Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

1MDB bukan kes peribadi, tapi libatkan kepentingan rakyat – Tony Pua

Oleh Aziera NH

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee bertegas untuk meneruskan saman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata, saman yang difailkan olehnya empat tahun lalu itu bukan bersifat peribadi tetapi sebaliknya bertujuan untuk memelihara kepentingan awam.

“Kes saya terhadap Najib bukannya kes ‘peribadi’. Oleh itu, keputusan untuk mencapai penyelesaian bukanlah satu keputusan yang boleh atau patut dibuat oleh saya secara peribadi.

“Ia merupakan tuntutan bagi pihak rakyat terhadap kelalaian atau penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa oleh Najib dalam skandal 1MDB, yang telah menyebabkan kerugian berbilion-bilion ringgit oleh kerajaan dan rakyat, secara langsung dan tidak langsung,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu katanya, bekas Perdana Menteri itu sehingga hari ini masih belum mengakui kesalahan beliau dan tidak mahu mengaku bertanggungjawab menyebabkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan rakyat Malaysia.

“Oleh itu, saya percaya rakyat akan setuju bahawa tiada alasan untuk penyelesaian dalam kes ini. Kami akan memaklumkan pendirian tersebut kepada mahkamah,” tegasnya.

Media melaporkan, Mahkamah Tinggi di sini semalam mencadangkan supaya kes saman difailkan Tony terhadap Najib itu diselesaikan secara baik.

Peguam, Tan Cheng Leong yang mewakili Tony berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusof meminta supaya pihak-pihak terlibat berbincang untuk mencari penyelesaian terhadap kes tersebut. – Roketkini.com