Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Mana Beras Dan Bakul Makanan untuk Warga Kuala Lumpur?

Kenyataan Media Bersama Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Bertarikh 1 Mac 2021:

1.       Perutusan Perdana Menteri bersempena Hari Wilayah yang berjanji untuk menyumbangkan 5,750 kampit beras secara percuma setiap minggu kepada penduduk dari kumpulan B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanyalah indah khabar daripada rupa. Sehingga hari ini rakyat dibiarkan tertanya-tanya bagaimana beras tersebut diagihkan kepada mereka, bagaimana penduduk boleh memohon dan kepada siapa mereka boleh membuat permohonan? Adakah agihan beras ini dibuat oleh lantikan politik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga menyebabkan bantuan ini tidak sampai kepada mereka yang sepatut menerimanya?

2.       Selain itu, Program Bakul Makanan berupa pemberian barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah melibatkan peruntukan RM50 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini kelihatan tidak berjalan seperti yang dirancang. Walaupun sudah memasuki tiga bulan semenjak pengisytiharan Darurat diumumkan namun rakyat masih tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bakul makanan seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan PN.

3.       Kami menggesa Kerajaan PN memaklumkan dengan jelas bagaimanakah mekanisma pemberian beras dan pengagihan bakul makanan JKM dilaksanakan. Sebarang kelewatan dalam tindakan ini akan menjejaskan keadaan rakyat yang semakin hari semakin terjejas akibat pandemik Covid-19 ini. Malaysia tidak perlukan kad laporan prestasi Kerajaan PN yang digambarkan indah khabar dari rupa dan hanya cuma sedap dibaca sedangkan rakyat tidak langsung merasai kesannya. Atas sebab-sebab inilah Parlimen seharusnya bersidang supaya Wakil Rakyat boleh mendapatkan jawapan untuk persoalan seperti di atas.

Tan Kok Wai
Ahli Parlimen Cheras

Fong Kui Lun
Ahli Parlimen Bukit Bintang

Teresa Kok
Ahli Parlimen Seputeh

Dr Tan Yee Kew
Ahli Parlimen Wangsa Maju

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli Parlimen Setiawangsa

P. Prabakaran
Ahli Parlimen Batu

Hannah Yeoh
Ahli Parlimen Segambut