Berita, Isu Semasa, Uncategorized

Wakil rakyat DAP terus komited bantu penduduk

Oleh B. Suffian dan Aziera NH

Prihatin mendengar denyut nadi rakyat, DAP menerusi wakil-wakil rakyatnya terus proaktif menggerakkan pelbagai inisiatif dalam usaha menghulurkan bantuan.

DAP Parlimen Beruas melalui wakil-wakil rakyatnya telah turun padang memastikan penduduk mendapat belakan mencukupi ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Sitiawan, Perak. 

Wakil-wakil rakyat DAP Parlimen Beruas termasuk Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, Adun Pantai Remis, Wong May Ing dan Adun Astaka, Teoh Yee Chern telah menderma bahan segar kepada penduduk-penduduk kampung tersebut baru-baru ini. 

Koo Ham berkata, semasa PKPD itu dilaksanakan, penduduk-penduduk dilarang keluar membeli makanan dan menyebabkan banyak kesulitan dalam kehidupan seharian. 

Oleh itu, menurut beliau, wakil-wakil rakyat tersebut telah menyumbangkan bekalan bahan makanan segar untuk tiga hari kepada 100 isi rumah yang terjejas bagi membantu penduduk mengatasi kesulitan berkenaan. 

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberitahu kami bahawa sebanyak 100 isi rumah yang terjejas dan jabatan itu telah menyediakan bahan-bahan asas seperti beras putih dan telur pada hari pertama PKPD.

“Oleh itu, kami memutuskan menyumbang 200 ekor ayam, 100 kilogram ikan dan lebih dari 200 kilogram sayur-sayuran sebagai bekalan makanan segar tiga hari dan kami berharap penduduk-penduduk mendapat bekalan makanan yang mencukupi,” katanya. 

May Ing berkata,  dalam tempoh ini, beliau berharap orang ramai akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengambil serius perintah kawalan pergerakan agar penyebaran virus dapat dibendung dengan berkesan. 

Sementara itu, Yee Chern pula menjelaskan, walaupun Kampung Teluk bukan di bawah Parlimen Beruas, namun begitu, semua pihak perlu bekerjasama dan bersatu dalam usaha membendung sebaran pandemik dalam negara ini dan negeri ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming telah menghulurkan bantuan Beg Harapan kepada 200 keluarga miskin sempena musim perayaan di seluruh Teluk Intan dengan menggunakan gajinya sendiri. 

Beg Harapan yang berisi barangan dapur seperti beras, mee, sardin, biskut, minyak kelapa sawit dan sebagainya adalah untuk membantu meringankan beban para penduduk yang semakin terhimpit dengan keadan ekonomi yang semakin merudum akibat kegagalan rejim Perikatan Nasional (PN).

“Pasukan Khidmat DAP Teluk Intan adalah tidak mengira kaum dan latar belakang dalam menghulurkan bantuan.

“Asalkan ada yang memerlukannya, DAP akan terus menjejaki rumahnya untuk memberikan sumbangan segera,” kata Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Teluk Intan, Woo Kah Leong. – Roketkini.com