Wawancara

Seminit bersama Syahredzan Johan

Syahredzan Johan, adalah seorang peguam hak asasi manusia yang tidak asing lagi di persada tanah air.

Keputusan beliau untuk terjun membantu usaha kempen DAP bersama Pakatan Harapan di Johor baru-baru ini menarik perhatian ramai. Daripada ceramah umum sampailah ke ceramah kelompok, Syahredzan cuba berkongsi logik pemikirannya bersama rakyat Malaysia.

Sebagai seorang peguam yang handal, hujah-hujah tentera siber UMNO di media sosial sering sahaja dipatahkan dengan mudah dengan fakta dan rasional yang ampuh.

Roketkini meminjam sedikit masa beliau untuk bertanyakan tentang pengalamannya menyertai kempen secara aktif buat pertama kali dalam hidupnya.

Apa perkara yang paling menarik perhatian saudara dalam ceramah- ceramah yang saudara sertai?

Perkara yang paling menarik adalah melawati rumah seorang warga emas di sebuah penempatan Felda di DUN Paloh. Rumah itu akan dijadikan sebagai pusat aktiviti Pakatan Harapan di Felda tersebut, dan oleh itu warga emas itu mendapat tekanan daripada orang UMNO di Felda tersebut.

Tetapi semangat melawan warga emas itu begitu kental, dia tidak terkesan dengan tekanan yang dikenakan. Rupanya rumahnya itu sudah menjadi ‘markas’ pembangkang untuk setiap PRU sejak zaman Semangat 46 lagi!

Apa mesej yang saudara sampaikan kepada para pengundi? Bagaimanakah penerimaan orang ramai terhadap mesej tersebut?

Mesej yang saya sampaikan adalah jangan takut untuk mengamal hak kita untuk memilih dala sebuah negara demokrasi. Saya juga sampaikan bahawa walau sesiapapun yang memegang tampuk pemerintahan negara, perkara-perkara berkenaan dengan Melayu dan Islam tidak boleh dimansuhkan dengan sesuka hati.

Apa yang saudara temukan ketika merasai sendiri denyut nadi rakyat Johor?

Saya boleh rasa bahawa rakyat Johor sudah sampai suatu tahap di mana kemarahan mereka terhadap Kerajaan Persekutuan tidak dapat dibendung lagi. Oleh itu, jentera Pakatan Harapan perlu pertingkatkan usaha untuk meyakinkan rakyat Johor untuk melakukan perubahan.

Ke mana selepas ini? Ambil cuti untuk turun kempen?

Saya masih akan terus menolong sahabat-sahabat yang menjadi calon. Mungkin tidak mengambil cuti, tetapi saya jangka saya akan turun ke Johor beberapa kali lagi sebelum hari mengundi.

Apa mesej kepada orang ramai yang takut untuk memilih kerajaan baharu?

Untuk orang Melayu khususnya, jangan gusar untuk menukar kerajaan. Hak Melayu dan Islam dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Jika kita rasa kerajaan sekarang sudah tidak melaksanakan tanggungjawab mereka lagi, jangan segan untuk memilih kerajaan baharu. – Roketkini.com