Kenyataan Akhbar

DAP angkat suara semua kaum

Ucapan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang kepada Sukarelawan Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama Jamaliah Binti Jamaluddin di Teater Impian, Bukit Jalil pada hari Isnin, 12 April 2021 jam 7 petang:

DAP tidak cuba untuk nyah-Cina, nyah-Melayu, nyah-India, nyah-Kadazan, atau nyah-Iban mana-mana orang, tetapi sebaliknya, untuk menerima bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai pelbagai identiti berbeza tetapi mereka semua pertamanya rakyat Malaysia

Dalam sejarah 55 tahun DAP, parti ini telah menjadi mangsa pelbagai penipuan, fitnah, dan pertuduhan yang tidak berasas.

DAP telah difitnah sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja sedangkan sepanjang sejarah kita, DAP telah kekal komited kepada Impian Malaysia untuk menjadikan negara kita sebuah negara hebat berkelas dunia yang hanya boleh menjadi kenyataan sekiranya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, bersatu padu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara untuk membina sebuah negara majmuk yang harmoni, adil, demokratik, progresif, dan makmur.

Saya pernah dituduh sebagai menjadi punca rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, kononnya memimpin perarakan haram di jalan-jalan di Kuala Lumpur. Malah saya juga dituduh kononnya telah kencing di kediaman rasmi Mentri Besar Selangor di Kampong Baru!

Tetapi saya tidak pernah berada di Kuala Lumpur selepas keputusan Pilihan Raya Umum 1969 diumumkan pada 10 Mei 1969, saya berada di Kota Kinabalu pada 13 Mei 1969 untuk berkempen untuk calon Bebas di Sabah memandangkan pilihan raya di Sabah dan Sarawak akan diadakan kemudian selepas Semenanjung Malaysia .

Polis tahu bahawa saya tidak ada kaitan dengan rusuhan 13 Mei 1969 dan sebab itulah saya tidak pernah disoal siasat mengenai rusuhan 13 Mei 1969 dalam dua penahanan saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Saya dituduh sebagai komunis yang kononnya datang ke Tanah Melayu ketika berusia 17 tahun. Sedangkan saya sebenarnya dilahirkan di Batu Pahat lapan puluh tahun yang lalu, dan bersekolah dari sekolah rendah di situ.

Pada pilihan raya 1969, pihak komunis ingin melihat saya kalah, dan itulah sebabnya dalam surat saya kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dari Pusat Tahanan Muar pada 5 Ogos 1969, saya menyatakan “kerisauan saya untuk masa depan Malaysia”.

Saya menulis:

“Keputusan Pilihan Raya Umum 10 Mei adalah halangan bagi Parti Perikatan. Tetapi perkara ini merupakan satu tamparan yang lebih hebat kepada PKM (Parti Komunis Malaya).

“Semasa kempen pilihan raya umum, PKM dan jentera-jentera partinya telah berkempen supaya rakyat memboikot pilihan raya untuk merendahkan keyakinan kepada demokrasi berparlimen dan mempersiapkan latar belakang politik untuk memulakan pemberontakan bersenjata keduanya.

“Rakyat umum telah menolak apa yang dibawa oleh PKM ini dan keluar mengundi beramai-ramai. Perkara ini membuktikan bahawa rakyat masih percaya dalam proses demokrasi untuk membawa perubahan secara aman yang mereka mahukan.

“10 Mei menunjukkan pilihan rakyat untuk demokrasi, menolak kempen PKM. Terdapat kegembiraan selepas pilihan raya ini, bukan untuk menghalang sesiapa daripada mendapat haknya, tetapi untuk berusaha membentuk sebuah masyarakat yang lebih adil dan saksama.

“Namun, kejadian 13 Mei dan kejadian-kejadian selepasnya telah merendahkan keyakinan rakyat kepada demokrasi”.

Dalam surat saya kepada Tunku Abdul Rahman dari pusat tahanan pada bulan Ogos 1969, saya membuat cadangan tiga perkara untuk menjalin perpaduan nasional setelah terjadinya rusuhan kaum 13 Mei 1969, iaitu:

(i) Persidangan Parlimen dengan segera untuk (a) semua Ahli Parlimen berikrar untuk menjunjung konsep toleransi perkauman, persefahaman dan masyarakat majmuk pelbagai kaum; dan (b) untuk mengembalikan keyakinan rakyat dalam proses demokrasi dan untuk menafikan PKM daripada cuba untuk menggunakan kekacauan ini untuk kepentingan politik mereka;

(ii) Pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat punca rusuhan 13 Mei, dan untuk menangkap dan menghukum pelakunya; dan

(iii) Pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang melibatkan semua pihak untuk menyiasat masalah hubungan antara kaum di Malaysia, untuk mencari penyelesaian jangka panjang.

