Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Mengarut, memalukan Parlimen terus ditutup – Kit Siang

Oleh Ghafar NS

Tiada lagi alasan untuk kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berterusan menutup Parlimen memandangkan semua ahli Parlimen sepatutnya sudah divaksin.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyenaraikan empat sebab mengapa Parlimen perlu dibuka dan persidangan perlu dibenarkan menjelang hujung April:

1) Parlimen boleh menolak untuk membenarkan ahli Parlimen yang belum divaksin daripada hadir ke Parlimen;

2) Amat mengarut dan memalukan jika kebanyakan sektor ekonomi dibuka tetapi Parlimen tidak dibenarkan bersidang;

3) Ordinan Darurat yang menaikkan kadar kompaun kepada individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengenalan Ordinan Darurat Berita Tidak Benar telah mengurangkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi menangani Covid-19.

Lebih-lebih lagi apabila undang-undang itu dilihat terlalu menekan, tidak berpatutan, tidak masuk akal dan tidak adil.

Ordinan-ordinan Darurat ini perlu digantung penguatkuasaannya sehinggalah mendapat kelulusan Parlimen; dan

4) Yang di-Pertuan Agong telah bertitah bahawa Proklamasi Darurat tidak menghalang Parlimen daripada bersidang.

“Benarkan Parlimen bersidang untuk menentukan sama ada Ordinan Darurat ini perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada undang-undang atau dimansuhkan, mengikut kehendak rakyat yang sebenarnya.” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini. – Roketkini.com