya boleh dilihat sebagai urusniaga suka sama suka antara 1MDB dan Tabung Haji.

Kita pasti masih ingat, 1MDB telah memperolehi keseluruhan 70 ekar tanah TRX itu pada harga durian runtuh RM64 satu kaki persegi pada 2011, dengan jumlah keseluruhan pembelian tersebut pada harga RM194 juta.

TINJAUAN DI TABUNG HAJI KUALA LUMPURMenurut dokumen yang dibocorkan itu, sang menteri pada 13 April 2015 meluluskan cadangan Panel Pelaburan Tabung Haji bertarikh 30 Mac 2015 untuk membeli dua bidang tanah TRX, masing-masing seluas 1.56 ekar pada harga RM194 juta (atau RM2,860 sekaki persegi) untuk dibangunkan menjadi apartment 40 tingkat; serta lot lain seluas 3.4 ekar pada harga RM578 juta (atau RM3,900 sekaki persegi) untuk dimajukan menjadi bangunan pejabat setinggi 74 tingkat.

Harga pembelian, menurut dokumen dibocorkan itu, ialah antara RM2,860 hingga RM3,900 sekaki persegi, adalah sangat melampau jika dibandingkan dengan nilai RM64 satu kaki persegi yang dibayar oleh 1MDB hanya empat tahun lalu.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah, laporan penilaian dalaman Tabung Haji pada 9 April memutuskan, projek tersebut dikira berisiko tinggi berasaskan kombinasi banyak faktor, termasuk pasaran hartanah yang hambar ekoran permintaan yang lemah dan juga cabaran makro-ekonomi.

Namun apa yang lebih tidak saya sangka, isu ini meletup dengan begitu besar hinggakan hampir semua media online dibanjiri laporan dan tulisan tentang penjualan tanah terbabit yang telah memberi keuntungan mudah kepada 1MDB sebanyak RM184 atas peranannya seperti seorang broker.

Tabung Haji pun dia, 1MDB pun dia

Persoalan tentang pentadbiran korporat serta pertembungan kepentingan juga mula timbul berikutan pendedahan bahawa empat eksekutif kanan Tabung Haji turut mempunyai peranan besar di 1MDB.

ismeeKetua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail adalah Ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Timbalan CEO Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah pula adalah pengerusi anak syarikat 1MDB, manakala kedua-dua Tan Sri Abdul Samad Alias dan Tan Sri Irwan Siregar juga bertugas sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB. Mereka juga memegang jawatan dalam Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Kepentingan siapa yang mereka pedulikan ketika memutuskan untuk menjalankan urusniaga jual beli tanah itu? Adakah Ismee, Johan, Abdul Samad dan Irwan bertindak bagi pihak jutaan pendeposit Tabung Haji atau lebih mementingkan usaha menyelamatkan 1MDB?

Apa yang lebih menarik ialah, antara yang menyentuh perkara ini awal-awal lagi ialah bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah dan Pemuda Umno sendiri.

Namun beberapa hari sebelum itu Pemuda Umno sendiri menyatakan sokongan “tidak berbelah bahagi” kepada perdana menteri.jibby

Belum pernah berlaku mana-mana isu politik menemukan persepakatan antara parti – pembangkang dan UMNO.

Ketika isu 1MDB dikritik hebat DAP, PKR dan PAS, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak kurang bengisnya. Ia kemudian disambut kumpulan ultra-Melayu, Perkasa.

Semakin jelas kelihatan kapal yang dinakhoda Datuk Seri Najib Razak kian karam. Pada masa sama pimpinan Umno juga kelihatan tidak begitu bersimpati kepada beliau. Tekanan turut datang daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengurusan tertinggi Tabung Haji bukan sahaja gagal menjalankan tugas mengurus dana awam, tetapi juga khianat kepada amanah menguruskan ibadat haji umat Islam. Kesalahan ini tidak terhad kepada mereka yang berperanan di kedua-dua Tabung Haji dan 1MDB sahaja, tetapi keseluruhan lembaga termasuk Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Namun hakikatnya tanggungjawab terbesar harus dipikul oleh pemimpin nombor wahid, iaitu perdana menteri. Segala kebobrokan ini tidak terjadi jika bukan kerana 1MDB.