Wawancara

Quratul Ain: Dari aktivisme ke lapangan politik

9 Mei 2018, tarikh keramat yang menyaksikan perubahan lanskap politik Malaysia – UMNO-Barisan Nasional (BN) tumbang setelah lebih 60 tahun memerintah.

Pakatan Harapan berjaya menakluk Putrajaya bagi membawa negara ke landasan yang betul selepas dimalukan komuniti global dengan pelbagai gelaran, khususnya kleptokrasi global susulan skandal 1MDB.

Gabungan yang ditubuhkan pada 22 September 2015 itu memberi sinar baharu kepada rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup tinggi susulan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan UMNO-BN.

Setelah kemenangan itu tercapai, muncul istilah Malaysia Baharu, bagi menunjukkan kelahiran semula Malaysia, selepas lebih enam dekad dinaungi sebuah parti yang semakin hari semakin jauh daripada realiti kehidupan rakyat terbanyak.

Rakyat daripada pelbagai latar kaum, budaya dan agama cuba mengisi naratif Malaysia Baharu, termasuk antara lain memberi makna Malaysia Baharu sebagai penolakan total pemerintahan UMNO-BN yang menggunakan aparat negara bagi menghalalkan segala kegiatan rasuah yang mereka lakukan.

Bagi Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Quratulain Atiqah Norzahirul, Malaysia Baharu adalah manifestasi terhadap kejayaan rakyat dalam menghidupkan semula makna demokrasi di negara ini.

“Pada pilihan raya kali Ini, rakyat akhirnya telah membuktikan bahawa kuasa rakyat kuasa keramat, suara rakyat suara keramat,” katanya ketika diwawancara.

“Kemenangan itu bukan hanya milik Pakatan Harapan, malah sebagai tanda amaran kepada kerajaan dahulu, sekarang dan akan datang, kalau anda buat masalah, rakyat boleh ubah kerajaan. Ia bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.”

Malah, menurutnya yang juga Ketua Biro Undang-undang Sosialis Muda DAP (DAPSY), istilah itu juga bermaksud bahawa pentadbiran kerajaan kini perlu mengendahkan tuntutan rakyat yang menjadi sebahagian mekanisme semak dan imbang kepada pemerintah.

“Kalau kita lihat apabila kerajaan pakatan harapan keluarkan idea baru atau dasar baru, rakyat masih sangat vokal dalam memberikan pandangan.

“Pada fasa-fasa tertentu yang akan datang, kerajaan Pakatan Harapan  akan tarik ‘hand brake’ untuk teliti apa yang disuarakan rakyat, dan tidak melaksanakan sesuatu sesuka hati,” ujarnya.

DAP anti-Islam/Melayu? Lagi dan lagi?

Jenuh melayan persoalan ‘DAP anti-Islam, anti-Melayu’, itulah kata-kata yang tak terucap tapi terpancar dari wajah Quratul saat diajukan soalan demikian.

Apatah lagi beliau, yang merupakan ahli DAP, membawa perwatakan gadis muslimah yang lengkap bertudung dan penuh dengan adab serta sopan santun orang Melayu.

Pun begitu, di sebalik hela nafas tanda meluat terhadap persoalan itu, beliau masih tenang menjawab.

“Dulu masa mula-mula itu saya pernah dengar (tuduhan terhadap DAP). Tapi bila saya mendekati mereka yang berada dalam DAP, perkara itu tak terjadi pun.

“Kalau kami anjurkan program bersama-sama, mereka sensitif dengan rakan-rakan yang sama sertai program.

“Contohnya, kalau program itu ada melibatkan orang Islam, kami akan cari tempat yang dekat dengan surau. Kalau lah betul DAP anti-Islam, tidak akan sejauh itu sensitiviti orang DAP apabila mahu menjayakan sesuatu program. Jadi tindakan melabel ini perlu dihentikan,” ujarnya.

Quratul, yang merupakan seorang peguam terlatih dan banyak menyertai serta menganjurkan program DAP, juga menolak dakwaan bahawa parti itu kononnya melebihkan kepentingan sesuatu kaum sahaja.

“Semasa saya bersama rakan-rakan DAP, melakukan kerja bersama, saya tidak dilihat lain, saya tidak dilayan lain, saya tidak dilihat istimewa atau pun dilayan secara istimewa.

