Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Peningkatan hukuman: Biro Undang-Undang DAP akan kaji cara bela rakyat

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

Saya telah meminta Biro Bantuan Guaman DAP untuk mengkaji cara membela rakyat terhadap kenaikan hukuman melanggar sekatan PKP yang keras dan melampau.  

Kerajaan PN telah menerapkan pendekatan menghukum dengan menaikkan denda kompaun dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu, dan kepada RM50,000 untuk syarikat, di bawah pindaan darurat pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 

Kerajaan harus mendidik masyarakat untuk bekerjasama bagi membendung COVID-19.  

Daripada pendekatan mendidik, kerajaan memilih untuk menggunakan pendekatan retributif atau menghukum terhadap mereka yang melanggar PKP. 

Ini adalah langkah salah kerana pendekatan menghukum tidak berkesan untuk membendung peningkatan kes Covid-19 tetapi akan menyebabkan masalah kewangan kepada mereka yang melanggar, terutama yang datang dari kumpulan berpendapatan rendah yang sudah menderita dari kemelesetan ekonomi sekarang.

Penguatkuasaan undang-undang yang adil dan saksama, dan bukannya amalan dua darjat antara seorang Menteri dan rakyat akan lebih membantu mengurangkan jumlah kes COVID-19. 

Pelaksanaan penuh 3T – saringan, pengesanan semua kontak rapat pesakit positif COVID-19 dan rawatan diperlukan.

Kadar denda kompaun pada masa ini sudah mencukupi untuk memberi mesej supaya mematuhi SOP dengan tegas. 

Tidak perlu memaksa rakyat sehingga menjurus kepada masalah kewangan apabila hukuman tersebut sepatutnya ditetapkan bukan berdasarkan pada golongan kaya tetapi pada kemampuan golongan miskin untuk membayarnya. 

Kerajaan PN boleh dianggap menyalahkan rakyat atas peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini yang menjadikan Malaysia sebagai negara terburuk terkesan di ASEAN, walaupun sebab sebenarnya adalah atas kegagalan, teladan buruk kepimpinan dan salah urus oleh para Menteri PN.

Ketua Biro Undang-Undang DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal serta Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham akan mengkaji pindaan dalam pelaksanaan kenaikan hukuman yang berkuatkuasa pada 11 Mac ini, di mana tidak ada lagi keperluan untuk waran, bagi melihat bagaimana kita  dapat menyelamatkan rakyat Malaysia dari masalah kewangan. 

Kajian tersebut juga termasuk membela rakyat yang menerima kompaun tersebut di mahkamah. – Roketkini.com