Wawancara

Kerk Chee Yee: Antara politik dan gitar klasik

Pepatah Melayu ada mengatakan, “kemana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi” – mungkin kata-kata itu sesuai menggambarkan apa yang berlaku ke atas Kerk Chee Yee, 25, anak kepada mendiang Kerk Kim Hock, bekas Setiausaha Agung DAP keempat.

Sang ayah dan anak; kedua-duanya dilantik menjadi setiausaha politik kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam lingkung masa usai menamatkan pelajaran dari luar negara.

“Pada mulanya memang saya amat terkejut. Saya berterima kasih kerana (Lim Kit Siang) beri kepercayaan kepada saya menjadi setiausaha politiknya,” kata Chee Yee ketika diwawancara Roketkini baru-baru ini.

Kerk Chee Yee ketika diwawancara Roketkini. Foto- Fatih Hassan Nordin

Chee Yee seorang peminat musik dan boleh melantun alunan gitar klasikal. Beliau pernah menamatkan kelas bermain gitar di Gred 6 sewaktu berusia belasan tahun sewaktu menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang, Melaka.

“Saya belajar classical guitar sampai Gred 6. Cuma tak ambil peperiksaan.

“Masa tu, ayah tanyakan saya sama ada mahu belajar gitar atau tidak. Jadi saya kata okaylah. Sebab saya juga minat muzik. Segera dia (ayah) ambil kunci kereta bawa saya ke kedai muzik dan tengok kursus apa yang saya boleh masuk,” katanya.

Mengakui bahawa ibu dan mendiang ayahnya memberi kebebasan untuk menceburi dan meneroka apa jua bidang yang diminati, ternyata, Chee Yee, graduan Sarjana Muda Perdagangan dari Universiti Melbourne Australia ini terpaut dengan politik tanah air – selain muzik, mengikuti jejak langkah ayahnya.

Menurut anak jati Melaka ini, penglibatan dan minatnya dalam politik tercetus sejak di universiti.

“Ayah tak pernah bantah atau galak. Tapi dia beri banyak kebebasan buat pilihan.

“Secara peribadi, saya memang minat politik – sejak awal semasa belajar. Malah sebelum itu juga ayah banyak berkongsi pengalamannya ketika beliau masih aktif dalam politik”.

Di Australia, Kerk Chee Yee bergiat dalam pelbagai aktiviti siswa dan terlibat dalam pertubuhan pelajar Malaysia di Australia iaitu MASCA-Malaysian Student Council of Australia.

“Saya pernah terlibat dalam satu sesi meja bulat “Will Malaysia be bankrupt?” (Adakah Malaysia akan muflis). Yang terlibat ketika itu dalam 20 pelajar. Kami berbincang dan beri pandangan masing-masing,” ujarnya.

Beliau mengakui masih ramai pelajar kita yang prihatin dengan isu-isu semasa yang melanda negara.

“Saya pelajar perdagangan, ada yang dari bidang lain seperti seni, kejuruteraan, semua ada. Masing-masing beri pandangan. Saya melihat, walaupun kami semua di Australia, di luar negara, tapi melihat kepada situasi ini, nampaknya masih ramai orang mahu beri sumbangan kepada negara,” katanya.

Gen-Y tidak selesa keadaan ekonomi semasa

Sebagaimana yang dirasai oleh Gen-Y dan seangkatannya, Chee Yee mengakui keadaan ekonomi semasa negara masih belum bersedia untuk menyokong kenaikan gaji yang wajar kepada rakyat jauh jika dibandingkan sekitar era 80-an.

“Dalam 1980an, purata pendapatan sekitar RM1,200 hingga RM1,500 dan hari ini purata pendapatan sekitar RM3,000 – lihat pula harga rumah, komoditi – mungkin 10 hingga 20 kali ganda lebih tinggi.

“Jadi saya rasa, ekonomi perlu memberikan rakyat pendapatan yang lebih baik. Gaji sekarang dalam RM2,000 – 3,000 tapi harga rumah amat tinggi, ada sesuatu yang tak kena dengan sistem,” ujarnya.

Untuk mengubah corak ekonomi lembab dan tertekan ini, selain menggalakkan lebih banyak aktiviti ekonomi, negara perlu memberi lebih perhatian kepada pendapatan yang diperolehi rakyat terbanyak.

“Perlu lebih banyak aktiviti ekonomi yang tak abaikan rakyat. Contohnya bila kita berikan kontrak pelaburan besar kepada sesebuah pihak, ia perlu menutamakan rakyat tempatan,” jelasnya.

Ditanya mengenai penglibatan golongan muda dalam politik parti di negara ini, Chee Yee menyatakan, “Bila rakan-rakan tahu saya terlibat dalam politik, mereka seolah-olah ‘wow!’ sebab jarang sekali antara kami yang minat politik,”.

Menurutnya, wujud situasi dimana golongan muda kurang berminat untuk terlibat aktif dalam politik.

Menjelaskan keadaan itu, Chee Yee memberikan dua konteks iaitu pertama, keadaan anak muda di zaman ini berbanding masa lampau dan keduanya, anak muda dan kerjaya.

“Saya melihat golongan muda tidak minat dalam politik sebab mungkin sebahagian besar kehidupan mereka tidak begitu susah berbanding zaman dahulu, kurang struggle (akses untuk kemudahan dan seumpamanya) dan saya rasa ia bukannya benda yang tidak elok.

“Jika dahulu, anak muda – semua orang bekerja untuk ‘cari makan’, susah; tapi sekarang semakin ramai yang bekerja kerana cita-cita. Mereka kini pergi ke suatu tahap yang lebih tinggi dari sekadar memenuhi keperluan harian.

“Jangkaan mereka juga tinggi dalam kerjaya dan itu mungkin juga salah satu sebab menyebabkan mereka kurang berminat menyertai politik, hanya sebahagian yang berminat,” katanya.

Pendidikan politik penting untuk perubahan

Untuk memberi galakan kepada golongan seusianya minat dalam politik-setidak-tidaknya cenderung untuk mengambil tahu hal ehwal negara, Chee Yee berkata pendidikan politik merupakan asas penting sebelum seseorang itu terlibat langsung ataupun tidak dalam politik.

Beliau berpendirian, rakyat umumnya perlu diberi ruang lebih terlibat dalam proses pembentukan dasar dan wacana-wacana umum.

“Saya ingat apa yang saudara Steven Sim (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) katakan dalam buku yang ditulisnya, “we should not leave all things to the professional, the people should be involved,”.

Ini bermaksud katanya, untuk mencapai politik matang, rakyat tidak harus membiarkan semua keputusan dibuat oleh ‘orang politik’ sebaliknya setiap cadangan dasar misalnya harus dibincangkan di peringkat rakyat dan akar umbi.

“Apa yang lebih penting,  semua rakyat beri pandangan terhadap sesuatu isu sama ada ekonomi, keselamatan negara, kesihatan dan seumpamanya.

“(Jadi) rakyat boleh buat pendirian dan selepas itu mereka boleh pilih parti politik yang selari dengan pandangan mereka. Itu tahap politik matang,” katanya lagi.

Kerk Chee Yee yang baru bekerja dengan Genta Media – sebuah badan pemikir dan kajian di tingkat dua Ibu Pejabat DAP Kebangsaan beberapa bulan lalu, sudah mula berkemas untuk pindah ke tingkat 3 mengikut jejak langkah mendiang ayahnya. – Roketkini.com