Bukan senang menjadi Parti Tindakan Demokratik. Sejak ditubuhkan hingga sekarang DAP masih menjadi mangsa tohmahan, fitnah dan penipuan. Hampir semuanya dari pihak pemerintah UMNO-Barisan Nasional serta konco-konco mereka.
Paling malang sekali ramai pula rakyat Malaysia yang cerdik mudah terpengaruh dengan dakyah jahat pemerintah. Senang sekali rakyat sebegini tertipu kononnya DAP adalah parti komunis, cauvinis dan rasis; sehingga tiada siapa meluangkan masa untuk merujuk kamus bagi memahami kata-kata tuduhan tersebut.
Malah, jarang sekali orang memikirkan mengapa kerajaan tidak pernah mengharamkan DAP yang dikatakan “komunis”. Begitu juga istilah cauvinis dan rasis yang sebenarnya lebih tepat untuk parti-parti yang mementingkan satu kaum atau satu agama sahaja, sedangkan DAP bersifat terbuka.
Jika hari ini beratus ribu rakyat dari kalangan Kadazandusun, Iban, Melayu, Melanau menyertainya, tiada siapa dalam DAP yang akan atau dapat menghalangnya. Syarat utama menyertai DAP ialah menerima asas sosial demokrasi. Gender, kaum, agama, keturunan tidak menjadi soal.
Namun, kerana menyangka ramai rakyat Malaysia masih kurang bijak, UMNO-BN serta angkatan penyebar fitnah mereka terus mencipta pelbagai kisah benci yang meluap-luap, dengan harapan ia dapat mengekalkan kesumat rakyat terhadap DAP.
Pernah DAP dikatakan mahu menegakkan Negara Kristian – walaupun orang Kristian sedunia tidak lagi memegang kepada impian negara agama atau “theocracy”; malah dakwaan itu lebih menjurus kepada imaginasi sesetengah orang Islam tentang negara agama. Fitnah yang tidak munasabah ini masih disebarkan, dan terus dipercayai oleh segelintir rakyat.
Tidak ramai yang mahu berfikir sejenak, walau sekadar 10 saat, untuk menyedari bahawa orang yang beragama Kristian berjumlah tidak sampai 10 peratus keanggotaan dalam DAP. Kalau tak silap, pada masa ini, lebih 50 peratus ahli DAP beragama Buddha serta kepercayaan-kepercayaan lain.
Mengapa DAP tidak difitnah dengan usaha menubuhkan Negara Buddha? Jawapannya ialah kerana penyebar fitnah tahu majoriti rakyat Malaysia tidak terasa apa-apa masalah besar dengan penganut agama Buddha.
Yang paling ditakuti, dicurigai dan dibenci oleh mereka adalah Kristian – kerana ia membawa beban sejarah agama yang panjang sejak berkurun lamanya. Jadi hanya “Kristian” dianggap yang mampu membangkitkan rasa takut dan benci di kalangan majoriti rakyat Malaysia.
Baru-baru ini pula timbul tohmahan lain. DAP kini dituduh menghina Islam kerana mahu membantu mangsa banjir di Kelantan membina masjid. Sedangkan sejak banjir besar pada akhir tahun lalu, sukarelawan DAP telah bertungkus-lumus membantu membina rumah untuk para mangsa. Tetapi yang dijadikan hal ialah soal sumbangan untuk masjid, dan kerana ini DAP dikatakan menghina Islam.
Apa pun, salah satu trend popular politik semasa Malaysia – khususnya dalam bidang gosip politik yang tidak memerlukan sebarang kajian ilmiah kecuali beberapa cawan kopi/teh berserta entah berapa kotak rokok – adalah untuk menyalahkan DAP.
Malah “salahkan DAP” ini bukan lagi mainan di kalangan UMNO-BN tetapi juga sesama parti-parti sahabat.
Mungkin kerana mereka tidak selesa dengan pendirian parti demokratik sekular itu yang memperjuangkan peluang dan hak saksama serta hak asasi manusia tanpa berteraskan kaum, gender serta agama, kerana ia mencabar status quo.
Mungkin juga mereka marah dengan gaya dan cara kebanyakan pemimpin DAP yang kurang pandai berdiplomasi kerana suka mengatakan hitam itu hitam, putih itu putih tanpa disulami kata-kata yang indah.
Atau mungkin sebenarnya mereka bengang dengan DAP kerana enggan tunduk kepada hegemoni yang sedia ada.
Dalam DAP sendiri memang ada segelintir manusia yang bijak, manusia yang kurang bijak, manusia yang angkuh, manusia yang jujur – sama seperti yang ada di dalam PAS, PKR, UMNO, Gerakan, PBB, PBS. MCA, MIC, dan sebagainya – tetapi rasanya DAP adalah antara parti yang paling tegas melaksanakan apa yang mereka pegang sebagai prinsip.
Mungkin kerana mahu menegakkan prinsip-prinsip ini – kebebasan, keadilan sosial, solidariti, peluang dan hak saksama, kedaulatan undang-undang, anti-rasuah, anti-salah guna kuasa – menjadikan sesetengah orang melihat DAP sebagai angkuh kerana enggan terlalu bermain politik dalam hal-hal prinsip.
Kerana itulah agaknya “salahkan DAP” sedang trending pada masa ini. Agaknyalah. – Roketkini.com