Oleh Ghafar NS
Adun Paloh, Sheikh Umar Baghrib Ali mempersoalkan apa signifikan pindaan Ordinan Darurat yang membolehkan kerajaan menambah perbelanjaan tanpa perlu melalui kelulusan Dewan Rakyat dan dewan undangan negeri (DUN).
Beliau berkata, rakyat berhak tahu kerana segala perbelanjaan kerajaan adalah melibatkan wang rakyat.
“Bahkan, tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang seakan-akan mengabaikan nasihat Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dibolehkan bersidang pada masa darurat ini seolah-olah ada udang di sebalik batu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tanpa persidangan parlimen dan DUN, jelas Sheikh Umar, tiada semak dan imbang dalam setiap keputusan serta tindakan kerajaan termasuklah dalam soal pindaan Ordinan Darurat berkaitan tambahan perbelanjaan berkenaan.
Beliau berkata, keputusan sebesar itu yang diambil tanpa melalui proses legislatif di Dewan Rakyat dan negeri menimbulkan banyak tanda tanya.
Ketua Pemuda DAP Johor itu turut mengemukakan tiga soalan kepada Kerajaan tanpa keabsahan majoriti di Parlimen ini:
1) Adakah penambahan perbelanjaan ini bermotif politik?
2) Adakah ia bertujuan ‘membeli’ sokongan kepada PN di pelbagai peringkat menggunakan wang?
3) Adakah PN akan kembalikan budaya ‘cash is king’?
Katanya lagi, tindakan meminda Ordinan Darurat ini menggambarkan satu lagi situasi hilangnya fungsi demokrasi di negara ini. – Roketkini.com