Isu Semasa, Kenyataan Akhbar, Rencana

‘Tidak ada seorang pun Menteri Kabinet yang berani menerima cabaran saya’

Oleh Lim Kit Siang

(Ahli Parlimen Iskandar Puteri)

Menjadi suatu program yang luar biasa — di mana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rancangan Tindakan Perpaduan Negara 2021 – 2030 semalam. 

Apabila Muhyiddin memberikan amaran kepada rakyat Malaysia untuk berhati-hati dengan ahli-ahli politik yang memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik peribadi, mengatakan yang perkara ini menjadi cabaran dalam negara dengan penduduk yang berbilang kaum, semua rakyat Malaysia melihat beliau sebagai contoh utama perkara ini. 

Selepas 64 tahun negara kita ditubuhkan, adakah Muhyiddin bersedia untuk memimpin rakyat Malaysia di seluruh negara dalam Rangka Tindakan Perpaduan Kebangsaan ini dengan mengisytiharkan yang beliau pertamanya adalah rakyat Malaysia, supaya semua rakyat Malaysia dapat mengatakan yang mereka juga pertamanya rakyat Malaysia dan kemudiannya Melayu, Cina, India, Kadazan, atau pun Iban?

Perpaduan dan kekuatan Malaysia terletak dalam kepelbagaian kita. Tidak ada sesiapa pun yang akan kehilangan ciri-ciri unik etnik, kebudayaan, atau keagamaan mereka, baik dari kalangan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, ataupun Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao, tetapi semua rakyat Malaysia perlu pertamanya melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia. 

Di Parlimen, pada 18 Mac 2010, semasa perbahasan Titah Diraja, apabila slogan 1Malaysia sedang popular, saya bertanyakan kepada Muhyiddin yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, sama ada beliau bersedia untuk mengumumkan yang pertamanya beliau adalah rakyat Malaysia dan keduanya orang Melayu. 

Saya isytiharkan di dalam Parlimen yang saya pertamanya adalah rakyat Malaysia dan keduanya orang Cina, dan cabar setiap Menteri Kabinet untuk membuat pengisytiharan yang serupa untuk menunjukkan yang mereka benar-benar mendalami konsep 1Malaysia. 

Tetapi, tidak ada seorang pun Menteri Kabinet yang berani menerima cabaran ini. Di sebaliknya, Muhyiddin mengumumkan yang beliau pertamanya adalah orang Melayu, kemudian rakyat Malaysia!

Malah, beliau juga mencabar saya untuk mengisytiharkan yang saya pertamanya adalah rakyat Malaysia dan kemudian orang Cina, sehinggalah beliau diberitahu oleh wartawan yang saya telah pun berbuat demikian di Parlimen semasa perbahasan Titah Diraja pada 18 Mac 2010. 

Rancangan Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia sendiri mengatakan yang tujuan 1Malaysia ini adalah “untuk menjadikan Malaysia … negara yang lebih hebat: sebuah negara di mana diharapkan semua rakyat melihat diri mereka sebagai pertamanya, rakyat Malaysia dan kemudiannya mengikut kaum, agama, kawasan geografi, atau latar belakang sosio-ekonomi, di mana prinsip-prinsip 1Malaysia terjalin erat dalam fabrik ekonomi, politik, dan sosial masyarakat”.

Saya masih berpegang kepada kedudukan saya 10 tahun yang lepas, bahawa seorang rakyat Malaysia yang percaya bahawa dia adalah pertamanya rakyat Malaysia dan kemudiannya seorang Cina, tidak menjadikan beliau kurang Cina, dan sama juga bagi seorang yang percaya bahawa dia adalah pertamanya rakyat Malaysia dan kemudiannya Melayu, India, Kadazan, ataupun Iban, tidak menjadikan mereka kurang Melayu, kurang India, kurang Kadazan, ataupun kurang Iban berbanding dengan orang lain!

Adakah Muhyiddin bersedia untuk mengaku yang beliau silap 10 tahun yang lalu?

Dalam era semasa ini, dengan pelancaran rancangan 10 tahun Rangka Tindakan Perpaduan Negara ini, adakah Muhyiddin dan semua Menteri Kabinet bersedia untuk mengisytiharkan yang mereka pertamanya adalah rakyat Malaysia dan kemudiannya Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao. 

Namun, terdapat masalah yang lebih besar dengan Dasar dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara yang dilancarkan oleh Muhyiddin semalam. 

Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, sejak daripada perangkaan Rukun Negara sebagai prinsip pembinaan negara bangsa pada tahun 1970, kita tidak mempunyai sebuah Kabinet di mana semua Menteri-menteri Kabinet komited terhadap kelima-lima prinsip ini. 

Adakah Muhyiddin bersedia untuk meminta semua Menteri Kabinet beliau untuk mengisytiharkan kesetiaan mereka terhadap Rukun Negara dan membuang mana-mana Menteri Kabinet yang tidak bersedia untuk berbuat demikian, memandangkan Rukun Negara ini merupakan asas utama Dasar dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara? – Roketkini.com