Quratul menjadi sebahagian pengelola program Dapur Jalanan. – Gambar Facebook Quratul Atiqah.

“Maksudnya apabila kita buat kerja, kita gerak bersama-sama, kita berbincang bersama dan tidak ada apa-apa perbezaan dan perbandingan berdasarkan latar belakang,” ujarnya.

Pemimpin muda dalam Malaysia Baharu

Pakatan Harapan tidak hanya membuatkan kita berbangga kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang tertua di dunia, malah membuat kita berbangga apabila menerima menteri termuda pertama di Malaysia.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 26, merupakan individu termuda di negara ini yang dilantik sebagai menteri, bagi menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Kesediaan kerajaan Pakatan Harapan memberikan ruang dan peluang kepada anak muda untuk menjadi sebahagian daripada Kabinet mendapat pujian orang ramai.

DAP sendiri tidak mahu ketinggalan apabila mempertaruhkan muka-muka muda belaka bagi bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Usaha ini membuahkan hasil dan menyaksikan antaranya Lim Yi Wei berjaya mempertahankan kerusi DUN Kampung Tunku.

“Saya memang menghormati DAP apabila melihat bagaimana mereka memberi ruang kepada anak muda untuk meningkatkan keupayaan diri mereka, malah memberi peluang untuk kerja-kerja pembadayaan dan pemerkasaan anak muda.

“Sebagai contoh, baru-baru ini DAP beri ruang dan peluang kepada pemimpin muda untuk bertanding kerusi DUN dan Parlimen,” katanya yang merujuk Wong Siew Ki yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Balakong.

“Malah kita ada menteri-menteri DAP yang dilantik dalam kalangan pemimpin muda,” ujarnya.

Beliau turut memuji kerajaan Pakatan Harapan yang menurutnya memberi ruang kepada pemimpin wanita untuk menyerlah seperti yang dapat dilihat menerusi pelantikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Yeo Bee Yin sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Namun, bagi Quratul, pemerkasaan golongan wanita tidak harus tertumpu kepada pencarian pemimpin semata-mata, sebaliknya harus lebih menyeluruh meliputi golongan biasa dan pertengahan.

“Pemberdayaan kaum wanita bukan hanya perlu ditumpukan kepada tahap kepimpinan tetapi perlu secara menyeluruh. Wanita daripada kalangan rakyat biasa juga perlu diperkasakan,” katanya.

Beliau memberi contoh Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang diasaskan kerajaan Selangor dalam mengadakan pelbagai program bagi memperkasakan wanita.

Menyertai DAP

Quratul menyertai DAP di tengah-tengah suasana politik perkauman dan agama yang semakin menjadi-jadi.

Beliau pada awalnya tidak menyatakan hasrat untuk menyertai parti yang sering dimomokkan dengan pelbagai dakwaan karut oleh UMNO itu kepada ahli keluarganya, perkara itu dijelaskan kepada ibu bapanya setelah beliau mengisi borang dan secara rasmi menjadi ahli DAP.

“Mereka sokong, tapi biasalah mereka akan sentiasa ingatkan kita siapa diri kita. Cara pembawaan diri.

“Kalau kita mahu hormat orang, kita perlu hormat diri kita sendiri. Jadi perlu ada jati diri yang kuat bila berhadapan dengan orang,” ujarnya.

Beliau turut sempat menceritakan pengalaman selama hampir lima bulan menjadi ahli majlis di Zon 5, Petaling Jaya.

“Sebelum ini saya hanya membantu saudari Wong Siew Ki (Adun Balakong) di belakang tabir. Kini sejak menjadi ahli majlis saya perlu menyesuaikan diri mendengar masalah penduduk setempat,” katanya.

Namun tugas sebagai ahli majlis, katanya, tidak tertumpu kepada mendengar masalah atau mengawal selia sistem perparitan semata-mata.

“Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kami lah yang menguruskan dasar, namun tugas ini jarang orang nampak.

“Jadi bagus untuk beritahu kepada umum bahawa tugas ahli majlis ini bukan hanya untuk mendengar masalah, rasmikan program, buat program tapi juga mengenai keterlibatan mereka dalam proses pembuatan dasar,” ujarnya, yang sehingga kini masih bergiat aktif mencurahkan tenaga di Dapur Jalanan KL, pada setiap hujung minggu. – Roketkini.com