Wawancara

Zaman Dewan Negara jadi ‘rubber stamp’ sudah berlalu – Senator Alan Ling

Jika selama ini institusi Dewan Negara dianggap sebagai ‘rubber stamp’, pertukaran rejim pemerintah pasca Pilihan Raya Umum ke-14 kepada kerajaan Pakatan Harapan dilihat bakal memberi pembaharuan dan mengubah persepsi tersebut.

Pembaharuan Dewan Negara itu semakin ketara apabila lantikan Senator tidak hanya tertumpu di kalangan ‘orang lama’ tetapi juga di kalangan generasi muda berusia dan profesional berusia bawah 40 tahun yang dilihat mampu memberi sumbangan besar kepada negara.

Bagi peguam dan anak Sarawak, Senator Alan Ling Sie Kiong, 35, pelantikan Senator di kalangan orang muda boleh dilihat sebagai isyarat komitmen kerajaan melaksanakan reformasi institusi.

“Saya rasa pelantikan saya dan Senator muda ini merupakan isyarat yang baik.

“Jika dulu Ahli Dewan Negara semuanya yang senior, tapi dengan suasana yang baru, kerajaan meletakkan ramai orang muda,” katanya ketika ditemui Roketkini.

Usaha sedemikian kata Alan merupakan komitmen kerajaan selaras dengan hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu melatih dan menyediakan lebih ramai pemimpin-pemimpin muda.

Selain itu, beliau berharap reformasi institusi yang mahu dilaksanakan kerajaan dapat mengukuhkan lagi peranan Dewan Negara dalam memperkasa dasar kerajaan antara lain seperti meningkatkan persaingan, kualiti pendidikan, penambahbaikan pasukan polis dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), isu berkaitan dadah dan memastikan ketelusan pentadbiran kerajaan.

“Saya harap status Dewan Negara boleh dipertingkat dan tidak bawa imej rubber stamp. Status kita (Dewan Negara) perlu dipertingkatkan dan lebih dihormati.

“Kita sudah nampak pembaharuan yang akan dibawa oleh Dewan Negara seperti mana yang akan dibawa di Dewan Rakyat,” ujarnya yang fasih berbahasa Kebangsaan.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Piasau berkata, selain isu nasional, beliau turut akan memberi tumpuan kepada Sarawak khususnya melibatkan hak dan kedudukan negeri itu sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia.

“Untuk Sarawak, isu-isu hak Sarawak memang dekat dengan hati orang Sarawak kerana kita merupakan rakan kongsi setara di dalam Persekutuan sebagaimana dalam Perjanjian Malaysia 1963. Ini penting.

“Selain itu ialah isu kewarganegaraan juga perlu ditangani oleh kerajaan baru. Jika kita lihat sebelum ini ada jaminan demi jaminan daripada kerajaan dahulu; ada jawatankuasa khas ditubuhkan tapi nampaknya masalah pokok belum selesai.

“Saya rasa cukup kasihan kepada penduduk-penduduk tempatan yang masih tidak mempunyai dokumen,” kata Alan yang juga Setiausaha DAP Sarawak.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Lembaga Minyak Sawit Malaysia akan berusaha untuk menyelesaikan beberapa pertikaian melibatkan perladangan sawit di atas tanah hak adat khususnya di Sarawak.

Alan Ling merupakan anak jati Sarawak yang membesar di Limbang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Bantuan (SRB)  Chung Hua Limbang, North School Miri dan Sekolah Menengah Kebangsaan SMK St. Joseph Miri.

Beliau merupakan graduan Ijazah daripada Universiti Sheffield dan sudah menjadi peguam selama 11 tahun. – Roketkini.com