Kini, terdapat kempen media sosial untuk menuduh saya menjual hak dan masa depan orang Cina di Malaysia, yang mempersoalkan mengapa DAP tidak hanya meletakkan calon Cina di semua kerusi yang dipertandingkan DAP.

Tuduhan terbaru adalah bahawa DAP mahu “menyah-Cinakan” parti ini, dan bahawa DAP tidak boleh “mencairkan identiti Cinanya” untuk meremehkan atau merendahkan dirinya hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Pastinya saya seorang ‘superman’ — dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dari satu sudut dan sekarang anti-Cina dan anti-bukan-Melayu dari sudut lain.

Tidak ada sebarang asas atau kebenaran dalam tuduhan liar tersebut.

DAP tidak cuba untuk nyah-Cina, nyah-Melayu, nyah-India, nyah-Kadazan, atau nyah-Iban mana-mana orang, tetapi sebaliknya, untuk menerima bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai pelbagai identiti berbeza tetapi mereka semua pertamanya rakyat Malaysia.

Dalam mengejar Impian Malaysia untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah untuk bersatu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia, saya harus menanggung banyak beban, dan inilah beban terbaru yang harus saya tanggung.

Adakah perkara ini dibangkitkan kerana apa yang saya katakan mengenai isu Jawi di sekolah rendah Cina dan Tamil pada tahun 2019?

Saya mengatakan di Salem, Tamil Nadu pada bulan Ogos 2019 bahawa saya belajar sendiri menulis Jawi ketika saya menjalani tahanan pertama saya di Muar pada tahun 1969 dan bahawa perkara ini tidak “mempunyai kesan kepada identiti saya sebagai seorang Cina, tetapi mengukuhkan lagi identiti saya sebagai seorang rakyat Malaysia.

Perkara ini telah diputarbelitkan untuk mengatakan yang kononnya saya mengatakan yang seseorang perlu belajar Jawi untuk menjadi rakyat Malaysia.

Malaysia adalah negara berbilang kaum, pelbagai bahasa, berbilang budaya dan berbilang agama dan kita harus memanfaatkan kedudukan unik kita di mana peradaban Melayu / Islam, Cina, India dan Barat yang hebat bertemu di Malaysia untuk membina negara bangsa Malaysia yang hebat.

Inilah yang saya katakan di Bangalore pada 5 Ogos 2019:

“Kita harus berhati-hati agar tidak terjebak dalam perangkap mereka yang ingin melaga-lagakan hubungan perkauman dan kegamaan untuk menimbulkan kecurigaan, syak wasangka dan kebencian dalam masyarakat majmuk kita sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan semula kekuatan politik dan berusaha menentang usaha menyatukan nilai-nilai yang terbaik dari masyarakat pelbagai kaum, bahasa, budaya, dan agama di negara kita.

“Seperti mana seorang Melayu yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Cina tidak menjadikannya kurang Melayu di Malaysia, seorang Cina yang boleh menulis Jawi tidak menjadikannya kurang Cina. Malah, mungkin kebolehan tambahan ini menjadikan mereka seorang rakyat Malaysia yang lebih baik — tetapi tidak boleh ada paksaan kepada sesiapa pun untuk mempelajari bahasa lain!”

Sama seperti kenyataan saya mengenai Jawi yang diputarbelitkan menjadi kenyataan bahawa seseorang mesti belajar Jawi untuk menjadi rakyat Malaysia, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah dituduh menyatakan bahawa beliau bukan orang Cina ketika menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2018 sedangkan apa yang beliau katakan adalah beliau akan menjadi seorang Menteri Kewangan kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.

Sebagai rakyat Malaysia, kita semua akan mempunyai pelbagai identiti — etnik, agama, budaya.

Pada era-era awal penubuhan negara kita, boleh difahami jika seseorang itu melihat diri mereka pertamanya sebagai seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao dan kemudiannya barulah seorang rakyat Malaysia, tetapi sekiranya kita terus mengetepikan identiti Malaysia kita, perkara ini hanyalah menjadi bukti kegagalan proses pembinaan negara bangsa kita.

Apa pun halangannya, kita mesti terus mengejar Impian Malaysia, berdasarkan prinsip bahawa kuasa mesti digunakan untuk menyatukan rakyat Malaysia untuk memastikan bahawa kepentingan bersama mereka untuk mempunyai kehidupan yang lebih baik dari segi ekonomi dan pekerjaan, pendidikan, perumahan, kesihatan, alam sekitar , pengangkutan, penghormatan terhadap budaya yang pelbagai dapat dipenuhi, dan bahawa kita harus menolak pendirian untuk “mendapatkan kuasa semata-mata untuk kuasa”.