Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

PN, hentikan amalan dua darjat – Guan Eng

Oleh Aziera NH

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan amalan dua darjat terhadap pelajar matrikulasi di Perak yang disaman baru-baru ini kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul.

Ini sedangkan katanya, Perdana Menteri dan seorang timbalan menteri sebelum ini pula bebas tanpa sebarang hukuman dikenakan.

Menurut Guan Eng, amalan dua darjat tersebut telah meracuni usaha pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membendung gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

“Tidak ada denda yang dikenakan kepada Perdana Menteri kerana gagal memakai pelitup muka pada 31 Mac 2021 ketika berjalan ke lobi hotel di Putrajaya untuk mesyuarat Bersatu.

“Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin juga tidak dihukum kerana menurunkan pelitup mukanya ketika menghadiri sambutan Ulang Tahun RTM 75 pada 1 April 2020,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Jelas Guan Eng, kedua-dua menteri terbabit sepatutnya didenda bagi membuktikan komitmen kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19.

Guan Eng turut mempersoalkan adakah saman pelajar matrikulasi tersebut akan dimansuhkan demi menyelamatkan dan menutup malu Perdana Menteri dan timbalan menteri tersebut.

“Kemarahan orang ramai meningkat terhadap amalan dua darjat, di mana orang awam dihukum tetapi tidak ada tindakan atau hukuman ringan yang diambil terhadap Menteri.

“Hanya apabila kerajaan komited untuk menerapkan prosedur operasi standard (SOP) secara tidak berat sebelah dan tanpa rasa takut atau pilih kasih, barulah Malaysia dapat berjaya menghentikan lonjakan jangkitan Covid-19 sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, defisit kepercayaan, penggantungan parlimen dan ketaksuban ‘membeli’ sokongan politik juga menjadi punca utama masalah kewangan yang dihadapi kerajaan PN dan akan mempengaruhi perjuangan dalam memerangi Covid-19. – Roketkini.com