Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Gelaran “abang besar”: Kalau DAP yang kata, pasti diselar hebat

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyifatkan kenyataan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang merujuk negara China sebagai ‘abang’ adalah tidak wajar digunakan, lebih-lebih lagi di pentas antarabangsa.

Lip Eng berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu sering diserang oleh pucuk pimpinan UMNO dan PAS dengan gelaran seperti pembela dan penyanjung komunis ketika menjalinkan kerjasama dengan kerajaan China walaupun atas kapasiti diplomatik.

“Namun tiada seorang pun pemimpin UMNO dan PAS yang mempersoalkan tindakan Hishammuddin. Apakah dasar menentang komunis yang diperjuangkan mereka selama ini hanya wayang semata-mata?

“Sekiranya kenyataan sebegini dikeluarkan oleh mana-mana menteri DAP seperti Anthony Loke atau Lim Guan Eng sewaktu PH memerintah, semestinya perbuatan mereka itu diselar dengan hebat.

“Pastinya akan wujudnya usaha oleh pihak tertentu untuk melucutkan kewarganegaraan mereka dan kemungkinan kedudukan DAP sebuah parti politik berdaftar di Malaysia akan disiasat dan lebih teruk, dibatalkan begitu sahaja kerana kononnya terdapat unsur-unsur komunis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Lip Eng berkata, walaupun Hishammuddin telah menerangkan di laman twitternya bahawasanya gelaran itu ditujukan secara peribadi kepada Menteri Luar China, Wang Yi, gelaran itu tidak wajar digunakan semasa majlis diplomatik rasmi yang direkod di hadapan media dunia.

“Jikalau Hishammuddin menggunakan duit poketnya untuk membawa rombongannya melawat China, saya tiada masalah.

“Panggil apa sahaja yang beliau mahu kerana beliau mempunyai atas hak ke atas duitnya. Tetapi lawatannya itu dibiayai oleh kerajaan, beliau perlu mengikut protokol diplomasi yang ditetapkan!” tegasnya. – Roketkini.com