Uncategorized

Batal gantung Parlimen, PN wajar didesak bantu rakyat

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini meminta Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan penggantungan Parlimen bagi memastikan Kerajaan PN dapat didesak untuk memastikan langkah-langkah kewangan segera dapat diwujudkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini.

Kegagalan PN mengumumkan langkah-langkah kewangan segera untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia dan mengisytiharkan darurat kata beliau, membuktikan bahawa Muhyiddin Yassin tidak fokus untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat.

Menurut beliau, lebih-lebih lagi apabila melihat kepada kadar pengangguran yang meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 4.8 peratus pada bulan November 2020 sebagai hasil daripada PKP Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan ketika itu.

Sehubungan itu, mantan Menteri Kewangan itu menggariskan senarai ‘Mengapa Kerajaan PN perlu didesak batal penggantungan Parlimen?’ seperti berikut:

  1. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesatuan sekerja dan kumpulan majikan telah memberi amaran terhadap lebih banyak penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja untuk pusingan terbaru PKP dan Darurat.
  2. Industri pelancongan yang kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu, memerlukan ‘sokongan hidup’ kewangan segera.
  3. Moratorium automatik pinjaman bank yang dijanjikan (kecuali golongan T-20), pengeluaran sendiri caruman KWSP dan kenaikan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur untuk tempoh krisis COVID-19 juga masih belum Kerajaan PN dipenuhi.
  4. Kerajaan lemah dalam pelaksanaan saringan, pengesanan dan rawatan (test, trace, treat, 3T) secara menyeluruh untuk menyelamatkan nyawa.
  5. Kelewatan dua bulan dalam penghantaran vaksin.

Guan Eng juga berpendapat, para menteri perlu bangun daripada tidur, bekerja keras, jalankan tugas dengan betul dan memberi tumpuan untuk menyelamatkan mata pencarian serta nyawa rakyat dan bukan hanya menumpukan survival politik atau jawatan politik mereka sendiri.

Justeru penggantungan Parlimen dan DUN harus dibatalkan bagi membenarkan ahli-ahli parlimen untuk membangkitkan isu dan mendesak kerajaan PN bagi menawarkan langkah-langkah kewangan segera semasa PKP kini demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian.

Sekiranya cabang eksekutif dan kehakiman dalam kerajaan dapat berfungsi dengan normal, ujarnya, mengapa tidak cabang Perundangan yang merupakan peringkat tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan negara?

“DAP kesal bahawa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun gagal mempertahankan kedudukan tinggi Parlimen dengan menyokong Darurat oleh Muhyiddin yang menggantung Parlimen. Sokongan Azhar terhadap penggantungan Parlimen, menimbulkan persoalan apakah gunanya ada seorang Speaker Parlimen?” tambahnya. – Roketkini.com