Uncategorized

KKM, KPM perlu kerjasama segera vaksin guru

Oleh Ghafar NS

Kesejahteraan para guru menjamin kelangsungan kemapanan pendidikan anak-anak bangsa.

Demikian tegas lapan ahli Parlimen dari blok pembangkang dalam satu kenyataan bersama semalam.

Dalam kenyataan itu, mereka menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memberi suntikan sesegara mungkin kepada para guru.

Menurut kenyataan itu lagi, bermula minggu ini, hampir 500 ribu guru telah kembali ke sekolah.

Para guru juga menjadi golongan barisan hadapan menyantuni anak-anak kita untuk menjamin kelangsungan pendidikan dan masa depan negara.

Apa yang kita maklum, hal ini mendedahkan para guru kepada risiko untuk dijangkiti virus Covid-19 dan ia perlu diberi perhatian serius,” tegas mereka.

Kenyataan itu menambah, penangguhan pemberian vaksin kepada para guru hanya akan mendedahkan bukan hanya para guru kepada bahaya, malah juga kepada anak-anak murid.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Pendidikan Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik dan jurucakap-jurucakap pendidikan parti iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP) serta Hasan Baharom (Amanah).

Selain itu, kenyataan itu melibatkan Presiden Penaja MUDA, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman; Setiausaha Agung Penaja Pejuang, Amirudin Hamzah; Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah, Isnairassah Munirah dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau. – Roketkini.com