Berita

Isu kartel daging: Jangan biar rakyat terus berteka-teki

Oleh Zamzani Husin

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pihak berkuasa perlu telus dalam menjalankan siasatan berhubung isu kartel daging yang mengemparkan negara baru-baru ini, tegas peguam Syahredzan Johan. 

Katanya, kerajaan perlu segera mendedahkan dalang di sebalik kartel tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam terutamanya umat Islam di negara ini.

“Setakat ini, menurut laporan (media) siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. 

“Ada juga pendakwaan terhadap pengarah syarikat yang dikatakan terlibat. Beberapa pegawai agensi kerajaan juga telah ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Kita sambut baik semua perkara ini, tetapi dalang kartel daging ini masih belum didedahkan kepada umum. 

“Orang ramai terpaksa berteka-teki tentang daging import mana yang terlibat, sampai ada yang mengambil inisiatif sendiri dengan membuat ‘siasatan’ melalui media sosial. 

“Perkara seperti ini tidak sihat, kerana ada kemungkinan bahawa syarikat yang tidak terlibat pun terpalit sama,” katanya kepada Roketkini, hari ini.

2 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan serbuan pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor yang menjadi lokasi modus operandi kartel daging selama bertahun-tahun. 

Difahamkan daging beku itu diseludup dari dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal.

Sejumlah 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta telah disita dalam operasi yang diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada 21 Disember lalu telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import.

Senator, Liew Chin Tong sebelum ini menegaskan isu kartel daging boleh menjejaskan reputasi negara sekiranya tidak disiasat sepenuhnya. 

Beliau turut menyokong sepenuhnya cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu tersebut.

Mengulas lanjut, Syahredzan yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata kerajaan perlu segera memaklumkan langkah yang akan diambil bagi memastikan isu kartel daging tidak berulang. 

“Jelas bahawa terdapat kepincangan dalam proses ini yang membolehkan ia dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. 

“Suatu semakan semula yang menyeluruh dan ‘overhaul’ harus dijalankan untuk menjamin perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya. — Roketkini.com