Berita, Isu Semasa

Data BR1M penting, bukan macam Ali Baba Bujang Lapok

KUALA LUMPUR, 17 JUN: DAP hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan yang gagal mengemukakan secara terperinci data pembahagiaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, kegagalan tersebut nampaknya seolah-olah sengaja dilakukan bagi membuka ruang untuk pihak tertentu memutarbelitkan fakta.

Lip Eng“Bagaimana mungkin Kementerian Kewangan tidak data yang sebegini penting?

“Apakah yang digunakan pihak kementerian berkenaan sebagai indikator bagi mengukur taraf hidup dan ekonomi rakyat secara tepat?

“Ini membuka ruang kepada salah guna dan putar belit fakta,” katanya.

Menurut Lip Eng, sebagai contoh, kementerian tidak dapat menyediakan butiran mengenai kumpulan kaum mana paling banyak menerima bantuan tunai daripada skim berkenaan.

Dalam sidang parlimen semalam, Lip Eng meminta kerajaan mengemukakan data tersebut mengikut pecahan jantina, keturunan, negeri dan kumpulan umur.

Namun jawapan yang beliau terima amat mengecewakan.

Pihak kementerian menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai data penerima BR1M secara terperinci sebaliknya hanya mengenai pecahan mengikut tahun saja.

Tegas Lip Eng, pentadbiran dana secara sewenang-wenangnya tanpa rekod terperinci tidak seharusnya dijadikan amalan dalam pentadbiran negara.

“Pemberian BR1M bukan macam tabur wang emas di Kota Baghdad seperti dalam filem Ali Baba Bujang Lapok,” ujarnya. – Roketkini.com